HARI ini 31 Ogos 2009, bermakna genap 52 tahun kita mengecapi kemerdekaan. Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-52. Hari ini juga genap 10 Ramadan, bermakna, hari kesepuluh umat Islam menjalani ibadah puasa. Semoga kemerdekaan kita dan ibadat kita pada bulan yang mulia ini diberkati. Disebabkan sambutan Hari Kebangsaan kali ini jatuh pada bulan puasa dan ketika negara malahan dunia sedang bergelut melawan wabak selesema babi influenza A (H1N1), maka sambutan kali ini terpaksa berlangsung dalam suasana sederhana.
Lebih banyak acara keagamaan diadakan. Bermula dengan cadangan sambutan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia terpaksa dipindahkan ke pekarangan Parlimen. Masa sambutan pada hari ini juga cuma 40 minit. Tetapi semangat sambutan tetap sama. Cuma yang agak mengecewakan ialah keghairahan masyarakat kita mengibarkan Jalur Gemilang. Mungkin sedikit keghairahan boleh dilihat di ibu negara. Itu pun disebabkan program kerajaan MenjalurGemilangkan Kuala Lumpur. Kerajaan juga dengan sokongan pihak swasta mengagihkan bendera secara percuma. Tetapi bagaimana pula di negeri-negeri lain.
Entah kenapa pada tahun ini, tidak nampak keghairahan mengibarkan Jalur Gemilang seperti yang pernah dialami dalam sambutan yang sama beberapa tahun lampau. Dulu, disebabkan ada satu peraduan yang menawarkan hadiah, maka berlumba-lumba pemilik kenderaan mengibarkan Jalur Gemilang. Tetapi kali ini jumlah kenderaan yang mengibarkan Jalur Gemilang boleh dihitung dengan jari. Tidak percaya? Cuba anda duduk di mana-mana plaza tol dan bilang berapa banyak kenderaan yang melintasi plaza tol itu yang mengibarkan Jalur Gemilang. Kemeriahan di bangunan juga agak kurang. Kibaran Jalur Gemilang di rumah kediaman - banglo, teres, apartmen dan sebagainya juga tidak menggalakkan.
Adakah kerana pemilik kenderaan tidak mendapat bekalan percuma? Adakah pemilik bangunan dan kediaman tidak mempunyai bajet untuk menghiasi bangunan mereka dengan Jalur Gemilang?
Tidak dinafikan ramai juga yang menantikan Jalur Gemilang percuma. Kalau dapat... pasang, tak dapat... tidak apa. Itulah sikap orang kita. Samalah seperti nasihat supaya memakai penutup hidung dan mulut dalam usaha mencegah selesema babi. Dah terbalik... mengubat lebih baik daripada mencegah. Harga RM0.80 bagi setiap helai penutup hidung dan mulut itu dianggap mahal (jika dibandingkan harga sebelum wabak) bagi menjaga kesihatan. Membeli dua helai penutup hidung dan mulut, seseorang itu mampu membeli satu kilogram gula pasir yang lebih memudaratkan.
Bagaimanapun tidak dinafikan, penutup hidung dan mulut yang perlu 'pakai buang' dalam sehari itu mahal sedangkan harga asalnya tidaklah sehingga mencecah RM0.80 sen. Di Jalan Tuanku Abdul Rahman, sebelum harga kawalan dikenakan, untuk dua helai penutup hidung dan mulut boleh diperoleh dengan harga RM1.50 sen. Maknanya boleh dapat harga lebih murah. Begitu juga dengan perokok yang sanggup membeli sekotak rokok pada harga RM6.80 tetapi tidak mampu mendapatkan sehelai bendera kecil yang harganya tidak lebih daripada RM3 sedangkan pada harga sekotak rokok, seseorang itu mampu mendapat sehelai bendera besar.
Itulah bezanya, antara Jalur Gemilang, penutup hidung dan mulut. Satu untuk menunjukkan rasa bangga terhadap kemerdekaan sementara yang satu lagi berkait rapat dengan penjagaan kesihatan. Kedua-duanya mahu mengharapkan yang percuma sedangkan tidak harus ada tolak ansur dalam penjagaan kesihatan.
Bagi kebanyakan orang, dua perkara ini - pasang bendera dan memakai penutup hidung dan mulut bukanlah satu kemestian. Namun bak kata Nabil Raja Lawak: "Lu pikir la sendiri".
Lagi pun ramai yang akan berkata, setakat memasang atau mengibarkan bendera bukan melambangkan kecintaan sebenar seseorang terhadap erti kemerdekaan. Apa yang penting, niat kita. Tetapi dengan kibaran Jalur Gemilang, sekurang-kurangnya kita dapat mengingati akan kemerdekaan serta menunjukkan semangat patriotik. Sampai bila kita akan bergantung kepada kerajaan untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan? Kerajaan boleh beri bendera percuma malahan tahun ini, pihak swasta menyediakan 3.1 juta helai bendera. Tetapi sekali sekala bolehlah, takkan saban tahun. Ada juga manusia yang selepas mendapat bendera, dia pasang dan kemudian biar reput di tengah panas dan hujan. Ada pula yang simpan bendera tetapi apabila tiba 31 Ogos, malas nak pasang. Maka reputlah bendera itu dalam simpanan.
Apa pun, sempena ulang tahun kemerdekaan ini, sama-samalah kita mengingati semula liku-liku perjuangan pemimpin yang berjuang menuntut kemerdekaan negara. Fahamilah erti kemerdekaan yang sebenarnya.
Seperti perutusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi, apa yang penting, rakyat perlu terus mengurus kejayaan dan membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang terpupuk selama ini.
''Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik malahan akan musnah jika rakyat tidak berwaspada. Buktinya, lipatan sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan,'' kata Najib.
Memang benar untuk membina sebuah bangunan pencakar langit akan mengambil masa yang terlalu lama, memerlukan ribuan pekerja. Begitu juga untuk membina suasana kerukunan yang ada pada hari ini bukanlah satu kerja mudah. Banyak yang terpaksa dikorbankan untuk mencapai sebuah negara yang bermula dengan Malaya, kemudiannya Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia. Tetapi untuk memusnahkan sesuatu cukup mudah. Sebuah bangunan boleh runtuh dan ranap hanya sekelip mata sama ada dengan kuasa Tuhan melalui gempa bumi atau ciptaan manusia seperti letupan bom atau dilanggar menggunakan pesawat.
Begitu juga bagi memusnahkan suasana kerukunan hari ini terlalu mudah. Hanya sekadar meniup api perkauman, sentimen kaum, maka akan tercetuslah mala petaka yang ditakuti. Justeru, jagalah kerukunan yang ada supaya ia tidak hancur lebur kerana perkara titik bengik.
Salam 1Malaysia. Selamat Hari Kebangsaan Malaysia!
sumber- UTUSAN
No comments:
Post a Comment