Saturday 28 February 2009

Ibrahim Tidak Layan Provokasi Desak Letak Jawatan

KOTA BAHARU, 28 Feb (Bernama) -- Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata beliau tidak akan melayan sebarang provokasi pihak-pihak tertentu yang mendesak beliau meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen.

Beliau mengakui sedar adanya desakan hebat dari PAS supaya beliau meletak jawatan ekoran kelantangannya bersuara menentang parti itu walaupun beliau bertanding di Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum yang lalu di atas tiket PAS.

"Walau apa yang mereka lakukan untuk memaksa saya letak jawatan, saya tidak akan layan kerana seseorang anggota parlimen tidak boleh bertanding semula sebelum tamat tempoh lima tahun mengosongkan kerusi yang dimenanginya," katanya.

"Jadi, tunggulah Pilihan Raya Umum ke 13 nanti, saya akan bertanding semula bagi untuk membuktikan pengaruh sama ada masih diterima pengundi kawasan (Parlimen Pasir Mas) atau tidak," tambahnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada pada Majlis Penerangan Khas "Kesetiaan dan Kedaulatan Raja" anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di sini, hari ini.

Ibrahim berkata adalah sesuatu yang aneh apabila PAS bertindak meminta beliau meletak jawatan semata-mata kerana beliau menyuarakan pandangan di tempat-tempat terbuka termasuk di Parlimen.

"Prinsip saya sejak dari dulu lagi, suka menyuarakan pandangan dan menentang segala kemungkaran sama ada dalam mana-mana parti sekalipun," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday 24 February 2009

Ibrahim Ali Pertimbang Tawaran Masuk Umno

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata beliau akan mempertimbang pelawaan untuk menyertai Umno semula setelah mengambil kira pandangan dari pengundi di kawasannya.

Ibrahim yang merupakan anggota Parlimen Bebas berkata tawaran itu akan dipertimbangkan dan diperincikan dengan mengambil kira pelbagai faktor kerana beliau tidak mahu "pisang berbuah dua kali".

"Saya amat menghargai pelawaan daripada Umno namun pada masa ini, saya sedang memikirkan banyak perkara termasuk mendapatkan maklum balas daripada penyokong-penyokong. Saya mempunyai jentera sendiri. Apa sahaja keputusan yang dibuat oleh mereka saya akan ikut.

"Kalau nak terima saya, terimalah kelantangan saya selagi saya tidak melanggar disiplin tetapi kalau saya ada kes rasuah atau menjejaskan parti, silalah buang saya secepat mungkin tetapi jangan buang saya hanya kerana kelantangan saya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Alwi Che Ahmad berkata Umno Kelantan sedia menerima Ibrahim sekiranya beliau mahu kembali kepada parti itu.

Ibrahim sebelum ini pernah dibuang oleh Umno kerana bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya umum 2004 walaupun ketika itu menyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas.

Beliau juga pernah keluar dari Umno pada 1988 dengan mengisytihar diri sebagai anggota Parlimen Bebas bagaimanapun memohon semula menyertai parti itu pada 1991.

Ibrahim berkata beliau boleh kembali kepada parti itu dengan syarat Umno bersedia menerima beliau seadanya serta kelantangannya dalam menyuarakan pandangan.

"Kalau ini boleh diterima, saya akan fikir masak-masak. Saya dulu pernah digugur sebagai ketua penaja tanpa sebab yang saya sendiri tidak tahu. Mereka kena ingat yang saya ini memang seorang yang semula jadi lantang sejak menjadi pemimpin pelajar lagi dan hal ini nampaknya menjadi masalah kepada banyak pihak," katanya.

Beliau berkata kelantangannya menyuarakan pandangan telah menjadi masalah kepada pelbagai pihak dan yang terbaru ialah PAS Kelantan yang memintanya meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen.

"Mereka (PAS) mahu bekerjasama dengan saya dan menggunakan saya kerana mereka takut kalah dalam pilihan raya 2008 dan mereka juga kalah dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir. Pada masa itu, mereka terima saya walaupun mereka tahu saya lantang.

"Tapi sekarang apabila saya lantang, mereka marah pula. Saya tidak mahu perkara itu berulang lagi jika saya masuk ke dalam Umno. Kasihanlah dekat saya," katanya.

-- BERNAMA

Sunday 22 February 2009

Hormati Abdullah sebagai pemimpin agung - Mukhriz

KOTA BHARU 22 Feb. — Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir meminta semua rakyat terutamanya anggota Umno menghormati Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin agung selepas era kepimpinannya, apabila berakhir Perhimpunan Agung Umno, Mac ini.

Beliau berkata apa yang berlaku terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas menyerahkan jawatan pemimpin nombor satu negara kepada Abdullah tidak seharusnya berlaku lagi sebaliknya semua pihak perlu meletakkan mereka di tempat sewajarnya.

“Jangan lagi perlakukan Pak Lah seperti mana yang berlaku terhadap Tun Dr Mahathir kerana akhirnya Umno akan dibenci rakyat kerana tidak menghormati pemimpin.

“Kita mesti memberikan penghormatan tinggi kepada Pak Lah kerana dia adalah Perdana Menteri dan pemimpin kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenal calon-calon kepada perwakilan Pemuda Umno Kelantan di Bangunan Umno di sini, hari ini.

Mukhriz yang juga calon Ketua Pemuda Umno berkata adalah menjadi adat bangsa Melayu mengenang budi bekas pemimpin mereka terutama kepada pemimpin yang sangat berjasa untuk bangsa dan negara.

Beliau berkata apa yang berlaku kepada Dr Mahathir sebelum ini perlu dielakkan kerana ada dakwaan yang mengatakan Kedah tewas di tangan pembangkang pada pilihan raya umum disebabkan anggota Umno tidak mengenang budi bapanya.

“Semua rakyat di Kedah marah dan kecewa dengan apa yang berlaku terhadap Tun Dr Mahathir dan diterjemahkan melalui undi pada pilihan raya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai saranan agar Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat sama ada di dalam kerajaan atau parti, Mukhriz berkata sebagai anak adalah tidak wajar untuk beliau memberikan pendapat.

“Terpulanglah kepada parti untuk berbuat demikian seperti mana yang dilakukan oleh parti lain apabila bekas pemimpin mereka dilantik sebagai penasihat parti selepas tidak lagi menjadi presiden,” katanya.

Mukhriz juga berharap proses peralihan kuasa itu nanti akan berjalan dengan baik dan berharap kepimpinan baru nanti akan meneruskan kesinambungan pemimpin sedia ada bagi memperbaiki parti dan memakmurkan negara.

Sementara itu, dalam satu majlis lain di Bentong, Pahang, Mukhriz berharap agar pucuk pimpinan Barisan Nasional meletakkan calon Umno untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah yang akan diadakan pada 7 April nanti.

Pimpinan parti hendaklah membuat pemilihan yang tepat dengan meletakkan calon anak tempatan bagi memenuhi aspirasi para pengundi di DUN berkenaan, katanya.

— BERNAMA

Friday 20 February 2009

Hadi Awang Elok Jaga Pas Dari Campuri Umno

TAIPING, 19 Feb (Bernama) -- Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata adalah lebih elok untuk Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjaga partinya sendiri daripada sibuk mencampuri urusan dalaman Umno.

Beliau berkata Pas sendiri mempunyai banyak masalah termasuk pelbagai isu yang turut melibatkan parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membentuk komponen Pakatan Rakyat.

"Itu hak Umno, biar Umno selesaikan. Kita tak pernah nak minta nasihat daripada Presiden Pas. Dia elok jaga parti dia cukuplah, dia pun banyak masalah.

"Jadi tak payahlah bagi nasihat, terima kasih banyak-banyak. Umno boleh cari jalan selesaikan urusan kita. Kita tidak perlu campurtangan daripada orang luar yang saya tidak fikir berniat baik," katanya kepada pemberita di pejabat Umno Bukit Gantang di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Abdul Hadi pada persidangan Dewan Rakyat semalam supaya pelan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan kononnya untuk Abdullah melunaskan segala tugas dan agenda yang belum diselesaikan.

Ditanya desas-desus kononnya Abdullah akan hanya menyerahkan jawatan Presiden Umno kepada Najib dan bukan jawatan Perdana Menteri pada Mac ini, Muhyiddin meminta rakyat negara ini agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai khabar angin untuk mencemarkan nama baik parti itu dan pemimpinnya.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu merupakan pemimpin yang bermaruah dan setiap keputusan yang dibuat mereka adalah berdasarkan kepada pertimbangan yang rasional dan bijaksana.

Katanya golongan penyebar khabar angin berkenaan perlu menghentikan tindakan mereka yang hanya akan mencelarukan keadaan politik semasa dan menimbulkan senario yang tidak menentu yang hanya akan mendatangkan kesan tidak baik kepada negara ini.

"Kita sudah cukup banyak cerita tentang politik. Lebih elok kita tumpukan kepada soal kerja untuk membangunkan rakyat dan negara. Itu yang patut jadi tumpuan sekarang, bukannya terganggu dengan sebab masalah-masalah politik yang tidak berkesudahan yang ditokok lagi penyebar khabar angin yang beroperasi 24 jam," katanya.

Sementara itu Muhyiddin berkata pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini akan menjadi medan ujian untuk membuktikan bahawa Umno khususnya dan Barisan Nasional (BN) masih mendapat sokongan daripada rakyat.

Beliau berkata walaupun sebelum ini tewas pada pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu namun pilihan raya kecil Bukit Gantang akan membawa satu perubahan yang menunjukkan bahawa Umno dan BN masih menerima sokongan dan diyakini oleh rakyat.

-- BERNAMA

Friday 13 February 2009

Jangan biadab - titah Sultan Selangor

KLANG 13 Feb. - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini melahirkan perasaan amat kecewa dengan apa yang baginda sifatkan sebagai gelagat biadab terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung pelantikan kerajaan baru negeri Perak baru-baru ini.

“Perkembangan politik, peristiwa demonstrasi jalanan serta pertelingkahan antara pelbagai pihak, bersabit dengan pelantikan baru kerajaan negeri Perak baru-baru ini, yang sehingga membawa kepada gelagat biadab terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, amat mendukacitakan dan mengecewakan Beta” titah daginda dalam satu kenyataan akhbar khas yang dikeluarkan dari Istana Alam Shah di sini. - Bernama

Anwar perlu minta maaf

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengecam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersikap lepas tangan dalam insiden kekacauan politik di Perak.

Mereka mahukan Anwar memohon maaf kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan seluruh rakyat Malaysia kerana beliau adalah dalang sebenar yang mencetuskan penentangan terhadap institusi raja secara terbuka.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Hilmi Ismail berkata, kekalutan politik di Perak sebenarnya berpunca daripada projek 16 September yang dilancarkan oleh Anwar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui kaedah lompat parti.

Katanya, apabila keadaan berlaku sebaliknya di Perak, Anwar dilihat gagal memberikan nasihat kepada pemimpin kerajaan pakatan pembangkang negeri itu supaya berundur secara terhormat.

“Sewaktu kekalutan berlaku, kelibat Anwar kelihatan di beberapa majlis bersama pemimpin pakatan pembangkang Perak, kenapa dia tidak memberikan nasihat yang sewajarnya supaya mereka berundur secara terhormat.

“Kegagalan itu menyebabkan Anwar dilihat umpama dalang sebenar kepada kekecohan yang berlaku sehingga mendorong sekumpulan penyokongnya merusuh di Kuala Kangsar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hilmi berkata, kejadian rusuhan di Kuala Kangsar juga mirip dengan tindak tanduk Anwar yang sememangnya sinonim dengan demonstrasi jalanan pada tahun 70-an sehinggalah era reformasi 1998.

“Anwar perlu bertanggungjawab dan tidak terkecuali untuk memohon maaf dengan apa yang berlaku,” tegasnya.

Beliau mengulas kekecohan politik di Perak yang terus berlarutan berikutan perubahan kerajaan negeri ekoran tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang keluar parti manakala seorang lagi menyertai semula UMNO.

Bagaimanapun, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun telah dititahkan oleh Sultan Perak untuk berbuat demikian.

Pakatan pembangkang akan turut mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar baru, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir manakala Pengerusi DAP, Karpal Singh bercadang menyaman Sultan Perak.

Keadaan itu telah mencetuskan suasana tidak tenteram berikutan bantahan orang ramai di seluruh negara terhadap sikap para pemimpin pakatan pembangkang yang dianggap menderhaka kepada Sultan Perak.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula berkata, dakwaan bahawa Anwar adalah dalang kekecohan di Perak telah disahkan oleh Karpal baru-baru ini.

Katanya, Karpal juga meminta Anwar supaya bertaubat kerana telah mempromosikan politik lompat parti untuk mencapai cita-cita politik.

“Sebenarnya Anwar mahu ‘cuci tangan’, sebab itu dia elak untuk bersetuju dengan Karpal dalam kes menyaman Sultan Azlan Shah.

“Selama ini saya banyak tidak bersetuju dengan Karpal, namun kali ini saya terpaksa bersetuju dengan beliau bahawa Anwar adalah punca segala-galanya,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim menjelaskan pandangan beliau terhadap Anwar bukannya didorong oleh sentimen emosi sebaliknya ia berasaskan penilaian akademik.

Katanya, sebagai Ketua Pembangkang, Anwar tidak boleh lepas tangan dalam isu berkaitan kestabilan negara.

“Itu tanggungjawab dia sebagai ketua pakatan pembangkang, saya harap rakyat juga membuat penilaian yang jujur secara akademik mengenai tindak tanduk Anwar itu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Jamaludin Yusof berkata, Anwar perlu mengambil iktibar bahawa tindakan beliau telah menyebabkan hubungan antara orang Melayu dan kaum lain menjadi tegang.

Katanya, Anwar perlu menyedari bahawa politik songsang yang menjadi amalan beliau tidak membawa sebarang erti sebaliknya akan memusnahkan karier politiknya satu masa kelak.

“Apa yang berlaku di Perak adalah ketentuan Allah, kita harap beliau menerimanya dengan lapang dada bahawa apa yang kita rancang tidak semestinya menjadi kenyataan.

“Anwar tidak akan rugi apa-apa jika beliau memberi nasihat kepada orang Melayu dalam pakatan pembangkang supaya bermuhasabah dengan apa yang berlaku demi meredakan keadaan sekarang,” katanya.

Monday 9 February 2009

V Arumugam letak jawatan Adun Bukit Selambau

Menurut laporan Nasional @ 1 (RTM) sebentar tadi, bahawa V Arumugam selepas melepaskan jawatan exco kerajaan negeri Kedah, beliau turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau. Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak malam ini. Menurutnya, peletakan jawatan Arumugam itu berkuatkuasa serta merta.

Sunday 8 February 2009

Perhimpunan Aman Di Melaka Bantah Pakatan Rakyat

MELAKA, 8 Feb (Bernama) -- Kira-kira 500 anggota Gerakan Belia 4B Melaka dan Pergerakan Pemuda Umno Melaka mengadakan perhimpunan aman membantah tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat menghina kedaulatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Pada perhimpunan aman itu yang berlangsung selama sejam bermula pukul 12 tengah hari di hadapan Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini, mereka turut mengecam Pengerusi DAP Karpal Singh berikutan kenyataannya mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak.

Mereka turut memegang kain rentang dan sepanduk antaranya bertulis perkataan "Lucutkan Kerakyatan Penderhaka", "ISA Terhadap Penderhaka", "Jangan Derhaka Dengan Sultan" dan "Pertahankan Raja Melayu".

Pengerusi Gerakan Belia 4B Melaka, Mohd Nizam Omar berkata Gerakan Belia 4B Melaka yang mempunyai keanggotaan seramai 14,000 orang, membantah tindakan pemimpin Pakatan Rakyat berkenaan yang dilihat membelakangi lima prinsip Rukun Negara antaranya Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Beliau berkata Gerakan Belia 4B Melaka juga mendesak Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menerima dengan hati terbuka titah Sultan Perak supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

Naib Ketua Pemuda Umno Jasin, Azman Abdullah berkata walaupun Melaka tidak mempunyai Sultan, tindakan menghina kedaulatan Sultan Perak itu mengguris perasaan orang Melayu dan Pemuda Umno terpanggil untuk memberi amaran keras kepada pemimpin Pakatan Rakyat berkenaan.

Kumpulan berkenaan kemudiannya berarak mengiringi Naib Ketua Pemuda Umno Kota Melaka, Shadan Othman ke balai Polis Daerah Melaka Tengah yang terletak berdekatan, untuk membuat laporan polis terhadap Karpal Singh.

-- BERNAMA

Thursday 5 February 2009

Dr. Zambry Menteri Besar Perak yang baru

05/02/2009 8:04pm

SUBANG 5 Feb. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir diumumkan Menteri Besar Perak yang baru dan akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, 3.30 petang esok.

Barisan Exco kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pula akan mengangkat sumpah di istana yang sama pada 10 Februari ini.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pangkalan TUDM di sini malam ini sekembalinya dari menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh.

– Utusan.

Kenyataan media Pejabat Sultan Perak

05/02/2009 5:22pm

IPOH 5 Feb. — Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol. Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.

KENYATAAN MEDIA PEJABAT D.Y.M.M. PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

“Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.” — BERNAMA

Sunday 1 February 2009

MB Perak minta 2 Adun PKR umum pendirian

01/02/2009 2:34pm

IPOH 1 Feb. — Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini meminta dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang “hilang” sejak Isnin lepas supaya mengisytiharkan segera pendirian jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Beliau berkata kerajaan negeri telah bersedia untuk membuat persiapan dan strategi mengikut peraturan yang ada bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Dua anggota exco dari PKR itu telah ghaib dan mereka tidak dapat dihubungi termasuk oleh keluarga mereka sendiri sejak 26 Januari,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat dengan pemimpin PAS, DAP dan PKR negeri di kediamannya di sini.

Mereka yang dikatakan hilang itu adalah Jamaluddin Mat Radzi (ADUN Behrang) dan Mohd Osman Jailu (ADUN Changkat Jering).

Mohammad Nizar berkata kerajaan negeri mungkin akan membuat laporan polis berhubung kehilangan dua anggota Exco itu selepas berbincang dengan keluarga mereka.

Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, adalah pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada 10 Feb ini.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak masih kukuh walaupun dalam keadaan sekarang kerana semua Adun yang lain masih bersamanya.

Pakatan Rakyat mempunyai 32 Adun termasuk Adun Bota Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR minggu lepas manakala BN dianggotai 27 Adun dan jika dua Adun PKR berkenaan keluar, kerajaan negeri masih mempunyai majoriti satu kerusi.

Ketika mengulas lanjut mengenai perkembangan kehilangan dua Adun PKR itu, Mohammad Nizar yang juga timbalan pesuruhajaya PAS Perak berkata usaha menjatuhkan kerajaan negeri dengan melarikan dua Adun berkenaan adalah satu penghinaan kepada kerajaan negeri yang ada.

Yang turut hadir pada mesyuarat itu adalah Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham, Pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang, Pengerusi PKR Perak Osman Abdul Rahman dan Nasaruddin.

Sementara itu, anak Jamaluddin, Ali, 25, mendakwa bapanya tidak akan menyertai BN tetapi mungkin mengumumkan akan menjadi wakil rakyat bebas.

Ketika bercakap kepada pemberita di pejabatnya, beliau mengesahkan keluarganya tidak dapat menghubungi Jamaluddin sejak Isnin lepas tetapi seorang rakan bapanya menghubungi beliau semalam memaklumkan bapa akan keluar PKR untuk menjadi Adun Bebas.

“Saya tak percaya dia hilang...dia tahu jaga dirinya tetapi emak saya memang tertekan,” tambahnya. — BERNAMA

ADUN Perak dijangka sertai BN

01/02/2009 12:21pm

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pembangkang di negeri Perak akan menyertai Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengesahkan identiti serta bilangan wakil rakyat pembangkang yang dijangka berbuat demikian.

``Insya-Allah betul,’’ katanya ketika menjawab soalan pemberita yang meminta beliau mengesahkan laporan terdapat dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak akan menyertai BN.

- Utusan