KUALA LUMPUR 21 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara dan UMNO mahu pemimpin yang berwibawa, berkebolehan dan diterima rakyat membarisi set kepimpinannya.
Timbalan Perdana Menteri yakin ciri-ciri kepimpinan sedemikian mampu membantu beliau mengemudi perubahan dalam parti itu dan negara.
Ditanya apa akan berlaku seandainya pemilihan parti bermula 24 Mac ini tidak mencapai apa yang diinginkan, Najib berkata, beliau hanya boleh merayu kerana menyedari ia adalah kuasa perwakilan untuk membuat keputusan.
‘‘Sebab itu saya kata, mereka mesti mengundi berdasarkan hati nurani. Pilihlah pemimpin yang mempunyai ciri terbaik untuk meniti arus perubahan yang patut kita lakukan,’’ katanya dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia dan Kumpulan NSTP menjelang Perhimpunan Agung UMNO di sini.
Najib seterusnya memperincikan makna set kepimpinan dalam UMNO ialah mereka yang bersedia menghadapi cabaran baru, sedia untuk berubah, sedia untuk buat perubahan dan sedia untuk melakukan kebaikan.
Timbalan Presiden UMNO itu seterusnya menggariskan tiga ciri yang perlu ada pada pemimpin yang hendak dipilih.
Ciri-ciri tersebut kata Najib ialah:
- Pertama, komited dalam perjuangan UMNO lebih daripada diri atau kelompok;
- Kedua, mesti bersikap terbuka maknanya bersedia melakukan perubahan dan;
- Ketiga, mesti pemimpin yang mencerminkan apa yang baik
di sisi rakyat.
‘‘Apa yang rakyat pandang baik yang harus ada pada pemimpin itu, maka pemimpin itu yang sebaik-baiknya dipilih bagi menduduki pelbagai jawatan dalam parti,’’ katanya.
Najib menegaskan, beliau memerlukan sebuah pasukan yang berwibawa memandangkan UMNO dan kerajaan berhadapan dengan keadaan yang begitu mencabar.
‘‘Saya tidak mungkin mampu menghadapi cabaran ini tanpa disokong dan didokong oleh kepimpinan tertinggi parti yang sehaluan, mempunyai fikiran yang sama dan iltizam serta kehendak politik yang sama.
‘‘Jadi inilah yang amat penting sekali. Jika saya bersama beberapa kerat sahaja yang mencerminkan sikap sedemikian, tidak mungkin kita dapat membawa perubahan sehingga mampu memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat,’’ katanya.
Menjawab satu soalan, Najib berkata, beliau tidak perlu menyebut senarai barisan kepimpinan yang diinginkan kerana tidak semestinya ia akan dipatuhi.
‘‘Kita cuma boleh merayu sahaja kepada mereka (perwakilan) dari segi pertimbangan dan kesedaran serta keinsafan mereka, betapa pentingnya keadaan sekarang yang kritikal untuk masa depan UMNO.
‘‘Kita sudah sampai di persimpangan jalan di mana setelah lebih 50 tahun kita berkuasa, inilah ketikanya paling kritikal. Jadi ahli UMNO mesti sedar ini dan mesti mengundi memilih pemimpin berdasarkan kepada realiti situasi sekarang,’’ katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment