Wednesday 29 July 2009

Siapa rasis?: NGO Melayu sokong pendirian Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 28 Julai - Pelbagai pihak hari ini menyelar tindakan mereka yang menuduh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai rasis.

Bagi mereka, perjuangan mempertahankan kepentingan orang Melayu yang masih ketinggalan di tanah air sendiri adalah tidak salah, jauh sekali melangkaui batas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, senario negara pada masa ini lebih menjurus kepada situasi dwi-standard iaitu Melayu akan dikecam habis-habisan dan digelar rasis apabila memperjuangkan kepentingan dan agenda mereka.

"Yang peliknya apabila kaum lain dengan lantang membuat pelbagai tuntutan dan membangkitkan isu- isu sensitif, tidak pula mereka dianggap sebagai rasis. Tetapi apabila Melayu yang bersuara akan terus dicap sebagai rasis," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ruangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia kelmarin mempersoalkan banyak pihak bukan Melayu terutama parti-parti politik Cina yang kurang senang dengan tulisan Dr. Mahathir mengenai kepentingan orang Melayu dan menuduh beliau sebagai rasis.

Reaksi daripada tuduhan itu, Dr. Mahathir berpendapat mereka yang menuduh beliau rasis semata-mata kerana mempertahankan kepentingan orang Melayu dan menyuarakan hakikat kedudukan semasa kaum tersebut, juga merupakan orang yang rasis.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican menegaskan, adalah tidak adil melabelkan Dr. Mahathir sebagai rasis hanya kerana beliau memperjuangkan nasib kaum Melayu yang masih gagal menikmati dengan sewajarnya kekayaan 'kek' ekonomi negara.

Katanya, sekiranya benar bekas Perdana Menteri itu seorang rasis, mengapa sepanjang 22 tahun beliau mentadbir negara, kaum lain turut mendapat banyak manfaat.

"Kaum bukan Melayu yang paling banyak mendapat kek ekonomi sepanjang tempoh itu, malah senarai 10 individu terkaya negara juga kebanyakannya dari kaum Cina dan India.

"Pihak lain tidak sepatutnya selektif dalam menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan, aspirasi perkara lain dipatuhi tetapi apabila membabitkan Fasal 153 mengenai keistimewaan Melayu, enggan pula dihormati," ujarnya.

Tegas beliau, usaha untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi kaum teras iaitu Melayu amat penting kerana ia akhirnya akan membawa kepada kestabilan sesebuah negara terutama yang didiami oleh masyarakat majmuk.

"Mahukah kita menjadi seperti Zimbabwe, masyarakat kulit hitam jumlahnya 90 peratus berbanding kulit putih yang hanya 10 peratus, tetapi harta dan kekayaan mereka hampir mencapai 100 peratus, akhirnya negara itu sentiasa bergolak akibat perasaan tidak puas hati," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, kaum lain di negara ini perlu menghormati Melayu sebagai kaum teras dan sepatutnya membuang sejauh mungkin perasaan buruk sangka mereka.

Beliau yang menyokong penuh kenyataan Dr. Mahathir itu menjelaskan, orang Melayu bukannya berniat untuk mengaut sepenuhnya kekayaan negara tetapi hanya menuntut hak mereka yang sebenarnya telah pun dipersetujui bersama sebelum ini.

"Jadi, sebenarnya langsung tiada sebarang isu berbangkit. Melayu sebagai kaum teras mahu hidup harmoni cuma sekiranya kaum ini terus tercicir dikhuatiri akan mewujudkan jurang pemisah yang besar dan ia adalah tidak sihat kepada sebuah negara majmuk," katanya

Monday 27 July 2009

"Mereka juga rasis" - Dr. Mahathir

27/07/2009 9:07am

KAMPALA 27 Julai - Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat mereka yang menuduh beliau sebagai rasis semata-mata kerana mempertahankan kepentingan orang Melayu dan menyuarakan mengenai hakikat kedudukan semasa kaum tersebut, juga merupakan orang yang rasis.

Bekas Perdana Menteri itu tidak terkejut dengan tuduhan tersebut yang dilemparkan ekoran tulisan beliau dalam blognya Che Det yang bertajuk 'Kaki Dalam Kasut' kerana dirinya pernah dicap sebagai 'Pelampau Melayu' oleh golongan yang sama sebelum beliau menjadi perdana menteri.

Menurutnya, apa yang membuatkan beliau sedih ialah apabila golongan tersebut, yang tidak mahu menerima hakikat bahawa orang Melayu masih ketinggalan dari segi ekonomi, kelihatan cuba membuatkan kaum lain tunduk kepada desakan atau tuntutan-tuntutan mereka.

"Kalau sesiapa hendak kata saya rasis, mereka ada hak. Tetapi saya berpendapat mereka juga rasis. Saya sudah lama dicap sebagai rasis, sebelum jadi perdana menteri saya dikenali sebagai Pelampau Melayu dan apabila saya menjadi perdana menteri, saya dapati kaum lain tidak bising dengan apa yang saya lakukan.

"Sebenarnya mereka tahu, semasa saya menjadi perdana menteri, mereka juga dapat hak mereka. Saya akan anggap saya tidak memenuhi janji kalau tidak memberi pandangan mengenai orang Melayu yang masih ketinggalan di belakang," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Ruangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia semalam mempersoalkan banyak pihak bukan Melayu terutama parti-parti politik Cina yang kurang senang dengan tulisan Dr. Mahathir mengenai kepentingan orang Melayu itu dan menuduh beliau sebagai rasis.

Dr. Mahathir berada di sini untuk menyertai Dialog Perkongsian Pintar Global 2009 (Global 2009) di Munyonyo Commonwealth Resort dekat sini yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam. - Utusan.

Saturday 18 July 2009

Hak istimewa Melayu tetap dipertahan selagi UMNO berkuasa - Muhyiddin

KUALA KANGSAR 18 Julai - Segala hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Negara akan terus dipertahankan selagi UMNO berkuasa, kata Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“UMNO sedar tanggungjawabnya sebagai parti yang membela orang Melayu,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas dekat sini hari ini.

“Itulah perjuangan kita dahulu, sekarang dan insya-Allah pada masa-masa yang akan datang. Ini adalah perkara yang cukup penting yang kita tidak boleh abaikan,” katanya. - Bernama

Wednesday 15 July 2009

'Rintis penyatuan Melayu'

IPOH 14 Julai - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu usaha penyatuan umat Melayu dirintis bagi membina keupayaan kaum itu dalam semangat serumpun bangsa dan sealiran agama.

Bagi memastikan hasrat murni itu tercapai, baginda bertitah semua pihak harus mengetepikan kesetiaan kepada individu atau kumpulan.

"Berpijaklah kepada kenyataan, berpandulah kepada akal fikiran. Semarakkan semangat silaturahim, hayati semangat bermaaf-maafan, bahawa Melayu itu bangsamu dan Islam itu agamamu.

"Bersatulah dalam semangat dan roh agama suci Islam yang sama-sama mengakui hakikat keesaan Allah, Tuhan yang satu dan Nabi Muhammad SAW itu ialah Rasul Junjungan, al-Quran itu kitab pegangan dan secara bersama menghadap kiblat melakukan ibadat sembahyang, serta menerima orang Islam itu sebagai saudara," titahnya.

Baginda menyatakan demikian dalam titah utama bertajuk Islam dan Melayu: Modal Pengupayaan Umat pada majlis perasmian Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Dewan Bankuet bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Raja Nazrin menegaskan, budaya berpolitik yang sedang berlaku menyebabkan ketaksuban baru sehingga menjelma budaya assabiyah, yang mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan berbanding kelangsungan ummah.

Titah baginda, keadaan itu akhirnya menyebabkan Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan kelemahan antara satu sama lain.

Lebih malang lagi, menurutnya, apabila kata-kata yang diungkapkan mahupun tindakan yang dilakukan, semakin hari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah.

"Akibatnya modal pengupayaan umat menjadi semakin lemah. Berapakah ketirisan yang akan terus berlaku lagi? Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat, memperdaya bangsa demi memenuhi nafsu sendiri?" titah baginda.

Raja Nazrin mengingatkan, jika perkara itu terus berlaku maka bangsa Melayu hanya menghitung hari untuk kehilangan tampuk kuasa.

"Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan akan bertambah binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang.

"Ini kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu," titahnya.

Baginda bertitah, umat Melayu Islam kini sedang menghadapi cabaran besar menyentuh identiti, maruah, martabat dan kelangsungan bangsanya.

"Melayu dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat.

"Namun, bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat personaliti melangit jauh lebih kecil.

"Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah," titah baginda.

Lebih malang lagi, menurutnya, apabila kata-kata yang diungkapkan mahupun tindakan yang dilakukan, semakin hari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah.

“Akibatnya modal pengupayaan umat menjadi semakin lemah. Berapakah ketirisan yang akan terus berlaku lagi? Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat, memperdaya bangsa demi memenuhi nafsu sendiri?” titah baginda.

Raja Nazrin mengingatkan, jika perkara itu terus berlaku maka bangsa Melayu hanya menghitung hari untuk kehilangan tampuk kuasa.

“Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan akan bertambah binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang.

“Ini kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu,” titahnya.

Baginda bertitah, umat Melayu Islam kini sedang menghadapi cabaran besar menyentuh identiti, maruah, martabat dan kelangsungan bangsanya.

“Melayu dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat.

“Namun, bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat personaliti melangit jauh lebih kecil.

“Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah,” titah baginda.

Friday 10 July 2009

Natrah, gadis rebutan berdarah 1950 meninggal dunia


Natrah digendong oleh ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed. Gambar ini diambil sekitar tahun 50-an.


KUALA LUMPUR 9 Julai – Bertha Hertogh atau Natrah, nama Islamnya pada satu ketika dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda, semalam.

Beliau meninggal dunia akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr. Fauziah Mohd. Taib menerusi e-mel kepada Bernama hari ini.

Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.

Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam serta bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Namun begitu, undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin.

Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungannya di Belanda.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kamarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.

Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.

Dr. Fauziah berkata, Natrah akhirnya pulang ke Belanda, namun hati dan perasaannya masih melekat di Malaya ketika itu.

Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda.

“Menurut Bertha, beliau hanya merasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya,” kata Dr. Fauziah.

Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan. – BERNAMA

Sunday 5 July 2009

Umat Islam hilang ketuanan jika biar perpecahan - Harussani

SHAH ALAM 4 Julai - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan umat Islam khususnya orang Melayu bahawa mereka akan hilang ketuanan di negara ini sekiranya terus membiarkan perpecahan menular di kalangan mereka.

Sambil mengaitkannya dengan keadaan politik semasa, beliau berkata, keadaan itu tidak harus berlaku kerana ajaran Islam menyarankan supaya semua penganutnya bersatu.

Katanya, semua umat Islam perlu melihat kembali dua perkara utama dalam ajaran Islam iaitu rukun iman yang menyentuh kepada pembentukan sahsiah manakala rukun Islam berkait rapat dengan pembentukan masyarakat Islam.

"Jika umat Islam terlalu suka merebut perkara yang melibatkan kebendaan, maka perpecahan akan berlaku. Keadaan ini dilihat berlaku di Malaysia dan negara lain di seluruh dunia pada hari ini.

"Sekiranya perpecahan ini dibiarkan berlaku sedikit demi sedikit, umat Islam mungkin akan hilang ketuanan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran buku 'Rahsia Khazanah Ilmu Pyracosmic' (tenaga alam semesta) terbitan syarikat jualan barangan kesihatan, Pyracosmic mengenai kaedah-kaedah rawatan dan rahsia penyembuhan alam Melayu yang diolah selaras dengan firman-firman Allah S.W.T dalam al-Quran.

Tambah Harussani, perbezaan pendapat tidak salah dan menyifatkan ia merupakan satu rahmat yang dapat membawa kepada pembangunan negara.

Bagaimanapun, perbezaan pendapat daripada pihak-pihak tertentu sehingga membawa kepada perpecahan adalah tidak wajar kerana ia boleh merosakkan masa depan negara.

"Kalau tidak ada perbezaan pendapat, tidak ada pembangunan. Tapi jangan sampai perbezaan itu boleh memberi kesan kepada perpecahan masyarakat.

"Maka sebab itu, perbezaan pendapat ini harus disalurkan melalui kaedah syura (perbincangan) supaya permasalahan itu diselesaikan dengan cara yang baik," jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Harussani yang ditanya mengenai tanggungjawab umat Islam menangani penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) berkata, kerajaan perlu bertindak lebih tegas dengan tidak membenarkan rakyat negara ini keluar atau melawat negara yang dijangkiti virus itu untuk sementara waktu.

Malah, beliau juga meminta kerajaan mengarahkan rakyat negara ini yang berada di negara yang dijangkiti virus berkenaan supaya tidak pulang ke Malaysia sehingga wabak itu benar-benar dikawal.

"Dalam sibuk-sibuk (bertindak bagi mengekang penularan wabak itu di negara ini) kita masih juga benarkan orang balik. Itu sebab kes meningkat setiap hari sampai berpuluh-puluh kes sehari.

"Orang Islam yang tak makan babi pun, terkena jangkitan selesema babi," ujarnya.