Sunday 27 July 2008

Cadang Caw. Usul Calon Jawatan Tertinggi UMNO - Mukhriz

Written by Bernama
JERLUN, 25 Julai (Bernama) -- Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir mencadangkan mesyuarat peringkat cawangan Umno mengusulkan senarai nama untuk dicalonkan bagi setiap jawatan tertinggi parti.

Beliau berkata ini bagi memastikan suara semua peringkat rakyat didengar dan pemimpin yang bakal dipilih benar-benar mendapat sokongan akar umbi.

"Keputusan pilihan raya yang lalu perlu diinsafi dan sudah sampai masanya kehendak rakyat khususnya kaum Melayu dizahirkan dalam pemilihan parti kali ini.

"Sehubungan itu, saya kini dalam proses menghantar surat kepada lebih kurang 22,000 ketua cawangan di seluruh negara, memohon untuk mengusulkan cadangan ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama rakyat di Batu 7, Jalan Sanglang di sini, Jumaat.

Dalam surat berkenaan, Mukhriz berkata beliau akan menjelaskan usul itu perlu dibuat bagi memastikan proses pemilihan jawatan tertinggi parti lebih telus dan bertanggungjawab.

Selama ini hanya 2,500 perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno sahaja yang akan memilih barisan kepimpinan Umno di peringkat tertinggi, katanya.

"Lebih wajar sekiranya hak untuk memilih ini diturunkan ke peringkat akar umbi kerana lebih sesuai untuk mewakili 27 juta rakyat negara ini berbanding hanya 2,500 perwakilan," katanya.

Beliau berkata cadangan itu juga adalah untuk memperkasa serta memanfaatkan mesyuarat cawangan kerana anggota yang hadir dapat turut terlibat dalam pemilihan pucuk pimpinan.

"Ia juga bertujuan untuk mendekatkan pemimpin dengan ahli-ahli akar umbi dan menghindari gejala rasuah politik," katanya.

Katanya beliau sendiri akan memantau semua usul berkaitan nama-nama calon berkenaan.

Mengenai muzakarah Umno dan PAS, Mukhriz berkata beliau menyokong perkara itu yang diyakininya merupakan satu cara untuk menguatkan kedudukan orang Melayu.

-- BERNAMA

No comments: