Tuesday, 20 March 2012

Najib terus berahsia tarikh pilihan raya

20/03/2012 1:37am

KUALA LUMPUR 20 Mac — Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi terus berahsia mengenai bila pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dengan meminta semua pihak termasuk media memahami bahawa beliau perlu menyimpan sesetengah maklumat.

Perdana Menteri berkata, melontarkan pertanyaan mengenai tarikh pilihan raya tidak ubah seperti meminta ketua pegawai eksekutif syarikat Coca Cola untuk mendedahkan ramuan minuman ringan terkenal yang menjadi rahsia sejak sekian lama.

"Saya pasti anda semua memahami kenapa saya tidak boleh memberitahu tarikh itu. Meskipun saya tahu, saya tidak boleh mendedahkan perkara itu,” katanya pada sesi soal jawab selepas melancarkan Kelab Koresponden Asing Malaysia di sini.

Menurut Najib, beliau sedar bahawa sesetengah agensi berita asing meramalkan pilihan raya umum Malaysia akan diadakan pada Jun.

Menjawab pertanyaan mengenai pentingnya Barisan Nasional memperoleh majoriti dua pertiga, Najib menegaskan negara memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil bagi mengelakkan Malaysia daripada ketidaktentuan politik.

Perdana Menteri mengakui dalam senario politik semasa, kemenangan majoriti dua pertiga kini memerlukan usaha yang lebih berbanding sebelum ini.

"Tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk mencapai matlamat itu. Saya sendiri kini berusaha keras dan jadual kerja saya begitu padat,” katanya, sambil menambah kata ia adalah sesuatu yang perlu dihadapi.

"Kita kini berhadapan dengan situasi yang berbeza dengan kewujudan media sosial, rakyat juga semakin bijak selain maklumat yang mudah diperoleh,” katanya.

Menjawab satu pertanyaan, Najib berkata dasar kerajaan kini adalah lebih terangkum dan adil kerana kekayaan negara perlu diagihkan bukan sahaja dalam kalangan rakyat bumiputera tetapi juga kaum-kaum minoriti.

Mengenai lawatannya ke Myanmar pada 26 Mac, Perdana Menteri berkata lawatan itu akan merapatkan hubungan antara Malaysia dan Myanmar terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan. — BERNAMA

Tuesday, 9 February 2010

Dr Mahathir senang kepemimpinan Najib

KULIM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau gembira dengan kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak kerana mempraktikkan ciri-ciri pentadbiran yang memenuhi kehendak serta kepentingan rakyat dan negara.
"Saya telah beberapa kali menemui Najib sejak beliau mengambil alih kepimpinan negara dan merasa senang dengan cara beliau mentadbir sehingga kini," katanya ketika berucap pada program Mesra Rakyat anjuran bersama Umno Bahagian Padang Serai dan Yayasan Pembangunan Insan Pulau Pinang di sini malam tadi.

Beliau berharap Najib akan meneruskan tradisi bekerja dan berjasa kepada rakyat.Dr Mahathir juga berkata beliau yakin krisis dalaman melibatkan beberapa parti komponen Barisan Nasional akan selesai sebelum pilihan raya umum ke-13 nanti.
Katanya pemimpin parti berkenaan sedar bahawa penyelesaian segera pergeseran dalaman akan menjamin masa depan BN kembali cerah untuk menang pilihan raya akan datang dengan majoriti lebih baik.

Dr Mahathir berkata pemimpin yang bertelagah sedar bahawa mereka tidak ada pilihan kecuali untuk berbaik-baik semula. Katanya rakyat Malaysia harus bersyukur kerana pembangunan dalam pelbagai bidang sejak negara Merdeka hampir 53 tahun lalu banyak mengatasi negara-negara lain di dunia yang merdeka dalam tempoh sama. - Bernama

Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah

09/02/2010 11:15am

PUTRAJAYA 9 Feb. – Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Putrajaya hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah. – Utusan

Saturday, 23 January 2010

Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail Mangkat


Jenazah Almarhum Sultan Iskandar dibawa masuk ke kenderaan di Hospital Pakar Puteri untuk dibawa ke Istana Besar, Johor Bahru, sambil diperhatikan oleh kaum kerabat dan petugas istana, malam tadi. – utusan/Raja Jaafar Raja Ali


JOHOR BAHRU 22 Jan. – Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, mangkat malam ini selepas memerintah Johor hampir tiga dekad.

Baginda berusia 77 tahun.

Almarhum mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu semalam kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di sini pada pukul 11.20 malam.

Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera dan puteri.

Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Petang ini, putera sulung baginda, Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.

Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.

Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden, Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Bahru, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.

Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.

Tuesday, 24 November 2009

Identiti Melayu perlu dikekalkan

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Berpakaian baju tradisional merupakan identiti yang perlu dikekalkan oleh orang Melayu di negara ini.

Pengerusi Majlis Tertinggi (MT) Silat Lincah Malaysia, Datuk Omardin Mauju berkata, tidak kira di mana berada, identiti itu perlu ditonjolkan bagi menunjukkan kepada dunia luar tentang keunikan budaya kaum itu.

"Sebagai rakyat Malaysia dan orang Melayu, kita seharusnya berbangga untuk berpakaian baju tradisional Melayu kerana ia merupakan identiti kita sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berpakaian seperti pahlawan Melayu dengan berbaju Melayu dan bertanjak ketika menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden AS, Barack Obama di Rumah Putih pada 4 November lalu.

Peristiwa itu menarik perhatian Obama sehinggakan Presiden AS sempat menegur dan memberitahunya yang beliau pernah melihat pakaian seperti itu sebelum ini.

Malah, Jamaluddin sempat bertutur dalam bahasa Melayu dengan Obama.

Omardin berkata, beliau berbangga melihat Jamaludin lengkap berpakaian baju Melayu semasa menyerahkan watikah pelantikannya itu.

"Ini kali kedua, dulu Tan Sri Razali Ismail memakai baju Melayu lengkap semasa menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden ketika itu, George W. Bush.

"Ini merupakan satu contoh yang patut diikuti oleh wakil-wakil lain yang mewakili negara di luar negara," katanya.

Beliau berkata, orang Melayu seharusnya berbangga dan tidak perlu malu untuk mengetengahkan budaya dan identiti bangsa sendiri.

Wednesday, 11 November 2009

Jangan pertikai hak Melayu - Murugiah

11/11/2009 2:03pm

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Semua ahli politik diingatkan supaya berhenti mempersoalkan hak orang Melayu dan Bumiputera kerana ia merupakan perkara yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Peringatan itu dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah yang kecewa dengan sikap Ahli Parlimen tertentu kerana masih mengemukakan soalan berkaitan status Bumiputera di Dewan Rakyat.

Katanya, golongan berkenaan sepatutnya bertanggungjawab dan bukannya cuba menjadi 'hero kampung' dengan harapan boleh popular. - Utusan

Thursday, 17 September 2009

Dr. M tak marah Sukumaran tapi sedih dikecam ahli UMNO sendiri

17/09/2009 5:53pm


PUTRAJAYA 17 Sept. — Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak sedih atau marah dengan cadangan seorang anggota MIC agar gambar beliau dikalung selipar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak merasakan apa-apa dengan kecaman tersebut kerana “bukan saya jadi apa-apa”.

Ini kerana kecaman itu datang daripada anggota parti lain dan ia tidak merugikannya, katanya kepada Bernama di sini.

Sebaliknya, Dr. Mahathir berkata, beliau amat sedih dan marah sekiranya kecaman datang daripada anggota UMNO sendiri seperti yang pernah berlaku. - Bernama