Wednesday, 15 April 2009

Bangkitlah Melayu

KUALA LUMPUR 14 April – Orang Melayu perlu bangkit dan bersatu dalam berhadapan dengan tuntutan kaum lain yang kini dilihat semakin keterlaluan.

Mereka juga perlu sedar dan insaf dengan situasi politik semasa yang menyaksikan pelbagai tuntutan hingga boleh menjejaskan kekuatan politik orang Melayu.

Sehubungan itu, orang Melayu diminta tidak tunduk kepada tuntutan keterlaluan tersebut sebalik bangkit bersatu bagi mempertahankan hak dan kepentingan mereka.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, pemimpin bukan Melayu dalam hal ini perlu sedar yang sesebuah kerajaan itu boleh sahaja untuk tidak ‘melayan’ tuntutan mereka.

Katanya, jumlah kerusi terbanyak di Parlimen adalah milik Melayu dan ia cukup untuk membentuk sebuah kerajaan berasaskan wakil rakyat Melayu semata-mata di negara ini.

Katanya, justeru, dari segi politiknya kerajaan itu sepatutnya memenuhi apa sahaja yang menjadi kehendak Melayu kerana mereka adalah majoriti dan bukan asyik bertolak ansur dengan bukan Melayu.

‘‘Parti Melayu akan kuat bila Melayu dijaga. Jadi UMNO kena fokus orang Melayu. Jadi UMNO tak perlu takut kerana saya lihat bila UMNO itu kuat orang bukan Melayu automatik akan sokong juga Barisan Nasional (BN) macam dulu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pandangan mengenai situasi politik semasa yang menyaksikan kedudukan politik Melayu seakan terancam dengan tuntutan bukan Melayu pada masa kini.

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berkata, parti pemerintah ketika ini tidak boleh merasa bimbang untuk membuat apa sahaja keputusan yang dilihat perlu untuk membantu orang Melayu.

“UMNO kalau kita tengok Fasal 3 perlembagaannya ialah memperjuangkan hak Melayu.

“Pada masa sama orang Melayu pun kenalah sedar, asyik bercakaran sesama sendiri, tak untung Melayu sedangkan kita main politik untuk apa kalau tidak untuk membela Melayu.

“Jadi UMNO dan Pas kena duduk, tak kan dalam berbeza tak ada persamaan. Atas persamaan ini kita duduklah semeja dulu,” jelasnya.

Pemimpin UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan, dalam soal wakil Kabinet misalnya, semua pihak harus menerima pilihan Perdana Menteri kerana ia bidang kuasa beliau.

“Saya fikir kalau dilayan, Najib tak akan ada kerja lain.

“Apa pun ini akan mengajar UMNO supaya terus kuat. Bila kuat, orang segan, kalau lemah orang kucar kacirkan,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, hak orang Melayu tidak harus dilepaskan dalam usaha kerajaan memenuhi kehendak masyarakat pelbagai kaum.

“Biar wujud situasi menang-menang. Kita tidak boleh biar sebelah pihak sahaja menang. Kalau kita nak penuhi apa yang mereka nak, jangan pula kita lepaskan apa yang jadi hak kita,’’ katanya.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, walaupun kerajaan mahu menekankan konsep Satu Malaysia yang menyatukan rakyat pelbagai kaum, langkah juga perlu dilakukan bagi mengembalikan keharmonian di kalangan orang Melayu sendiri.

“Dalam keadaan sekarang ini, orang Melayu berhadapan banyak cabaran semasa dan kita perlu mencari cara untuk memastikan kaum itu tidak berpecah-belah,” katanya.

Katanya, UMNO dan Pas tidak boleh melengah-lengahkan masa lagi untuk bekerjasama dalam memajukan orang Melayu.

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar yang sependapat dengan GPMS berkata, cadangan yang baik seperti itu perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya, kerjasama antara dua parti politik itu bukan sahaja akan memberi faedah kepada orang Melayu sahaja tetapi juga kaum lain.

Tambahnya, penyatuan UMNO dan Pas perlu menjadi batu loncatan untuk mengeratkan semua rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Sememangnya usaha ke arah itu akan mengambil masa tetapi sekurang-kurangnya kita tidak hanya bercakap atau mencadangkan sahaja,’’ tambahnya.

Friday, 3 April 2009

Najib angkat sumpah Perdana Menteri ke enam


KUALA LUMPUR 3 April — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.

Najib, 55, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Segak berbaju Melayu hitam, Najib tiba di Istana Negara pada 9.42 pagi diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Mereka berdua kemudian memasuki Balairong Seri pada 10 pagi diikuti Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Kenamaan lain yang turut hadir termasuklah anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.

Seramai 319 tetamu kehormat hadir pada majlis bersejarah itu termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. - Bernama

Thursday, 2 April 2009

Abdullah Menghadap Agong Serah Surat Lepas Jawatan

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di sini bagi menyerahkan surat melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda melantik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penggantinya.

"Terserah kepada Tuanku," kata Abdullah kepada pemberita selepas majlis hampir satu jam itu.

Abdullah tiba di pada 10 pagi dengan menaiki Proton Perdana rasminya bernombor WCH 13 dan meninggalkan kawasan istana satu jam kemudian sambil melambai-lambai ke arah sekumpulan 70 petugas media termasuk wartawan asing yang berkumpul di situ sejak 7.30 pagi.

Ia juga menarik perhatian pelancong asing yang turut berada di situ.

Najib pula tiba di Istana Negara untuk menghadap Seri Paduka kira-kira setengah jam selepas Abdullah meninggalkan istana.

Selepas mengadakan pertemuan dengan Seri Paduka kira-kira 45 minit, Najib meninggalkan istana tanpa menjawab sebarang soalan daripada pemberita mengenai pertemuan empat mata mereka.

"Terima kasih," katanya sambil tersenyum meninggalkan perkarangan istana dengan menaiki kenderaan Proton Perdana bernombor WRP 11 kira-kira 12.15 tengah hari, selain melambai-lambai ke arah sekumpulan media.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan semalam berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya istiadat mengangkat sumpah jawatan Najib sebagai Perdana Menteri diadakan pada 10 pagi esok di Istana Negara.

-- BERNAMA

Wednesday, 25 March 2009

UMNO perlu kembali ke akar umbi

KUALA LUMPUR 24 Mac - UMNO mesti mengubah cara memilih pemimpin termasuk sistem kuota jika mahu membendung politik wang dan salah guna kuasa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Presiden UMNO berkata, jika parti mahu terus kekal kuat mandat untuk memilih pemimpin perlu dikembali ke akar umbi.

"Inilah jalan yang akan dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa.

"Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini.

Katanya, untuk atasi gejala tidak bermoral yang merosakkan parti itu dalam UMNO, hak memilih perlu diberikan kepada kumpulan yang lebih besar. "Sekarang ini, sebagai contoh pemilih bagi Perhimpunan Agung UMNO hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri daripada perwakilan dari 191 bahagian.

"Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli UMNO di peringkat akar umbi di seluruh negara.

"Pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan UMNO dari aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan UMNO dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat," jelas.

Lagi pula kata Najib, UMNO perlu berubah jika mahu menarik minat rakyat.

Katanya, apabila rakyat sudah berpaut dengan UMNO, barulah ia akan kembali perkasa.

Menurut beliau, ia boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli UMNO menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat.

"Setiap masalah rakyat yang berjaya kita bantu, setiap kekusutan mereka yang berjaya kita leraikan dan setiap kebuntuan ramai yang dapat kita atasi akan menjadi suntikan semangat untuk terus berkorban demi sebuah perjuangan," katanya.

Beri saya saf padu – Najib


KUALA LUMPUR 24 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu barisan kepimpinan yang setia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi untuk bersama-sama beliau meneruskan perjuangan UMNO sebagai pembela nasib rakyat.

Dalam ucapan yang ringkas tetapi sarat dengan pesanan dan peringatan, Timbalan Presiden UMNO itu juga mahu kepimpinan beliau sebagai Presiden parti kelak disokong oleh sekumpulan pemimpin yang ampuh dan padu.

Kata Najib, amanah yang dipikul oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan diserahkan kepadanya dalam suasana yang begitu mencabar kepada parti dan negara.

Oleh itu, katanya, tergalas di bahu beliau satu tugas besar bagi meneruskan tanggungjawab mulia UMNO membela untung nasib rakyat.

Justeru, beliau berharap permuafakatan yang terjalin antara tiga sayap parti – Pemuda, Wanita dan Puteri – dapat diteruskan sementara sokongan yang sama turut diberikan oleh ahli-ahli UMNO kepada bakal Timbalan Presiden yang baru kelak.

“Dengan penuh semangat saya yakin bahawa jika kita semua terus bersatu dan berganding bahu, yang berat akan tetap mampu dipikul, yang ringan dapat pula dijinjing bersama menakhoda zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian serentak Persidangan Perwakilan wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ucapan yang fokus kepada peranan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO itu dimulakan dengan menyentuh jatuh bangunnya ahli-ahli ketiga-tiga pergerakan itu untuk berfungsi sebagai nadi perjuangan parti.

Dalam ucapan tersebut, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan dirinya bahawa laluan kepimpinan yang bakal diwaris beliau itu telah dirintis oleh pemuka-pemuka bangsa yang agung.

Beliau menamakan satu persatu tokoh negara bermula dengan Datuk Onn Jaafar, diikuti oleh Tunku Abdul Rahman, seterusnya Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disifatkan oleh beliau sebagai amat berbakti kepada negara.

Najib turut melahirkan rasa hiba kerana persidangan kali ini adalah yang terakhir bagi beliau sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan tiga sayap parti itu selepas lebih 33 tahun bersama.

“Alangkah hiba rasanya malam ini saya berdiri di hadapan saudara-saudari buat kali terakhir sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Saya juga berasa terharu dan tawaduk kerana diri ini diamanahkan dengan kepercayaan padu akar umbi untuk memimpin parti dan seterusnya negara,” katanya.

Monday, 23 March 2009

Norza dilarang daripada bertanding

KUALA LUMPUR 23 Mac – Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dilarang daripada bertanding jawatan Majlis Tertinggi UMNO (MT) pada pemilihan kali ini.

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang bermesyuarat hari ini.

Norza dalam satu kenyataan berkata, beliau secara peribadi amat sedih dan kecewa dengan keputusan yang melarang beliau daripada bertanding itu.

"Sungguhpun begitu, selaku ahli parti yang meletakkan UMNO sebagai satu institusi bagi memperjuangkan agenda yang lebih besar, keputusan itu saya terima dengan hati yang terbuka.

``Keputusan itu tidak sedikit pun mengganggu iltizam saya untuk terus menyumbang ke arah perjuangan demi agama, bangsa dan negara," katanya di sini hari ini. - Utusan

Sunday, 22 March 2009

Serahkan peluang bagi Perwakilan UMNO - Dr. M

KUALA LUMPUR 22 Mac — Umno perlu menyerahkan kepada perwakilan dalam perhimpunan Agung parti itu mulai Selasa ini bagi memulihkan imej serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Peluang (ketiga) itu terletak di tangan perwakilan di mana sekiranya perwakilan turut pilih orang yang terlibat dengan rasuah maka satu lagi peluang Umno (untuk pulihkan kedudukan) akan hilang.

“Kalau perwakilan pilih juga calon yang terlibat dengan rasuah, sedangkan tribunal telah mengatakan dia terlibat dengan rasuah, kalau pilih juga (calon) itu, maka terpulanglah kepada kepimpinan parti,” katanya.

Ketika menggariskan empat peluang bagi memulihkan imej Umno serta menghapuskan politik wang bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti itu, Dr Mahathir berkata peluang itu juga bergantung kepada siapa yang akan bakal menjadi Perdana Menteri dan apakah langkah yang akan diambil, katanya.

“Peluang yang terakhir ada pada Datuk Seri Najib Tun Razak (yang bakal menjadi Presiden Umno), kalau dia juga pilih orang yang terlibat dengan rasuah menjadi anggota Kabinet, saya fikir harapan untuk Umno terus kukuh pada masa depan akan hilang,” katanya.

Katanya, kebanyakan peluang yang ada untuk memperbetul dan mengukuhkan kedudukan Umno telah dilepaskan begitu sahaja.

“Banyak peluang yang diraih oleh Umno untuk kukuhkan kedudukannya telah dilepaskan, contohnya, kalau Bahagian Umno itu jujur, dia akan memilih calon yang tidak sogok wang tetapi kita tahu bahagian-bahagian Umno ada yang pilih calon yang terlibat dengan sogokan wang dan ini peluang pertama nak bersihkan Umno sudah hilang,” katanya.

Peluang kedua yang dilepaskan Umno adalah apabila Jawatankuasa Lembaga Disiplin parti itu gagal menangani gejala politik wang dan seakan-akan masih merestui politik wang di dalam Umno, katanya kepada pemberita selepas ucaptamanya di Persidangan Kemuncak Pribumi Perkasa Negara di sini.

“Jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno jelas gagal kerana orang yang membuat kesalahan yang sama mendapat hukuman yang berbeza. Ada yang kena buang kerja, ada yang tidak kena buang kerja, ada yang seluruh dunia sedia maklum bahawa dia salah tetapi pada pandangan parti, dia tidak bersalah, jadi kredibiliti jawatankuasa disiplin itu telah tamat,” katanya.

Terdahulu di dalam ucaptamanya, Dr Mahathir menyeru orang Melayu bersatu dan melakukan perubahan demi masa depan dan kedudukan mereka di negara ini.

— BERNAMA