Monday 31 August 2009

Merdeka!... Di mana Jalur Gemilang?

HARI ini 31 Ogos 2009, bermakna genap 52 tahun kita mengecapi kemerdekaan. Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-52. Hari ini juga genap 10 Ramadan, bermakna, hari kesepuluh umat Islam menjalani ibadah puasa. Semoga kemerdekaan kita dan ibadat kita pada bulan yang mulia ini diberkati. Disebabkan sambutan Hari Kebangsaan kali ini jatuh pada bulan puasa dan ketika negara malahan dunia sedang bergelut melawan wabak selesema babi influenza A (H1N1), maka sambutan kali ini terpaksa berlangsung dalam suasana sederhana.

Lebih banyak acara keagamaan diadakan. Bermula dengan cadangan sambutan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia terpaksa dipindahkan ke pekarangan Parlimen. Masa sambutan pada hari ini juga cuma 40 minit. Tetapi semangat sambutan tetap sama. Cuma yang agak mengecewakan ialah keghairahan masyarakat kita mengibarkan Jalur Gemilang. Mungkin sedikit keghairahan boleh dilihat di ibu negara. Itu pun disebabkan program kerajaan MenjalurGemilangkan Kuala Lumpur. Kerajaan juga dengan sokongan pihak swasta mengagihkan bendera secara percuma. Tetapi bagaimana pula di negeri-negeri lain.

Entah kenapa pada tahun ini, tidak nampak keghairahan mengibarkan Jalur Gemilang seperti yang pernah dialami dalam sambutan yang sama beberapa tahun lampau. Dulu, disebabkan ada satu peraduan yang menawarkan hadiah, maka berlumba-lumba pemilik kenderaan mengibarkan Jalur Gemilang. Tetapi kali ini jumlah kenderaan yang mengibarkan Jalur Gemilang boleh dihitung dengan jari. Tidak percaya? Cuba anda duduk di mana-mana plaza tol dan bilang berapa banyak kenderaan yang melintasi plaza tol itu yang mengibarkan Jalur Gemilang. Kemeriahan di bangunan juga agak kurang. Kibaran Jalur Gemilang di rumah kediaman - banglo, teres, apartmen dan sebagainya juga tidak menggalakkan.

Adakah kerana pemilik kenderaan tidak mendapat bekalan percuma? Adakah pemilik bangunan dan kediaman tidak mempunyai bajet untuk menghiasi bangunan mereka dengan Jalur Gemilang?

Tidak dinafikan ramai juga yang menantikan Jalur Gemilang percuma. Kalau dapat... pasang, tak dapat... tidak apa. Itulah sikap orang kita. Samalah seperti nasihat supaya memakai penutup hidung dan mulut dalam usaha mencegah selesema babi. Dah terbalik... mengubat lebih baik daripada mencegah. Harga RM0.80 bagi setiap helai penutup hidung dan mulut itu dianggap mahal (jika dibandingkan harga sebelum wabak) bagi menjaga kesihatan. Membeli dua helai penutup hidung dan mulut, seseorang itu mampu membeli satu kilogram gula pasir yang lebih memudaratkan.

Bagaimanapun tidak dinafikan, penutup hidung dan mulut yang perlu 'pakai buang' dalam sehari itu mahal sedangkan harga asalnya tidaklah sehingga mencecah RM0.80 sen. Di Jalan Tuanku Abdul Rahman, sebelum harga kawalan dikenakan, untuk dua helai penutup hidung dan mulut boleh diperoleh dengan harga RM1.50 sen. Maknanya boleh dapat harga lebih murah. Begitu juga dengan perokok yang sanggup membeli sekotak rokok pada harga RM6.80 tetapi tidak mampu mendapatkan sehelai bendera kecil yang harganya tidak lebih daripada RM3 sedangkan pada harga sekotak rokok, seseorang itu mampu mendapat sehelai bendera besar.

Itulah bezanya, antara Jalur Gemilang, penutup hidung dan mulut. Satu untuk menunjukkan rasa bangga terhadap kemerdekaan sementara yang satu lagi berkait rapat dengan penjagaan kesihatan. Kedua-duanya mahu mengharapkan yang percuma sedangkan tidak harus ada tolak ansur dalam penjagaan kesihatan.

Bagi kebanyakan orang, dua perkara ini - pasang bendera dan memakai penutup hidung dan mulut bukanlah satu kemestian. Namun bak kata Nabil Raja Lawak: "Lu pikir la sendiri".

Lagi pun ramai yang akan berkata, setakat memasang atau mengibarkan bendera bukan melambangkan kecintaan sebenar seseorang terhadap erti kemerdekaan. Apa yang penting, niat kita. Tetapi dengan kibaran Jalur Gemilang, sekurang-kurangnya kita dapat mengingati akan kemerdekaan serta menunjukkan semangat patriotik. Sampai bila kita akan bergantung kepada kerajaan untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan? Kerajaan boleh beri bendera percuma malahan tahun ini, pihak swasta menyediakan 3.1 juta helai bendera. Tetapi sekali sekala bolehlah, takkan saban tahun. Ada juga manusia yang selepas mendapat bendera, dia pasang dan kemudian biar reput di tengah panas dan hujan. Ada pula yang simpan bendera tetapi apabila tiba 31 Ogos, malas nak pasang. Maka reputlah bendera itu dalam simpanan.

Apa pun, sempena ulang tahun kemerdekaan ini, sama-samalah kita mengingati semula liku-liku perjuangan pemimpin yang berjuang menuntut kemerdekaan negara. Fahamilah erti kemerdekaan yang sebenarnya.

Seperti perutusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi, apa yang penting, rakyat perlu terus mengurus kejayaan dan membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang terpupuk selama ini.

''Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik malahan akan musnah jika rakyat tidak berwaspada. Buktinya, lipatan sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan,'' kata Najib.

Memang benar untuk membina sebuah bangunan pencakar langit akan mengambil masa yang terlalu lama, memerlukan ribuan pekerja. Begitu juga untuk membina suasana kerukunan yang ada pada hari ini bukanlah satu kerja mudah. Banyak yang terpaksa dikorbankan untuk mencapai sebuah negara yang bermula dengan Malaya, kemudiannya Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia. Tetapi untuk memusnahkan sesuatu cukup mudah. Sebuah bangunan boleh runtuh dan ranap hanya sekelip mata sama ada dengan kuasa Tuhan melalui gempa bumi atau ciptaan manusia seperti letupan bom atau dilanggar menggunakan pesawat.

Begitu juga bagi memusnahkan suasana kerukunan hari ini terlalu mudah. Hanya sekadar meniup api perkauman, sentimen kaum, maka akan tercetuslah mala petaka yang ditakuti. Justeru, jagalah kerukunan yang ada supaya ia tidak hancur lebur kerana perkara titik bengik.

Salam 1Malaysia. Selamat Hari Kebangsaan Malaysia!

sumber- UTUSAN

Tuesday 18 August 2009

'Letak calon Umno jika Melayu ramai'

Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my

Syor BN kaji tradisi pembahagian kerusi

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik mencadangkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai lebih 50 peratus penduduk Melayu perlu meletakkan calon Umno pada pilihan raya umum akan datang.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata sudah tiba masanya Barisan Nasional (BN) mengkaji semula tradisi pengagihan kerusi kepada parti komponennya.


"Saya berasa sudah tiba masanya untuk BN bertindak ke arah itu. Buat masa ini, hasil pemerhatian saya, Umno meletakkan calonnya jika kawasan itu mempunyai lebih 60 peratus pengundi Melayu.


"Sepatutnya calon diletakkan mengikut kehendak pengundi bukannya secara tradisi, jika letak calon MCA tetapi ditolak lebih baik letak calon Umno ataupun MIC dan begitu jugalah sebaliknya," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mencadangkan pengagihan kerusi yang diguna pakai sekarang dikaji semula dengan mengambil kira kehendak pengundi kawasan itu.

Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, berkata cadangan itu sesuatu yang baik, bagaimanapun ia tidak boleh menjejaskan parti komponen lain.


"Sudah tiba masanya BN membuat pertimbangan mengenai perkara ini, apa pun keputusannya ia perlu mendapat persetujuan semua parti komponen BN dan peratusan pengagihan juga tidak memberi kesan mana-mana parti.

Bagaimanapun, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman, berkata saranan Mohamed Khaled boleh menimbulkan kontroversi dalam BN walaupun ramai yang sukakannya.

Thursday 6 August 2009

Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Menurut baginda, wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah:

Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melalyu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);

Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini;

Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan;

Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu;

Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Kepentingan sah kaum-kaum lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Raja Nazrin Shah bertitah demikian semasa melancarkan tiga buku allahyarham Datuk Dr Syed Hussein Alatas, berjudul Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, bersempena seminar antarabangsa legasi pemikiran pemikir itu yang bermula Selasa lalu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.

Menurut Bernama, baginda bertitah wasiat sembilan Raja Melayu - yang terdiri empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu itu - disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.

"Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu," titah Raja Nazrin Shah, merujuk kepada Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1).

Menurut Raja Nazrin Shah fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

"Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 pada 31 Ogos ini, sewajarlah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpendam dari sejarah," titah baginda.

Mengenai Syed Hussein Alatas, yang meninggal dunia kerana serangan jantung pada 23 Jan 2007, Raja Nazrin Shah bertitah bahawa Allahyarham sering membangkitkan mengenai kejijikan rasuah, dan dihuraikannya dalam buku tulisan beliau "Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi."

"Walaupun ianya kotor dan jijik, ironinya semakin ramai yang berlumba untuk mendapatkan kuasa supaya berpeluang melakukannya, malah melakukannya dengan penuh tipu muslihat untuk terlepas dari undang-undang dan hukum dunia," titah baginda.

Raja Nazrin Shah bertitah bahawa ramai yang bercakap tentang rasuah, malah seruan untuk memeranginya adakalanya bergema lebih nyaring daripada kalangan mereka yang tidak bebas daripada melakukannya.

"Lalu tenggelamlah kesungguhan usaha untuk memerangi rasuah dalam retorik kepura-puraan. Akibatnya takhta runtuh, pemimpin jatuh, negara lebur dan rakyat melarat," titah baginda.

Baginda bertitah rasuah berlaku di mana-mana termasuk di istana, dalam sektor awam, swasta, organisasi politik, malah dalam badan-badan agama, kerana rasuah merupakan candu yang mengasyikkan dan yang menanggung derita bukan dalam kalangan pengamal dan penerima rasuah.

"Sebenarnya rasuah merendahkan martabat seseorang insan ke taraf abdi, menjadikan insan hamba kepada harta, kepada kekayaaan, kepada kebendaan dan kepada jawatan yang diperoleh secara haram," titah Raja Nazrin Shah.

Menurut baginda, rasuah adalah instrumen yang membunuh jiwa merdeka, pemikiran merdeka, sifat merdeka dan watak merdeka dalam diri seseorang insan yang terjebak dengannya.