Monday, 15 December 2008

Kami nak jambatan baru

JOHOR BAHRU 15 Dis. — Bangunan Sultan Iskandar bernilai RM1.3 bilion yang dirasmikan oleh Sultan Johor pada 2 Dis lepas akan beroperasi sepenuhnya sebagai pintu masuk dan keluar negara mulai tengah malam ini.
Bagaimanapun, bagi penduduk dan pemimpin politik tempatan di Johor Bahru, mereka tetap menaruh harapan agar kerajaan dapat menghidupkan kembali projek pembinaan jambatan baru, sama ada bengkok atau lurus untuk menggantikan Tambak Johor.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, kebanyakan rakyat Johor masih mahukan sebuah jambatan baru yang menyeberangi Selat Johor, menggantikan Tambak Johor yang dibina pada 1923.
“Anda tanya sendiri rakyat Johor sama ada mereka mahukan jambatan baru atau tidak, dan kebanyakan akan mengatakan yang mereka mahukan sebuah jambatan yang baru untuk menggantikan Tambak Johor,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, kesesakan trafik yang berlaku setiap hari di pusat bandar raya hanya dapat diatasi menerusi pembinaan jambatan baru di selat terbabit.
Menurut Abdul Halim, jambatan baru yang lebih besar dan memenuhi keselesaan pengguna juga dapat meningkatkan kemasukan pelabur dan pelancong asing ke Iskandar Malaysia.
Dua hari lepas, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Zainuddin Yaacob berkata, Tambak Johor akan ditutup pada semua kenderaan mulai 11.45 malam pada 15 Dis (hari ini), dan semua trafik akan dihalakan ke Bangunan Sultan Iskandar.
Pendapat Abdul Halim itu turut disokong oleh penduduk tempatan, Mohd. Salleh Ali, 39, yang berkata, keadaan trafik yang kritikal di pusat bandar raya berpunca daripada kesesakan yang berlaku di Tambak Johor.
“Penduduk Johor Bahru sudah tidak mampu lagi menempuh kesesakan jalan raya di pusat bandar raya. Mereka sememangnya amat mengharapkan sebuah jambatan baru dapat dibina,” kata pekerja syarikat swasta itu.
Penduduk tempatan, menurut Mohd. Salleh yang tinggal di Taman Daya di sini, menyambut baik cadangan kerajaan beberapa tahun lepas yang mahu menggantikan Tambak Johor, tetapi kecewa apabila projek tersebut dibatalkan.
“Kini selepas Bangunan Sultan Iskandar dibuka, kita berharap kerajaan dapat menghidupkan kembali projek pembinaan jambatan baru bertujuan menyelesaikan masalah trafik di pusat bandar raya,” katanya.
Ketika projek pembinaan Bangunan Sultan Iskandar itu mula dibina pada 2003, itu turut meliputi pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor tetapi dibatalkan pada 2006.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, Khalid Mohamad yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru pula berkata, Bangunan Sultan Iskandar tidak dapat berfungsi secara optimum tanpa pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor.
Katanya, pembinaan jambatan baru itu juga dapat membawa industri pelancongan di Johor Bahru dan Johor ke suatu tahap yang baru, dengan Pantai Lido dibangunkan sebagai pusat pelancongan antarabangsa.
“Pantai Lido dapat dibangunkan sebagai pusat kapal layar mewah yang terulung di rantau ini, memberikan peluang kepada pemain-pemain industri pelancongan di Johor,” katanya. - Bernama

No comments: