Monday 29 June 2009

Majlis Raja-raja perlukan pandangan Majlis Agama Islam

KUALA LUMPUR 29 Jun - Majlis Raja-Raja hari ini memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Pada satu mesyuarat khas itu, Majlis Raja-Raja membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan pindaan tersebut, demikian menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat selama dua setengah jam di Istana Negara itu dipengerusikan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berangkat ke mesyuarat itu.

Menurut kenyataan itu, semua Raja hadir kecuali Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Tengku Abdullah; Sultan Kelantan diwakili Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra; Sultan Perak diwakili Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Pemangku Raja Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman. - Bernama

Thursday 25 June 2009

Contohi parti Cina

PUTRAJAYA 24 Jun – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kecewa dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam demi menegakkan ideologi politik mereka.

Sambil menyuarakan rasa kecewa dengan kegagalan merealisasikan kerajaan perpaduan Pas-UMNO, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2008 itu berkata, parti yang mendakwa Islam ini bertindak tidak seperti mana DAP yang tidak bergaduh sesama parti Cina lain malah sanggup pula bersatu demi kejayaan kaum sendiri.

‘‘Saya sebenarnya amat berharap benda ini (kerajaan perpaduan) jadi (kenyataan) sebab saya sendiri memperjuangkan supaya masyarakat Melayu dan Islam ini bersatu.

‘‘Tapi saya kecewa. Mereka ini taksub kepada parti sehingga menganggap sesama mereka (dalam parti sendiri dan parti-parti Melayu lain) bukan bersaudara. Politik itu politiklah tapi persaudaraan Islam itu mestilah dijaga, maka haramlah memutuskan tali persaudaraan Islam itu,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini

Wednesday 24 June 2009

Kecewa kerajaan perpaduan ditolak

KUALA LUMPUR 23 Jun – Ahli Akademik dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu kecewa dan kesal apabila kerajaan perpaduan yang dicadangkan demi perpaduan orang Melayu akhirnya terkubur begitu sahaja.

Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perasaan orang Melayu seolah-olah dipermain-mainkan apabila pakatan pembangkang menolak cadangan itu.

“Kita teruja dan gembira sebelum ini kerana sudah nampak ada usaha perpaduan antara orang Melayu dan umat Islam apabila timbulnya cadangan ini terutama kerjasama antara UMNO dan Pas.

“Tetapi akhirnya ia jadi begini. Perasaan orang Melayu seolah-olah terus dipermainkan demi kepentingan politik pembangkang semata-mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Pas sebelum ini bagi mewujudkan kerajaan perpaduan bersama UMNO demi kesejahteraan orang Melayu dan umat Islam, tetapi ditolak pakatan pembangkang semalam.

“Mereka (Pas) tidak fikir tentang agenda orang Melayu atau Islam. Saya lihat Pas kini sudah hilang kredibiliti sebagai parti Islam yang dihormati, tetapi hanya mahu berpolitik lebih daripada perjuangan asalnya.

“Lebih aneh, mereka menyalahkan UMNO pula kerana cuba mengeksploitasi isu ini. Setahu saya, cadangan ini datang daripada mereka (Pas). Ini ibarat ‘hujan naik ke langit’ pula,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md. Harun yang turut kesal dengan kegagalan kerajaan perpaduan itu berkata, keadaan orang Melayu kini tidak boleh dibanggakan sangat.

Katanya, kaum itu perlu berbuat sesuatu untuk bersatu bagi mencapai kemajuan dalam segala aspek.

“Tetapi, apabila ada usaha seperti ini yang boleh memberi makna besar kepada perpaduan orang Melayu, ada pula yang seperti mahu ia tidak dilaksanakan,’’ katanya.

Katanya lagi, ini menunjukkan bahawa Pas terus tunduk dengan arahan dan kata-kata DAP yang sesekali tidak akan membenarkan orang Melayu bersatu-padu.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad pula berkata, sikap Pas yang berdolak-dalik dalam isu tersebut amat dikesali kerana ia merugikan orang Melayu sendiri.

“GPMS yakin rakyat telah jelas dan faham tentang permainan politik Pas sejak dulu lagi. Kita percaya rakyat akan menolak sebarang cadangan daripada Pas lagi selepas ini walaupun atas nama agama dan kaum Melayu,” jelasnya.

Ketua Umum, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula berkata, penolakan idea itu bertentangan dengan aspirasi rakyat yang telah lama menikmati hasil perpaduan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, ia dibuat di peringkat pemimpin politik sahaja tanpa mendengar pandangan akar umbi.

“Pakatan pembangkang selama ini mencanangkan mereka mewakili rakyat, tapi kenapa dalam hal ini mereka tidak mendengar suara rakyat terlebih dahulu,’’ katanya.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohamad Mustapha Ishak berkata, perkembangan terbaru itu menunjukkan Pas lebih mementingkan politik pilihan raya berbanding politik kepentingan ummah.

“Pada masa ini, Pas hanyalah parti ketiga dalam pakatan pembangkang. Jangan anggap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan beri peranan utama kepadanya apabila menang kelak, insaflah bahawa kepentingan ummah mengatasi segala-galanya,’’ katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, kegagalan idea kerajaan perpaduan berpunca daripada penolakan PKR dan DAP.

Katanya, beliau yakin jauh di sudut hati Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap mahukan idea itu direalisasikan demi kepentingan Islam dan orang Melayu.

“Namun, akhirnya dia sedar kekuatan Pas tiada, jadi dia terpaksa ikut arus yang deras dalam pakatan pembangkang.

“Apa pun Pas tidak mahu mengakui mereka mengikut arus deras itu dan sebaliknya lantang menuduh UMNO,” katanya.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM), KS. Balakrisnan berkata, pakatan pembangkang dilihat agak goyah apabila isu berkaitan kerajaan perpaduan dibangkitkan.

Katanya, pihak pakatan mungkin takut atau bimbang sekiranya gabungan Pas dan Barisan Nasional (BN) menjadi kenyataan, kuasa politik dan sokongan masyarakat Islam kepada mereka akan terhakis.-UTUSAN

Monday 22 June 2009

BN Masih Mampu Tadbir Negara Tidak Perlukan Kerajaan Perpaduan: Najib

PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional masih berupaya mentadbir negara dan tak memerlukan sebuah "kerajaan perpaduan", kata Datuk Seri Najib Tun Razak, isnin.

Ketika diminta mengulas keputusan Pas, DAP dan Parti Keadilan Raykat hari ini untuk menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan itu, Perdana Menteri berkata kerajaan BN adalah kukuh dan mampu melaksanakan program pembangunannya.

"Tidak timbul soal kerajaan BN lemah sehingga perlukan kerajaan perpaduan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di luar negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan itu ditimbulkan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan menurut Najib, reaksi kerajaan terhadap cadangan itu adalah sekadar memberikan respon positif.

Najib berkata kerajaan memberikan respon yang positif terhadap cadangan itu kerana menganggap ianya sesuatu yang baik untuk negara.

"Kita masih tetap dengan pendirian kita, sesuatu yang baik untuk negara mestilah diusahakan bersama walaupun mereka datang daripada parti pembangkang," katanya.

Ketika ditanya sama ada penolakan oleh pakatan pembangkang itu akan merugikan orang Melayu, Najib berkata : "Saya rasa tidak. Saya harap mereka menimbang dengan betul apa saja yang mereka buat. Kita pula tidak akan terbawa-bawa dengan persoalan sama ada perbincangan ini diadakan atau pun tidak.

"Apa yang penting ialah kita tangani dengan baik perbezaan kita dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara."

Kepada soalan sama ada perbincangan mengenai kerajaan perpaduan ini akan diadakan di masa hadapan, Perdana Menteri berkata bahawa dalam politik, apa saja boleh berlaku.

-- BERNAMA

Sunday 21 June 2009

Nik Aziz Terima Bersyarat Kerajaan Perpaduan

KOTA BAHARU, 21 Jun (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini membuat kenyataan lebih 'lembut' dan memberi persetujuan bersyarat terhadap rundingan mengenai kerajaan perpaduan PAS dan Umno hasil cadangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau seorang yang degil kerana 'berkeras' menentang kerajaan perpaduan, Menteri Besar Kelantan itu menegaskan beliau seorang yang 'istiqamah', tegas memperjuangkan perkara yang benar.

Jelas Nik Aziz, sikapnya itu semata-mata untuk mempertahankan keputusan Muktamar Tahunan PAS di Ipoh setahun lepas iaitu PAS mesti bersama dengan Pakatan Rakyat.

"Ada yang kata saya degil kerana enggan terima kerajaan perpaduan. Saya nak jawab saya bukan berdegil tapi saya beristiqamah. Degil bermakna kita pertahan benda salah bermati-matian, dah tahu benda salah tapi pertahankan juga, itu degil namanya. Tapi bila barang (perkara) yang benar, yang betul, itu kita istiqamah.

"Jadi kalau ada pihak dalam PAS yang nak perpaduan dengan Pakatan Rakyat, dan nak juga perpaduan dengan Umno, itu sudah kacau. Jangan buat begitu," katanya pada sidang media di kediaman Menteri Besar di JKR 10, di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata beliau boleh menerima cadangan pembentukan kerajaan perpaduan namun ia perlu dibuat mengikut salurannya.

"Kena ikut saluran, tak boleh kita nak ketepikan keputusan mesyuarat (muktamar) dan pandai-pandai buat keputusan sendiri, tak boleh.

"Kalau nak juga bawa cerita perpaduan ni, bawa dulu ke PAS Pusat, bahas di peringkat negeri-negeri dan lepas tu bawa ke Pakatan. Sekarang ni Pakatan pun sudah marah pada kita," katanya.

Menurutnya, perbincangan dengan Umno juga perlu berkisar kepada isu Islam, bukan isu Melayu.

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri yang mahu PAS dan Umno membuka lembaran hubungan baru, ketika melawat Kuala Krai Jumaat lalu, Nik Aziz berkata beliau mahu Umno memohon maaf kepada PAS terlebih dahulu.

Nik Aziz juga berkata beliau masih belum mengadakan sebarang pertemuan dengan Naib Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, dan Nasharudin juga belum menghubungi beliau untuk menjernihkan suasana tidak enak yang timbul di antara mereka berdua.

Nik Aziz sebelum ini meminta Nasharudin meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Bachok kerana kesungguhannya untuk menjayakan cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Nik Aziz berkata satu pertemuan akan diadakan melibatkan beliau, Abdul Hadi, Nasharudin dan beberapa pemimpin lain malam esok untuk meredakan ketegangan dalam parti itu.

-- BERNAMA

Thursday 18 June 2009

‘Perpecahan Melayu teruk’

PUTRAJAYA 17 Jun – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini memberi amaran perpecahan orang Melayu ketika ini terlampau teruk sehingga golongan majoriti itu kelihatan terlalu lemah.

Membiarkan orang Melayu sendiri mentafsirkan apa yang dimaksudkannya daripada pengamatan suasana hari ini, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2008 itu percaya hanya kerajaan perpaduan antara UMNO-Pas sahaja boleh mengembalikan semula kewibawaan orang Melayu di Malaysia.

‘‘Saya sebenarnya tidak mahu mengulas isu-isu politik tetapi dalam soal cadangan kerajaan perpaduan UMNO-Pas ini, saya setuju sangat jika ia dapat dijayakan.

‘‘Ia bukan sahaja boleh menyatukan orang Melayu malah lebih dari itu mempertahankan agama Islam yang suci ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini

Tuesday 16 June 2009

PAS Sedia Berbincang Tentang Perpaduan

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa berkata parti itu berpendirian terbuka untuk perbincangan tentang perpaduan dan bukannya kerajaan perpaduan.

Beliau menerangkan kepada pemberita di Parlimen hari ini bahawa PAS melihat ada peluang untuk memberikan cadangan-cadangan baik kepada kerajaan bagi membantu menyelesaikan kemelut politik, ekonomi dan sebagainya.

"Pendirian kita sepertimana tuan-tuan sedia maklum, PAS sentiasa membuka ruang untuk berbincang dengan sesiapa sahaja. Ini adalah keputusan yang dibuat di Muktamar Ipoh pada tahun lepas dan perkara itu disebut sekali oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar beliau dan saya rasa isu PAS masuk Umno, masuk Barisan Nasional (BN) tidak berbangkit sama sekali.

"Ini pendirian yang kita ambil, sedia berbincang dengan sesiapa pun dan itu pun keputusan muktamar, sudah tentulah kalau kita tutup ruang untuk adakan perbincangan ini, sedangkan kita rasa kita ada peranan yang boleh mainkan untuk bantu bangunkan negara ini," kata Nasharuddin, yang juga Anggota Parlimen Bachok.

Beliau berkata PAS menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga presiden BN, begitu terbuka untuk menerima perbincangan kerajaan perpaduan.

"Respon (kali ini) yang saya rasa pertama kali agak serius daripada Perdana Menteri, dan saya sendiri bawa balik ke Presiden parti sendiri. Saya tidak boleh cakap bagi konteks parti.

"Kita tidak boleh buat keputusan secara individu. Muktamar merupakan pihak berkuasa tertinggi," katanya.

Mengenai pendirian Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan bahawa sesiapa yang menyokong kerajaan perpaduan adalah boneka Umno, Nasharuddin menyatakan:

"Saya tidak dapat nak ulas apa yang dimaksudkan oleh Tok Guru Nik Aziz, saya sebutkan tadi, kepada umum kalaulah 'unity talk' ini atau 'unity government ini konon-konon usul untuk bawa PAS masuk BN atau Umno, itu bukanlah niatnya."

Berhubung pendirian berbeza anggota PAS mengenai kerajaan perpaduan, beliau berkata: "Ini merupakan sesuatu yang baru, satu perkara besar dan sesuatu yang perlukan penjelasan dan proses ini sedang berjalan."

Bagi parti-parti lain dalam pakatan parti pembangkang, Nasharuddin berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan pakatan itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran 1 dan juga Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong menyatakan pendirian Pemuda MCA yang mengalu-alukan sebarang usaha BN dan pembangkang untuk bekerjasama menstabilkan ekonomi dan situasi politik.

"Kalau ada perpaduan berlandaskan kebaikan untuk negara ini merupakan satu perkara yang baik. Seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, perkara ini juga akan dibincangkan dengan parti-parti komponen BN.

"Tetapi, sekiranya kerajaan campuran terbentuk, ia juga akan merangkumi campuran ahli-ahli bersekutu pakatan (parti pembangkang) jadi saya rasa kemungkinannya adalah rendah. Kalau pembangkang bergabung dengan pemerintah, siapa jadi pembangkang?" soal Ka Siong.

-- BERNAMA