Sunday, 27 July 2008

Teks Ucapan

Teks ucapan Mesyuarat Persidangan UMNO Cawangan Bukit Duyong 2008 (25/07/2008)
Oleh: En. Jafri bin Mamat




1. Alhamdulillah, eloklah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, maka sekali lagi kita dapat bersama-sama berhimpun sempena Mesyuarat Persidangan UMNO Bukit Duyong di hari yang indah ini.


2. Masih seakan-akan terdengar gema laungan Merdeka, Merdeka, Merdeka! yang dilaungkan oleh Tuanku Abdul Rahman pada detik 12 tengah malam 31 Ogos 1957 . Kita harus berbangga, wanita, pemuda dan puteri kini telah tampil dengan gagah dalam melakar sejarah, merencana dan membina tamadun negara bangsa. Setinggi-tinggi tahniah kita ucapkan kepada semua..

3. Saudara-saudari adalah sayap utama, tulang belakang parti keramat kita, parti Umno. Wanita, Pemuda dan Puteri mempunyai bidang tugas dan kumpulan sasar berbeza, namun matlamatnya tetap sama. Sesungguhnya matlamat mulia kita ialah untuk mendaulat agama, membela bangsa dan membina negara.


4. Hari ini, kita bertemu lagi di majlis ini, dalam usaha meneruskan rintis perjuangan yang bermula puluhan tahun yang lalu. Denai perjuangan UMNO dimulakan dengan kesedaran dan semangat membara, untuk melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang berdarjat dan membina tamadun yang bermartabat. Semuanya bermula dengan impian besar, impian yang kini semakin menjadi reality. Peristiwa Israk Mikraj, Nabi Muhammad diangkat Allah ke langit, sewajarnya mempesona imaginasi dunia, untuk meneroka sesuatu yang belum terfikir oleh manusia.

Saudara-saudari Yang Dikasihi,

5. Saya tidak menerima tanggungjawab untuk menerajui UMNO dalam dulang emas yang bertatahkan permata. Hakikatnya ialah Umno yang kuat bermula di peringkat cawangan. Siapa lagi yang mampu saya sandarkan harapan; yang mampu saya kongsikan pandangan. Kalau bukan saudara/saudari yang hadir pada hari ini.

Tuan2, puan2 dan saudara-saudari Yang Dihormati,

6. Saya kira, pertemuan pada hari ini adalah suatu pertemuan yang membawa makna yang besar. Sebagai Ketua Cawangan Bukit Duyong, saya harus menggunakan ruang dan peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada ahli- ahli semua.Dengan sokongan tuan/puan saudara/saudari sekalianlah yg memberi kekuatan dan memperteguh harapan kepada saya untuk mengisi tanggungjawab besar ini.

7. Sejak penubuhannya, UMNO telah berusaha bersungguh-sungguh menggerakkan agenda kemajuan ekonomi untuk bangsa dan Negara.Bangsa Melayu yang dianggap lemah dan mundur selama ini telah berubah. Kini ribuan anak-anak Melayu menjadi profesional dan teknokrat; dari kalangan doktor, jurutera, akauntan, peguam sehinggalah mampu menjadi angkasawan. Ini adalah hasil dari dasar keadilan sosial dan ekonomi yang memberi hak kepada orang Melayu untuk dapat bersaing. Pencapaian-pencapaian ini adalah hasil dari usaha gigih kita bersama memecahkan ruyung untuk mendapatkan sagu.

Sidang Hadirin yg dihormati sekalian,

8. Cabaran terbesar yang kini menghimpit ekonomi negara tentunya adalah kenaikan harga minyak sedunia. Hakikatnya, kenaikan harga minyak ini merupakan satu fenomena global yang melanda semuanegara. Negara kini berdepan dengan pelbagai cabaran yang cukup genting, akibat daripada faktor-faktor luaran yang berada di luar kawalan kita.

9. Baru-baru ini kerajaan telah menyusun semula subsidi minyak dan gas di dalam negara. Langkah tersebut dirasakan perlu agar subsidi yang dimaksudkan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan terutamanya bangsa Melayu. Selain itu, langkah tersebut dapat memberi fleksibiliti kepada kewangan negara dalam berhadapan dengan risiko berlakunya kemelesetan ekonomi sedunia dalam waktu terdekat ini.

10. Sesungguhnya, tuan2 dan puan2 sekalian harus tabah dan bersatu hati dalam menggembleng tenaga bagi menangani krisis kenaikan harga minyak dan komoditi ini. Ianya merupakan kemelut yang bakal memberi
impak negatif bukan hanya dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Ke-9, malah untuk tahun-tahun seterusnya.

11. Oleh itu, bagi meneruskan pembangunan yang telah kita capai serta mengharungi cabaran yang bakal kita lalui, marilah kita sama-sama memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi untuk menjayakan MisiNasional kita. Insya Allah, hasrat kita untuk menetap di negeri yang selamat, aman dan makmur pastinya akan tercapai dengan adanya usaha yang bersungguh-sungguh serta dengan kerjasama yang erat di kalangan kita semua.


12. Hari ini kita berhadapan dengan keadaan di mana dunia mengaitkan agama Islam dengan keganasan dan sekolah-sekolah agama pula sebagai sarang untuk melahirkan pengganas. Walau bagaimanapun melalui pendekatan Islam Hadhari dalam sistem pendidikan agama, kita ingin membuktikan bahawa Islam merupakan agama yang progresif, yang harmoni dengan kemodenan dan menuntut umatnya untuk menimba ilmu, bersikap toleran, mencapai kemajuan, keamanan dan kesejahteraan.

13. Kita perlu membangunkan modal insan yang selari dengan zaman. Modal insan adalah suatu elemen yang sangat penting. Ini selari dengan keinginan YAB Perdana Menteri, bahawa perlu wujud perimbangan antara cita melahirkan individu ber'mentaliti kelas pertama'; dan individu ber'personaliti menara' (towering personality).


14. Sedarilah, realiti politik hari ini yang mana kuasa politik Melayu tidak lagi kukuh jika kita bertikai dan berpecah. Kelemahan politik dan ekonomi akan mengembalikan orang Melayu ke zaman sebelum merdeka di mana kita daif, lekeh dan tidak ada jati diri. Ingatlah, bahawa bangsa yang malas akan malap, bangsa yang merempit akan merempat dan bangsa yang tiada wawasan akan ditewaskan.

(** Sindiran nilai politik)

Tebang buluh dengan kapak,

Bila hulur baru nampak.

Ada duit, mudah dikuit,

Tiada wang, tergolek seorang.


15. Jangan kita sesekali lupa untuk mengingatkan diri, bahawa manusia dipegang kepada janji; sekali belayar, tidak kita pulang tanpa kejayaan yang pasti; UMNO bukan milik peribadi, tapi suatu harapan dan cita yang sebenar-benarnya dikongsi; jangan sejarah perpecahan ingin kita ulangi; kecuali kesepaduan cita yang kita hajati. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan,memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji,kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapatmengambil pelajaran.” (Maksud Surah An Nahl: Ayat 90)


Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

16. Sebagai ahli-ahli UMNO, kita sebenarnya adalah segelintir Orang Melayu yang sedar bahawa Orang Melayu punya masalah maka kita terpanggil untuk bertindak memperkasakan Orang Melayu. Pada hemat saya, peranan kita sebagai segelintir yang sedar adalah sebagai pemangkin perubahan sikap dan pembawa anjakan paradigma Orang Melayu. Peranan ini adalah rumit kerana ia memerlukan kita untuk menyiapkan diri dengan bekalan ilmu yang secukupnya. Malahan, kita juga perlu menunjukkan bahawa kita sendiri telah berubah sikap dan beranjak paradigma sebelum mangajak Orang Melayu yang lain.

17. Sesungguhnya, perjuangan kita ini bukanlah mudah. Sebagai pejuang, ada kalanya kita melalui zaman duka dan kecewa. Ada kalanya kita disanjung dan dimuliakan. Ada kalanya kita dipinggir dan dilupakan tetapi pejuang sebenar tidak pernah mengerti makna kekecewaan. Pejuang tulen tidak sekali-kali tunduk pada keraguan, malah tidak gentar dengan kecaman dan ugutan. Inilah pegangan dan prinsip yang saya pertahankan. Prinsip yang berlandaskan keberanian, kebijaksanaan dan kematangan dalam menatang perjuangan ini. Berani kerana benar, takut kerana salah. Sebagai satu bangsa, orang Melayu tidak mampu lagi berpecah. Sejarah adalah guru terbaik kehidupan agar kita tidak mengulangi kekhilafan.

18. Dengan lafaz doa yang tidak berkesudahan; kepada Allah SWT jua akan kita sandarkan harapan; agar UMNO kan terus diberikan kekuatan; mengangkat martabat, membawa seribu harapan dalam mengisi kemerdekaan.


19. Berundur bukanlah pilihan; namun terus mara ke depan; mencari arah, menerjah jalan; memperkasa iman, memperteguh pendidikan. Bangkit Melayu dengan harapan; Hidup UMNO dengan kesungguhan….Ayuh tuan2 dan puan2,teruskan perjuangan; maruah kemerdekaan kita semarakkan.


Tidak ku rela diperhamba sekali lagi;

Janji MERDEKA ini,

Mestilah selamanya dan hakiki;

Kita gerakkan cita ilmu di segenap Negeri;

Kita satukan jiwa Melayu gagah berani;

Kita bangkitkan fikrah gemilang anak pertiwi;

Biar lahirmu UMNO…kelahiran keramat;

Mengangkat Martabat, Menjulang Umat;

Perjuangan ini tidak akan kenal nesan,

Kerana cita dan rohnya…kekal berpanjangan.


Hidup Melayu!!

Hidup Melayu!!

Hidup Melayu!!


*Teks ucapan ini telah disediakan dengan kerjasama JUN (-jj-) Uitm Lendu – Terima kasih yang tidak terhingga*

No comments: