Wednesday 22 April 2009

Rahsia Terbongkar

RAHSIA GODAAN ANWAR


KERAJAAN 16 SEPTEMBER YANG GAGAL

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah meminta beberapa ahli parlimen Barisan Nasional menandatangani surat untuk memberikan persetujuan kepada beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke enam pada 16 September 2009 yang lalu. Surat tersebut ditujukan kepada SPB Yang Di Pertuan Agong.

Demikian didedahkan oleh ahli parlimen Batu Pahat yang terpilih sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi dalam program Sembang petang “UMNO Dalam cabaran” anjuran UMNO Bahagian Gombak di Dewan Cempaka, Kelab Darul Ehsan petang tadi (19 April 2009) mulai jam 2.45 petang.

Menurut Dr. Puad, beliau telah menerima panggilan talipon daripada rakan Anwar Ibrahim, Dr. Abdul Rahim Ghaus, seorang ahli perniagaan pada 20 September jam 2 pagi tahun lalu yang menyatakan beliau ingin berjumpa dan berbincang mengenai pembentukan kerajaan pembangkang yang baru.

Dr. Puad bersetuju berjumpa dengan Dr. Abd Rahim yang kemudiannya yang merayu dan menunjukkan surat yang ditujukan kepada SPB Yang Di Pertuan Agong bagi mendapatkan persetujuan melantik DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang baru menggantikan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan telah hilang sokongan.

Untuk meyakinkan lagi, Dr. Abdul Rahim telah menalipon Anwar Ibrahim untuk bercakap dan meyakinkan beliau. Menurut Dr. Puad, Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa “Pak Lah is no longer in command..”

Beliau merayu agar Dr. Puad menandatangani surat tersebut tanpa perlu keluar daripada Barisan Nasional. Anwar berjanji akan merahsiakan tandatangan beliau. Ia hanyalah untuk tatapan SPB Yang Di Pertuan Agong, tambahnya lagi.

“I need more Malay MPs like you”, tambah Anwar lagi. “And we already have enough numbers to form new government,” kata Anwar cuba meyakinkan lagi.

Anwar cuba meyakinkan Dr. Puad dengan menyatakan bahawa empat Sultan telah menyatakan sokongan, termasuk SPB Yang Di Pertuan Agong !!.

Dr. Puad secara fizikalnya terketar-ketar. Beliau hanya baru beberapa bulan menjadi ahli parlimen tiba-tiba menerima ujian yang begini besar. Menurutnya, beliau terketar-ketar kerana takut terpengaruh dan lantas tanpa sadar menandatangani surat tersebut, jelasnya lagi.

Beliau cuba menguatkan pendirian dengan bertanya Anwar tentang bagaimana dengan agenda Melayu. Ini kerana beliau bimbang Pakatan Rakyat tidak lagi menjuarai kepentingan bangsa Melayu dan Islam lantaran ingin menjaga perasaan DAP dan pengundi Cina.

Menurut Dr. Puad, Anwar menyatakan kepadanya kepentingan bangsa Melayu akan dijaga dan beliau pernah menegur Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana kes tanah di Selangor.

Tetapi Kata Dr. Puad, banyak kes di Parlimen seperti serangan terhadap menghalang Murtad / keluar Islam yang ditimbulkan oleh ahli parlimen Bukit Mertajam dari DAP tidakpun dipertahankan oleh ahli-ahli parlimen PAS mahupun PKR. Hanya pemimpin UMNO yang berbuat demikian. Apa yang diharapkan kepada mereka untuk berbuat demikian, tegasnya lagi.

“UMNO yang telah menggubal perlembagaan yang membuat ketetapan dimana keputusan mahkamah syariah tidak boleh dicabar dimahkamah civil,” tambah Dr. Puad dengan bersemangat.

Berbalik kepada perbualan telepon Anwar-Dr.Puad, lantaran debaran yang demikian kuat, Dr. Puad meminta tempoh kepada Anwar untuk beliau menunaikan solat istiqarah bagi mendapatkan petunjuk daripada Allah swt.

Beliau menyampaikan berita tersebut kepada isterinya untuk berbuat demikian dan melakukan solat istiqarah mendapatkan restu Allah. Keesokannya beliau menerima talipon lagi daripada Dr. Rahim Ghous.

Dr. Puad menjawab bahawa setelah beliau melakukan istiqarah, beliau telah mendapat mimpi yang menyatakan, “Kalau saya sign surat persetujuan tersebut bermakna saya telah menjual negara..”. kata Puad disambut dengan tepukan gemuruh daripada para hadirin yang hadir.

“Kalau saya sign, saya akan dihalau oleh Sultan dari negeri Johor yang merupakan tempat UMNO di nobatkan”, tegas beliau lagi.

“Saya memegang jawatan ini bukan untuk diri saya, tetapi untuk bangsa dan agama dan saya berharap saya akan istiqamah dengan perjuangan ini,” tambah Dr. Puad mengakhiri ucapannya dengan soalan-soalan yang bertalu-talu dari hadirin.

Anwar mengenali Dr. Puad kerana beliau pernah menjadi tenaga pengajar di Yayasan Anda Akademik pada tahun 80 an dahulu. Beliau seorang yang kuat berpegang kepada prinsip perjuangan agama dan bangsa. Pendekatannya sudah tentu berbeda dengan ahli-ahli parlimen yang lain.

Umum mengetahui bagaimana Anwar telah mengarahkan wakil-wakil rakyat PKR berkejaran ke Taiwan untuk memujuk ahli parlimen BN menandatangai surat persetujuan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke 6 pada 16 September 2008 yang lalu.

Dengan kehendak Allah, Perak yang jatuh ke tangan Barisan Nasional.

Hampir 400 ahli UMNO dari cawangan-cawangan Hulu Kelang hadir dalam perjumpaan tersebut.- fuhas.

Tak Tumbuh Tak Melata

Letak Galah Dalam Padi

Tak Sungguh Kehendak Kita

Kehendak Allah Yang Jadi

- posting ini dipetik dari blog Dato'Fuad Hasan

Jangan 'pijak' bangsa sendiri

KUALA LUMPUR 21 April - Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) mengingatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak menjadi hero dengan cara 'memijak' bangsanya sendiri.

Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, sebagai ketua kerajaan negeri, sememangnya Abdul Khalid perlu mentadbir dengan bijaksana, adil dan saksama tetapi janganlah sampai menyentuh kepentingan orang Melayu.

Katanya, menjadi satu tragedi kepada orang Melayu apabila salah seorang anak bangsanya yang pernah memperjuangkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sewaktu menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjadi lupa diri apabila menceburi bidang politik.

"Dia bukan sebarang Melayu, dia pernah pimpin PNB dan pernah menguasai saham agensi itu. Dia bertuah kerana diangkat menjadi Menteri Besar, nasihat saya jagalah tuah itu baik-baik dan janganlah sesekali melupakan bangsa.

"Tadbir negeri dengan bijaksana, adil dan saksama tetapi jangan sentuh kepentingan orang Melayu, bangsa sendiri, belum sampai waktu untuk tergopoh-gapah, jangan jadi hero dengan cara mengorbankan kepentingan Melayu," katanya dengan penuh emosi sewaktu dihubungi di Mekah hari ini.

Semalam, sewaktu berucap pada majlis penyerahan bantuan kepada Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Shah Alam. Abdul Khalid menegaskan penggantungan rakyat termasuk bumiputera terhadap DEB tidak perlu kerana Selangor mempunyai sumber yang banyak untuk diagihkan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa.

"Di Selangor kita mempunyai sumber yang cukup untuk semua, tidak perlu bergaduh," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Moehamad Izat melahirkan kesedihan dengan situasi semasa dalam negara selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu kerana terlalu banyak isu yang merobek hati sanubari orang Melayu telah dicanang.

Lebih malang lagi katanya, isu-isu berkenaan turut dicanang oleh orang Melayu sendiri sedangkan selama 51 tahun sebelum ini, dunia mengenali Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa yang ditadbir dengan aman damai.

Katanya, orang Melayu tidak pernah berdengki dengan kejayaan kaum lain dalam negara ini namun sebarang usaha untuk meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu tidak boleh sesekali disekat.

"Kita hanya perlu mengatur langkah bagi mencapai kedudukan yang masih belum selesai iaitu 30 peratus pegangan ekonomi namun selaku Presiden Perdasama, kita sudah tidak mahu berbicara tentang peratusan lagi.

"Kita mahu berjuang habis-habisan supaya orang Melayu boleh menguasai sebanyak mungkin ekonomi di tanah tumpah nenek moyang sendiri," tegasnya.

Tuesday 21 April 2009

Bersatu pertahan raja Melayu

KUALA LUMPUR 20 April - Beberapa pemimpin UMNO hari ini menekankan sudah tiba masanya seluruh orang Melayu kembali bersatu mempertahankan institusi raja-raja yang menjadi payung naungan rakyat sepanjang zaman daripada dicemari pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, mereka meminta semua lapisan rakyat tanpa mengira fahaman politik supaya menghayati dengan sedalam-dalamnya titah ucapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Kata mereka, ia penting untuk mengelak berulangnya sebarang tindak tanduk yang boleh menyemai rasa benci yang diumpamakan oleh baginda sebagai perbuatan 'menyalakan api dalam sekam' yang mengancam kerukunan rakyat dan negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, titah Sultan Perak itu adalah merupakan satu amaran keras yang seharusnya dihormati semua pihak.

Justeru, katanya, institusi raja yang telah wujud sejak 600 tahun lalu di Perak tentunya menjadi institusi yang perlu terus dipertahankan oleh semua orang Melayu khususnya kerana ia naungan kepada rakyat bagi sepanjang zaman.

''Sultan Perak amat arif dengan perundangan. Kemurkaan baginda mempunyai asas. Melibatkan sultan dalam kemelut politik merendahkan baginda dalam institusi politik rakyat dan tidak dalam institusi raja.

''Institusi raja harus dihormati semua pihak. Ahli politik hanya merupakan penterjemah kuasa rakyat. Institusi raja harus berada di atas institusi sosial di Malaysia khususnya di Perak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas titah ucapan Sultan Azlan Shah pada majlis istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-81 semalam.

Sultan Azlan Shah turut bertitah seseorang raja sebenarnya berada di atas politik dan tidak boleh turun berdebat secara terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik terbabit.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan semua pihak supaya tidak sesekali mengheret institusi raja ke kancah politik seperti mana yang dititahkan oleh Sultan Perak.

Menurut beliau, sebaliknya setiap rakyat tanpa mengira kedudukan dan darjat, warna kulit serta agama mahu pun fahaman politik perlu sedar bahawa raja-raja adalah payung yang melindungi setiap warga di negara ini.

''Pihak-pihak tertentu perlu jaga kedudukan raja-raja Melayu dan apa jua tindakan yang mencemar institusi raja-raja Melayu juga adalah salah daripada segi undang-undang.

''Malah, tindakan sedemikian pastinya juga sama sekali bertentangan dengan budaya warisan bangsa kita,'' tegasnya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, mana-mana pihak yang mempersoal atau mempermain- mainkan fungsi institusi raja perlu segera dikenakan tindakan.

Katanya, raja-raja Melayu bukan orang politik, jauh sekali mahu menggugat kestabilan negara dengan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan semata-mata untuk membela institusi yang amat jelas bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.

''Justeru, tohmahan pihak tertentu terutama pakatan pembangkang yang berleluasa kononnya raja-raja Melayu takut untuk berhadapan dengan mereka adalah amat keterlaluan.

''Ia juga satu fitnah yang besar dan berniat jahat untuk menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap raja-raja yang bukan sahaja menaungi orang Melayu malah seluruh rakyat negara ini,'' katanya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Noh Omar berkata, titah ucapan Sultan Perak itu amat tepat pada masanya ketika mana telah ada sebahagian kumpulan yang sudah mula lupa batasan tertentu dalam mencapai matlamat politik.

Justeru, katanya, orang Melayu perlu memahami sepenuhnya titah ucapan baginda agar mesej yang diberi dapat dihayati dan seterusnya mengelakkan sama sekali perbuatan yang tergolong sebagai 'menyalakan api dalam sekam'.

''Saya percaya rakyat Malaysia yang lain juga harus sama menghayati titah ucapan tersebut kerana apa yang disentuh oleh Sultan Azlan Shah itu berdasarkan kedudukan baginda sebagai raja berperlembagaan,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, institusi raja merupakan lambang kedudukan tertinggi kaum Melayu dan agama Islam di negara ini.

Katanya, kedua-dua elemen inilah yang mencermin dan membezakan negara ini dengan negara bangsa lain.

''Kedudukan ini perlu dipelihara dalam masyarakat majmuk walaupun ada tuntutan populis iaitu tuntutan kesaksamaan yang cuba diperjuangkan pihak tertentu.

''Soalnya, jika raja tiada, adakah kita mampu mempertahankan keistimewaan Melayu dan Islam atau mungkin ia turut hilang dengan institusi raja.

''Oleh itu, derhaka pada raja secara langsung adalah derhaka terhadap Melayu dan Islam," katanya.

Menurut Khaled, jika institusi raja yang juga simbol keistimewaan masyarakat Melayu dan Islam ini wujud, ia mampu untuk menolak tuntutan tersebut tanpa sebarang alasan.

Sebaliknya, katanya, jika kesaksamaan yang menjadi asas negara, ia sukar untuk melindungi kaum Melayu dan Islam.

''Contohnya, pembiayaan sekolah mubaligh dan kewujudan sekolah itu pula akan bersaing dengan Islam dan menjejas penganut Islam.

''Di mana Melayu dan Pas pada ketika ini untuk melindungi kaum Melayu dan Islam,'' katanya.

Sunday 19 April 2009

Politik Perak:Titah menyengat Sultan Azlan dan Raja Nazrin…

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Raja Dr Nazrin Shah telah menyampaikan titah menyengat yang jelas menyentuh tentang tindak tanduk kumpulan politik tertentu dalam kontek senario politik di Perak kebelakangan ini.

Titah berkenaan dibuat semasa istiadat penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar , Ahad.

Sultan Azlan membidas tindakan kumpulan politik tertentu yang sampai ke peringkat menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain turut mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja merupakan satu perbuatan 'menyalakan api dalam sekam' yang amat berbahaya dan boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

Menurut baginda bahawa seseorang raja sebenarnya berada di atas politik dan tidak boleh turun untuk berdebat dengan terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik tertentu.

"Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara.

"Betapa kumpulan politk tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang-undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah pada hemat baginda, negara kini telah terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

"Dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa ini tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi mangsa terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian," titah baginda.

Baginda bertitah oleh itu para pemimpin yang mewakili kumpulan politik yang berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama di antara mereka demi kepentingan negara dan warga.

Sultan Azlan bertitah sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara, diakui bahawa berlakunya kepincangan dan salah laku serta insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir negara.

"Beta sendiri dari masa ke masa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahupun secara tertutup akan perkara-perkara yang tergelincir dari dasar dan garis perundangan.

"Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa indivIdu atau yang berpunca dari kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.

"Barang dijauhkan Allah dari bangsa menghadapi nasib malang 'menang sorak kampung tergadai', akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah anggapan salah bahawa raja berperlembagaan adalah sekadar lambang tanpa sebarang kuasa merupakan tafsiran yang perlu diperbetulkan.

Sementara itu Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dalam titah baginda menyatakan tekadnya akan mengambil tanggungjawab utama untuk melaksanakan segala usaha bagi memastikan tradisi institusi beraja yang menjadi teras kepada sistem berkerajaan dan bernegara di negara ini akan terus dipertahankan.

"Bahawa kemuliaan dan kedaulatan seorang Raja Pemerintah itu tidak akan anakanda redha untuk dipersendakan. Untuk itu warga perlu diinsafkan supaya jangan terlalu cepat membuang pelita, kerana riang melihatkan fajar akan menyingsing; kerana hari siang juga akan berakhir.

"Jangan nanti bila malam mendakap senja, warga dan bangsa akan hidup teraba-raba - hilang haluan, kerana diselimuti kegelapan malam tanpa pelita," titah baginda.

Baginda bertitah Raja-Raja Melayu bukan sekadar simbol kepada negara bangsanya, malah Kesultanan Melayu merupakan institusi penting berperanan sebagai pusat pengukuhan kepada warga dan bangsanya.

Raja Nazrin bertitah sistem pemerintahan berteraskan Kesultanan Melayu yang telah wujud selama lebih 600 tahun, telah berjaya membangunkan satu budaya dan satu tamadun yang agung.

Titah baginda kebijaksanaan pemerintahan beraja membantu berlakunya proses pengembangan intelek dan dari sumber istana itulah lahirnya karya-karya agung dalam dunia penulisan bangsa.

"Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan - simbol kekuatan warga - payung mahkota negara. Raja Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa.

"Rakyat yang memahami budaya rakyat beraja - negeri bersultan, memahami akan falsafah pemerintahan beraja, akan peranan Raja secara tersirat di sebalik yang tersurat, terutama peranan dan tanggungjawab mengekalkan identiti negara bangsa," titah baginda.

Baginda bertitah kelangsungan sesuatu bangsa dan wajah sesebuah negara bergantung pada faktor-faktor yang telah memberikannya identiti daripada segi institusi, agama, budaya dan bahasa.

"Tindakan-tindakan menghina institusi, mempersendakan institusi, menanam kebencian terhadap institusi adalah langkah awal dalam gerakan ke arah menghapuskan institusi - lalu menghapus identiti asal negara bangsa. Di era peperangan dingin, langkah-langkah sedemikian lahir dari kumpulan yang berpegang kepada doktrin politik berfahaman kiri dan dikategorikan berunsur subversif.

"Atas nama Revolusi Budaya, di China dan indoktrinasi komunisme di Kampuchea (Kemboja) dan Vietnam, anak-anak dihasut hingga sampai ke peringkat ekstrem, membenci dan memusuhi ibu bapa kandung sendiri; pemimpin-pemimpin agama dicerca dan rumah-rumah ibadat dimusnahkan, ada rumah ibadat yang dijadikan tempat ternakan haiwan; lalu berlakulah keadaan anarki yang terpaksa dibayar dengan nyawa dan darah di samping modal sosial negara bangsa habis termusnah," titah baginda.

Baginda bertitah hari ini dunia sedang menghadapi gelombang globalisasi yang menghempas setiap sempadan dan mahu memecahkan benteng budaya dan berkemungkinan menghanyutkan lembaran sejarah negara bangsa.

Raja Nazrin bertitah warga muda yang sedang dilambung ombak globalisasi, perlu bijaksana mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan terhadap pemodenan supaya air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit.

Titah baginda ada yang menganggap bahawa untuk maju, penekanan hendaklah ditumpukan kepada budaya yang progresif lalu menyifatkan tradisi dan sejarah akan meletakkan bangsa tertinggal dalam budaya yang statik.

"Globalisasi sebenarnya turut membawa gelombang kolonialisme baru untuk menghanyutkan tradisi sesebuah negara bangsa - lalu menghapuskan identiti asal negara bangsa.

"Warga perlu disedarkan, bahawa tidak semua yang berbentuk tradisi itu menghalang kemajuan kerana tradisi yang berjaya ditafsir secara bijak dan ditakrifkan secara arif dapat berfungsi sebagai pemudah cara memajukan negara bangsa. Bahawa elemen-elemen budaya bangsa yang merupakan faktor penyatuan bangsa selama hari ini, adalah modal sosial yang amat berharga yang wajib dipertahankan," titah baginda.

Sumber Agenda Daily.

Saturday 18 April 2009

Rakyat tidak tolak BN - Najib

18/04/2009 5:10pm

PEKAN 18 April — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat bukan menolak Barisan Nasional (BN) tetapi hanya menolak pemimpin yang tidak dekat di hati mereka.

Beliau berkata, oleh itu pemimpin BN perlu bekerja keras mendekati rakyat bagi memastikan kejayaan pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Perdana Menteri berkata, sekalipun berlaku tsunami politik semasa pilihan raya umum 2008, namun kejayaan beliau mendapat majoriti besar di Parlimen Pekan iaitu 26,464 undi, majoriti yang dilihat menongkah arus pada pilihan raya umum lepas itu, membuktikan rakyat senang dengan pemimpin yang selalu mendekati mereka.

“Maknanya rakyat tidak tolak BN tapi hanya menolak pemimpin yang tidak dekat di hati rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan meraikan perdana menteri peringkat Parlimen Pekan di sini hari ini sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada 3 April lepas.

Najib berkata, pemimpin BN kini perlu mencontohi pemimpin terdahulu yang sentiasa bersama rakyat dan mengutamakan kepentingan rakyat. - Bernama

Thursday 16 April 2009

Lagi desak UMNO, Pas bersatu

KUALA LUMPUR 15 April - Sekarang merupakan masa yang paling mendesak untuk dua parti utama Melayu, UMNO dan Pas bermuafakat serta bersatu bagi mempertahankan kepentingan orang Melayu yang dilihat terancam dengan suasana politik semasa.

Majlis Muafakat Melayu (MMM) dan Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia berpendapat, kedua- dua parti itu kini sudah tidak boleh lagi meletakkan kepentingan politik semata-mata sebagai keutamaan sebaliknya perlu berbalik kepada kepentingan umat Melayu dan Islam.

Setiausaha MMM, Prof. Madya, Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, gabungan kedua-dua parti itu adalah jalan keluar terbaik kepada kemelut politik semasa yang merugikan umat Melayu pada masa ini.

Kata beliau, langkah itu juga sebenarnya impian orang Melayu sejak sekian lama dan apabila tekanan demi tekanan yang berlaku kini, tiba masanya UMNO dan Pas bergabung atau bermuafakat sesama mereka.

"Kita khuatir dengan 'jarum' yang dijalankan parti tertentu. Justeru, jangan sampai Melayu jadi pembangkang. Kita perlukan satu kematangan politik yang lebih mengutamakan muafakat untuk orang Melayu.

"Sewaktu Kongres Muafakat Melayu tahun lalu, kita ingatkan UMNO jangan layan permintaan bukan-bukan, sekarang UMNO berdepan tuntutan dari pelbagai sudut. UMNO kena tegas, kalau ada komponen ancam keluar Barisan Nasional (BN) sekalipun, UMNO jangan layan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini berhubung harapan pelbagai pihak yang mahu melihat Melayu bangkit mempertahankan kedudukan berikutan situasi politik semasa yang banyak merugikan Melayu.

Beberapa NGO turut melahirkan harapan masing-masing supaya UMNO dan Pas bersatu untuk memastikan kekuatan politik Melayu dalam mendepani tuntutan kaum- kaum lain.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, umat Melayu negara ini pasti akan kuat sekiranya kedua-dua parti itu dapat bersatu padu.

Katanya, sebab itu sejak dari 1980-an lagi orang Melayu menyuarakan harapan ini untuk melihat kesepaduan UMNO dan Pas bagi membentuk kerjasama yang erat demi kepentingan orang Melayu sendiri.

"Sejak saya berada di Biro Tata Negara (BTN) dulu, kita dah suarakan harapan ini. Saya harap dengan bermacam-macam perkembangan yang ada ini, UMNO dan Pas jangan fikir kedudukan lagi.

"Mengenai tuntutan bukan Melayu, pada saya, mana yang berpatutan itu masih boleh namun dalam kita melayannya, semangat juang jangan luntur, berpeganglah kita kepada semangat penubuhan UMNO dulu.

"Ini perlu kita nak tanam kepada generasi muda. Golongan tua pula jangan sesekali leka. Jadi pemikiran mesti lebih bernas dalam memperjuangkan hak kita," ujarnya

Wednesday 15 April 2009

Bangkitlah Melayu

KUALA LUMPUR 14 April – Orang Melayu perlu bangkit dan bersatu dalam berhadapan dengan tuntutan kaum lain yang kini dilihat semakin keterlaluan.

Mereka juga perlu sedar dan insaf dengan situasi politik semasa yang menyaksikan pelbagai tuntutan hingga boleh menjejaskan kekuatan politik orang Melayu.

Sehubungan itu, orang Melayu diminta tidak tunduk kepada tuntutan keterlaluan tersebut sebalik bangkit bersatu bagi mempertahankan hak dan kepentingan mereka.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, pemimpin bukan Melayu dalam hal ini perlu sedar yang sesebuah kerajaan itu boleh sahaja untuk tidak ‘melayan’ tuntutan mereka.

Katanya, jumlah kerusi terbanyak di Parlimen adalah milik Melayu dan ia cukup untuk membentuk sebuah kerajaan berasaskan wakil rakyat Melayu semata-mata di negara ini.

Katanya, justeru, dari segi politiknya kerajaan itu sepatutnya memenuhi apa sahaja yang menjadi kehendak Melayu kerana mereka adalah majoriti dan bukan asyik bertolak ansur dengan bukan Melayu.

‘‘Parti Melayu akan kuat bila Melayu dijaga. Jadi UMNO kena fokus orang Melayu. Jadi UMNO tak perlu takut kerana saya lihat bila UMNO itu kuat orang bukan Melayu automatik akan sokong juga Barisan Nasional (BN) macam dulu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pandangan mengenai situasi politik semasa yang menyaksikan kedudukan politik Melayu seakan terancam dengan tuntutan bukan Melayu pada masa kini.

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berkata, parti pemerintah ketika ini tidak boleh merasa bimbang untuk membuat apa sahaja keputusan yang dilihat perlu untuk membantu orang Melayu.

“UMNO kalau kita tengok Fasal 3 perlembagaannya ialah memperjuangkan hak Melayu.

“Pada masa sama orang Melayu pun kenalah sedar, asyik bercakaran sesama sendiri, tak untung Melayu sedangkan kita main politik untuk apa kalau tidak untuk membela Melayu.

“Jadi UMNO dan Pas kena duduk, tak kan dalam berbeza tak ada persamaan. Atas persamaan ini kita duduklah semeja dulu,” jelasnya.

Pemimpin UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan, dalam soal wakil Kabinet misalnya, semua pihak harus menerima pilihan Perdana Menteri kerana ia bidang kuasa beliau.

“Saya fikir kalau dilayan, Najib tak akan ada kerja lain.

“Apa pun ini akan mengajar UMNO supaya terus kuat. Bila kuat, orang segan, kalau lemah orang kucar kacirkan,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, hak orang Melayu tidak harus dilepaskan dalam usaha kerajaan memenuhi kehendak masyarakat pelbagai kaum.

“Biar wujud situasi menang-menang. Kita tidak boleh biar sebelah pihak sahaja menang. Kalau kita nak penuhi apa yang mereka nak, jangan pula kita lepaskan apa yang jadi hak kita,’’ katanya.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, walaupun kerajaan mahu menekankan konsep Satu Malaysia yang menyatukan rakyat pelbagai kaum, langkah juga perlu dilakukan bagi mengembalikan keharmonian di kalangan orang Melayu sendiri.

“Dalam keadaan sekarang ini, orang Melayu berhadapan banyak cabaran semasa dan kita perlu mencari cara untuk memastikan kaum itu tidak berpecah-belah,” katanya.

Katanya, UMNO dan Pas tidak boleh melengah-lengahkan masa lagi untuk bekerjasama dalam memajukan orang Melayu.

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar yang sependapat dengan GPMS berkata, cadangan yang baik seperti itu perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya, kerjasama antara dua parti politik itu bukan sahaja akan memberi faedah kepada orang Melayu sahaja tetapi juga kaum lain.

Tambahnya, penyatuan UMNO dan Pas perlu menjadi batu loncatan untuk mengeratkan semua rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Sememangnya usaha ke arah itu akan mengambil masa tetapi sekurang-kurangnya kita tidak hanya bercakap atau mencadangkan sahaja,’’ tambahnya.

Friday 3 April 2009

Najib angkat sumpah Perdana Menteri ke enam


KUALA LUMPUR 3 April — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.

Najib, 55, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Segak berbaju Melayu hitam, Najib tiba di Istana Negara pada 9.42 pagi diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Mereka berdua kemudian memasuki Balairong Seri pada 10 pagi diikuti Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Kenamaan lain yang turut hadir termasuklah anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.

Seramai 319 tetamu kehormat hadir pada majlis bersejarah itu termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. - Bernama

Thursday 2 April 2009

Abdullah Menghadap Agong Serah Surat Lepas Jawatan

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di sini bagi menyerahkan surat melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda melantik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penggantinya.

"Terserah kepada Tuanku," kata Abdullah kepada pemberita selepas majlis hampir satu jam itu.

Abdullah tiba di pada 10 pagi dengan menaiki Proton Perdana rasminya bernombor WCH 13 dan meninggalkan kawasan istana satu jam kemudian sambil melambai-lambai ke arah sekumpulan 70 petugas media termasuk wartawan asing yang berkumpul di situ sejak 7.30 pagi.

Ia juga menarik perhatian pelancong asing yang turut berada di situ.

Najib pula tiba di Istana Negara untuk menghadap Seri Paduka kira-kira setengah jam selepas Abdullah meninggalkan istana.

Selepas mengadakan pertemuan dengan Seri Paduka kira-kira 45 minit, Najib meninggalkan istana tanpa menjawab sebarang soalan daripada pemberita mengenai pertemuan empat mata mereka.

"Terima kasih," katanya sambil tersenyum meninggalkan perkarangan istana dengan menaiki kenderaan Proton Perdana bernombor WRP 11 kira-kira 12.15 tengah hari, selain melambai-lambai ke arah sekumpulan media.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan semalam berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya istiadat mengangkat sumpah jawatan Najib sebagai Perdana Menteri diadakan pada 10 pagi esok di Istana Negara.

-- BERNAMA