Friday 30 January 2009

Cuti-cuti Malaysia

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, segala perbelanjaan dan bajet hendaklah dilakukan dengan berhemah, disini dipaparkan satu blog yang menyediakan penginapan yang berpatutan dan tempat-tempat yang menarik untuk dilawati di negeri Melaka Bandaraya Warisan Dunia.

Untuk maklumat lanjut sila klik.

Wednesday 28 January 2009

Gesa Nasaruddin Letak Jawatan

PUTRAJAYA, 28 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perak perlu melakukan gerakan besar-besaran bagi menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota Datuk Nasaruddin Hashim meletakkan jawatan berikutan tindakannya melompat parti.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kemenangan Nasaruddin pada pilihan raya lalu adalah di atas tiket BN, justeru keputusan beliau untuk melompat parti memusnahkan kepercayaan yang diberikan oleh pengundi di kawasan itu.

"Jika saya orang Perak, saya akan mula bentuk (gabungan) semua NGO dan ketua kampung sekarang menuntut peletakan jawatannya. BN Perak harus membuat keputusan seperti ini bagi menyedarkan rakyat.

"Kita ada beribu cawangan di Perak, cawangan Umno, Putera, Puteri, Pemuda, Wanita semua harus bersuara...Kalau setakat keluar di suratkhabar ia tidak akan memberi kesan," kata Menteri Luar itu kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan kepada wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Othman Hashim, di sini, Rabu.

Dr Rais berkata beliau juga yakin BN akan menang sekali lagi sekiranya pilihan raya kecil diadakan semula di kawasan itu.

Beliau turut menegaskan bahawa BN masih kuat dan masih boleh bangkit, dan mereka yang cuba melompat keluar dari BN akan menyesal sendiri setelah melihat kekuatan parti nanti.

Pada Ahad lepas, Nasaruddin yang menang dengan majoriti 2,068 undi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Usaili Alias pada pilihan raya umum Mac lalu mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menyertai PKR.

Perak kini diterajui pakatan pembangkang Pas, DAP dan PKR dengan menguasai 31 kerusi DUN manakala BN 28 kerusi.

Mengulas cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail memansuhkan sayap-sayap parti bagi menghapuskan gejala politik wang, Dr Rais berkata setiap cadangan untuk memperbaiki Umno pada ketika ini akan diambil kira, namun cadangan itu haruslah praktikal dan mendatangkan faedah.

"Jika didapati suara majoriti nanti bahawa sayap-sayap tersebut sesungguhnya tidak mendatangkan faedah atau melemahkan perjuangan tentu MT akan buat keputusan itu.

"Pada masa ini memang kita menggalakkan semua pihak memberi pandangan tetapi kita jangan terlalu mabuk pandangan pada masa ini selain daripada menghapuskan rasuah dalam parti dan mengukuhkan Umno itu sendiri," katanya.

-- BERNAMA

SEGAK MENAWAN



Inilah rupa kenderaan pelbagai guna (MPV) keluaran terbaru Proton yang bakal dilancarkan pada April ini. Ia memaparkan reka bentuk menarik dan pasti mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia kelak.

Model terbaru Proton ini yang gambarnya mula tersebar dalam Internet sejak seminggu lalu boleh memuatkan sekurang-kurangnya tujuh orang penumpang dan menggunakan enjin Campro 1.8 liter serta disasarkan pada harga sekitar RM80,000 sebuah. - Utusan

Tuesday 20 January 2009

BN Tak Boleh Terus Dalam Zon Selesa

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Para pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak boleh berterusan duduk dalam zon selesa, sebaliknya perlu mengubah paradigma dan mengubah cara serta pendekatan berpolitik supaya ia sentiasa berorientasikan rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Timbalan Perdana Menteri mahukan semua pemimpin kerajaan BN bangkit dan bingkas kembali menyusun strategi melakukan perubahan baik kepada diri mahukan kepada parti demi kesejahteraan bangsa dan tanah air.

Kerajaan BN perlu memastikan program-program kerajaan adalah berteraskan keperluan rakyat supaya ia sentiasa dekat di hati dan sanubari rakyat.

"Jika kita gagal menangani cabaran ini dengan cemerlang, kita akan menerima hukumannya di dalam pilihan raya umum ke-13 kelak," katanya ketika melancarkan buku "Politik Baru" karya Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Saifuddin Abdullah, di sini.

Beliau berkata kerajaan BN tidak boleh sekali-kali membiarkan gejala tiada berkesinambungan wujud di antara aspirasi rakyat dan hala tuju kerajaan.

Najib berkata kerajaan BN sentiasa peka kepada gelombang perubahan dan pembaharuan.

"Ini kerana kita insaf di dalam sistem demokrasi, rakyat adalah penentu mutlak kepada parti mana yang akan membentuk kerajaan," katanya.

Beliau berkata demi melaksanakan agenda perubahan dan pembaharuan, mahu tidak mahu, tidak dapat tidak, kerajaan BN memerlukan pemimpin berkebolehan dan berpengetahuan dalam bidang yang dipertanggungjawabkan.

Pemimpin itu, katanya mestilah membawa pemikiran glokal dengan ideanya merentasi sempadan negara tetapi jiwanya dan akarnya adalah berteraskan bumi bertuah ini.

"Rakyat Malaysia sudah cukup matang dalam menilai pemimpin mereka. Mereka tidak mahu lagi didendangkan dengan lagu-lagu sumbang tentang retorik perubahan tetapi hampa isi di dalamnya. Mereka mahukan "result". Mereka mahu melihat perubahan itu berlaku!" katanya.

Najib berkata gelombang perubahan hari ini menuntut negara memiliki bukan sekadar politikus biasa yang manis senyumnya dan muluk tuturnya, sebaliknya pemikir politik yang kaya ideanya dan hikmah tingkahnya.

Perubahan dan pembaharuan sudah menjadi satu tema dominan dalam arus politik dunia, katanya.

Malah, ucapan Barack Obama semasa kempen Presiden Amerika Syarikat sentiasa membujuk kepada harapan dan sifat idealis manusia, bukannya ketakutan dan sifat kebencian mereka, katanya.

"Sesungguhnya formula ini telah berjaya mencetuskan gelombang perubahan dan pembaharuan yang amat signifikan dalam susur galur sejarah politik Amerika Syarikat," katanya.

Akses kepada lebuh raya maklumat dan televisyen satelit berbayar telah mendedahkan rakyat Malaysia kepada fenomena ledakan maklumat dan ia memberi dimensi baru kepada evolusi penghakupayaan rakyat Malaysia sebagai pengundi.

Najib mengucapkan tahniah kepada Saifuddin kerana beliau dapat menghasilkan buku walaupun dalam kesibukannya sebagai anggota pentadbiran.

Buku setebal 178 muka surat dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris itu menyentuh mengenai integriti politik dan kerangka pemerintahan baru.

Ia mengajak masyarakat serta penggiat politik untuk mengambil iktibar daripada segala peristiwa dan pengalaman yang diperoleh daripada pilihan raya umum ke-12.

Saifuddin berkata idea menulis buku itu tercetus daripada kesedaran mendalam untuk meneruskan penghayatan budaya ilmu dan berharap ia dapat memperkayakan pemikiran politik.

-- BERNAMA

Monday 19 January 2009

Faktor 'Penarik' Dalam Umno

MANAMA (Bahrain), 19 Jan (Bernama) -- Memberikan analisis secara terus terang mengenai kelemahan Umno berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu telah kehilangan faktor "penarik" untuk menarik rakyat kepada parti tunjang komponen BN itu.

Naib Presiden Umno itu berkata faktor itu perlu dibawa kembali kerana dengan memiliki faktor penarik itu bermakna rakyat akan tertarik dan memberikan perhatian terhadap perkara baru dan menarik yang disampaikan oleh parti itu.

"Sekarang ini dalam Umno, apakah faktor penarik itu. Tidak ada faktor penarik, kita telah kehilangan faktor penarik yang akan membuatkan rakyat benar-benar mahu mendengar apa yang dikatakan oleh pemimpin," kata Muhyiddin kepada wartawan Malaysia di sini ketika diminta mengulas pilihan raya kecil itu pada Sabtu lepas yang menyaksikan Mohd Abdul Wahid Endut dari PAS menewaskan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan majoriti 2,631 undi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menegaskan akan perlunya bagi Umno dan BN untuk merekayasa bagi memenuhi aspirasi rakyat tanpa mengorbankan prinsip dan perjuangan Umno.

"Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bakal penggantinya Datuk Seri Najib Tun Razak perlu melakukan perubahan radikal, pembedahan politik, jika terpaksa," katanya.

Menurut Muhyiddin, sebaiknya ialah menjalankan post-mortem untuk mengenal pasti kelemahan yang menyumbang kepada kekalahan di Kuala Terengganu dan lebih penting lagi mengkaji dengan mendalam pemikiran pengundi.

"Tidak dapat tidak pasti ada kelemahan dalam mana-mana pilihan raya kecil walaupun jentera parti bekerja keras siang dan malam. Tetapi mungkin ada isyarat yang perlu diberi perhatian dengan serius.

"Apakah ini bermakna rakyat masih sukar untuk menerima BN selepas kita kalah pada pilihan raya umum lepas, kerana mereka tidak rasa sudah ada satu perubahan atau pembaharuan yang kita kata kita hendak lakukan," kata beliau.

Muhyiddin berkata oleh sebab itu, BN dan Umno khususnya tidak seharusnya mengambil masa terlalu lama untuk melaksanakan segala bentuk pembaharuan yang dijanjikan.

Apa yang penting ialah Umno dan BN menangani isu persepsi tertentu yang bermain di benak pemikiran pengundi, tegas beliau.

"Bila sebut Umno atau BN, ini persepsi dia dan ditokok tambah pula dengan putar belit parti pembangkang. Di samping itu, kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa rakyat kita juga sudah lebih faham dan peka serta mampu menilai daripada semua sudut.

"Mungkin kita dilihat belum bersedia untuk memenuhi apa yang mereka fikir baik," kata beliau sambil menyarankan supaya Umno dan BN bersedia bertindak secara lebih radikal dalam melaksanakan perubahan yang difikirkan perlu.

Muhyiddin menegaskan bahawa kenyataan-kenyataan tertentu perlu dibuat supaya rakyat faham apa yang dimaksudkan dengan pembaharuan yang ingin dibawa oleh Umno dan BN.

"Jika tidak mereka akan anggap kenyataan-kenyataan kita sebagai retorik. Jadi saya lebih cenderung mengalisis keputusan pilihan raya kecil itu daripada perspektif lebih holistik walaupun kita boleh kenal pasti sebab kekalahan daripada segi biasa seperti jentera pilihan raya tidak berapa berkesan walaupun kerja keras, soal calon, perkara yang ditimbulkan parti lawan dan sebagainya," katanya.

Di masa lalu, katanya BN akan menghadapi pilihan raya kecil dengan penuh bersemangat dan yakin, mencatatkan kemenangan di kawasan yang dianggap bermasalah.

Muhyiddin berkata, beliau ada menerima pandangan daripada pelbagai pihak yang melahirkan kebimbangan kekalahan BN dalam pilihan raya kecil menjadi satu trend baru kerana rakyat masih tidak melihat apa-apa pembaharuan di pihak BN dan Umno sendiri.

"Biar kita bermuhasabah secara serius. Mungkin orang marah kalau saya kata macam ini. Dan tentu akan ada pemimpin yang kata ia tidak menjadi trend, tapi kita tak tahu," kata beliau.

Menurut beliau, parti kerajaan perlu faham semasak-masaknya apa yang rakyat mahu kerana penentu kalah menang pada mana-mana pilihan raya ialah rakyat.

"Kita perlu jujur kepada diri sendiri. Jangan kita bersikap `tak ada apalah, kita okaylah'. Ini yang jadi masalah kepada kita," kata Muhyiddin.

Jelas beliau lagi: "Perkataannya ialah `segera berubah'. Dalam tempoh tiga, empat tahun ini akan ada lagi pilihan raya kecil, pilihan raya negeri. Jadi bagaimana keadaan kita".

Selain Umno, parti komponen BN yang lain juga perlu melakukan muhasabah diri kerana mereka juga mempunyai masalah mereka sendiri, katanya.

-- BERNAMA

Wednesday 14 January 2009

Kerajaan BN Adil Buat Semua, Kata Najib

KUALA TERENGGANU, 13 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sentiasa bersikap adil kepada semua kaum dalam negara, termasuk di bidang pendidikan.

Katanya kerajaan memberi biasiswa kepada semua pelajar yang memperolehi 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan.

"Anak Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, kalau dapat 9A pada peringkat SPM, diberi biasiswa untuk masuk universiti tempatan. Automatik, tak kira warna kulit, semua dapat biasiswa, inilah kerajaan BN," katanya ketika berucap di majlis Malam Citra Seni 2009 di Kampung Tiong di sini, Selasa.

Beliau berkata semasa menjadi Menteri Pelajaran pada 1993, beliau mengambil keputusan untuk meminda Akta Pendidikan pada tahun 1996 dengan memansuhkan kuasa menteri untuk menutup sekolah Cina.

Katanya selaras dengan keputusan itu, kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dalam negara memang tidak boleh dipersoalkan lagi.

Dalam pada itu, Najib meminta masyarakat berbilang kaum dalam negara supaya tidak melihat kepada perbezaan yang ada di kalangan mereka, sebaliknya menilai persamaan yang wujud.

Menurutnya pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan dan sebagainya bekerjasama untuk mencapai kemerdekaan tanpa berlaku pertumpahan darah.

Katanya rakyat Malaysia tidak harus melupakan dari mana asal mereka dengan melupakan jasa pemimpin terdahulu membina Malaysia.

-- BERNAMA

Sunday 11 January 2009

Karpal Letak Syarat Pada PAS Dan PKR

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Pengerusi DAP Karpal Singh berkata parti itu sanggup bekerjasama dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekiranya PAS dan PKR tidak meneruskan usaha untuk melaksanakan undang-undang hudud.

"Dalam politik telah dikatakan bahawa tiada musuh atau rakan yang kekal, tetapi prinsip yang kekal perlu dimiliki oleh setiap parti politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Karpal berkata PAS dan PKR perlu menerima hakikat bahawa hudud tidak pernah termaktub dalam perundangan negara.

"Keamanan dan keharmonian di kalangan rakyat pelbagai anutan di negara ini tidak boleh digugat dengan percubaan untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Semalan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penganut Kristian tidak perlu merasa gusar sekiranya masyarakat Islam mahukan undang-undang Islam.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata hukum hudud adalah untuk orang Islam sahaja sementara bukan Islam boleh memilih untuk dibicarakan di bawah undang-undang sivil.

Karpal berkata hujah tersebut tidak logik.

"Apa akan terjadi sekiranya seorang Islam dan bukan Islam menghadapi tuduhan bersama. Yang Muslim memilih untuk dibicarakan menerusi hudud sementara yang bukan Islam memilih undang-undang sivil. Bagaimana mahkamah akan mengatasi dilema ini." katanya.

Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan hanya menetapkan satu bentuk undang-undang sahaja iaitu undang-undang sivil bagi orang Islam dan bukan Islam.

-- BERNAMA

Saturday 10 January 2009

Wakil Gaza bangga masih ada saudara seagama yang pertahan warga Palestin

SHAH ALAM, 10 Jan. — Sejumlah besar di kalangan 1.5 juta warga Palestin di Gaza yang sedang dikepung oleh kereta-kereta kebal dan dibedil jet-jet pejuang serta helikopter tempur rejim Zionis, masih kental dengan semangat juang dan sanggup mati syahid menentang kekejaman Yahudi.

Ini ditegaskan oleh Wakil Gaza, Naji Z.A.Alsarhi yang hadir pada Rapat Umum Selamatkan Gaza anjuran Aman Palestin di Stadium Malawati di sini hari ini.

Dalam ucapannya dalam bahasa Arab dengan dibantu penterjemah ke bahasa Melayu, beliau melahirkan rasa bangga bahawa masih ada saudara seagama yang sanggup bangun mempertahankan nasib warga Palestin di Gaza itu.

Beliau turut mengingatkan golongan warga Palestin yang bersekongkol dengan Israel bahawa kegiatan mereka yang belot kepada bangsa sendiri untuk menghancurkan umat Islam di Palestin telah diketahui dan ada antara mereka telah dikenalpasti.

Naji juga berkata, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tidak amanah dalam memelihara hak rakyat Palestin dan membiarkan Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya bagi menidakkan sebarang resolusi yang dicapai di badan dunia itu bagi mengecam kekejaman Israel ke atas warga Palestin.

Beliau berkata, negara-negara Arab perlu bersatu dan jangan biarkan Gaza mati. - Bernama

Thursday 8 January 2009

Kutipan derma sembahyang Jumaat diserah kepada Palestin


KUALA LUMPUR 8 Jan. — Bermula esok, semua kutipan derma sembahyang Jumaat selama tiga minggu berturut-turut di seluruh negara perlu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam negeri masing-masing untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata wang itu akan dikumpul di Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada Kementerian Luar.

“Saya memohon semua umat Islam agar menderma lebih sedikit daripada hari biasa untuk membuktikan keprihatinan sebagai orang Islam terhadap rakan seagama yang menjadi mangsa kekejaman Yahudi di Gaza.

“Bagi kutipan yang digunakan untuk membayar bil elektrik, air, elaun imam serta penceramah, saya minta lupakan sekejap perkara tersebut dan gunalah peruntukan lain untuk menjelaskannya... hanya untuk tiga minggu ini sahaja,” katanya semasa sidang akhbar mengumumkan prestasi kutipan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) di sini hari ini. - Bernama

Jom boikot


Marilah kita sama-sama memboikot produk dari Israel dan sekutunya yang telah menyembeleh rakyat Palestin tanpa belas kasihan. Senarai produk klik di sini

Wednesday 7 January 2009

Kejam! Kejam! Kejam!


Penduduk Palestin berada di ambang maut apabila bantuan ubat-ubatan, air bersih dan makanan tidak dapat disalurkan akibat sekatan Israel.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) sifatkan keadaan di Gaza sangat-sangat berbahaya dan meruncing.
Semua hospital di Gaza kehabisan bekalan darah dan ubat-ubatan terutama vaksin tetanus untuk kanak-kanak.
Rejim Zionis tidak akan mengadakan gencatan senjata selagi Hamas tidak ‘berundur’ dan berhenti melepaskan tembakan roket ke wilayah Israel. Utusan
Anak Jati Bukit Duyong - Ya Allah ya tuhanku Kau selamatkanlah saudara ku yang berada didalam kesusahan dari tekanan dan cengkaman Israel.