Wednesday 15 October 2008

Eye ON Malaysia di Melaka mulai operasi 7 November

MELAKA 14 Okt. - Buaian roda gergasi, Eye On Malaysia yang sebelum ini beroperasi di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur kini berada pula di Melaka akan dibuka kepada orang ramai mulai 7 November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Eye On Malaysia Sdn. Bhd., Adam Yong Abdullah berkata, kerja-kerja pemasangan Eye On Malaysia di muara Sungai Melaka, menghadap bandar bersejarah dan Selat Melaka itu kini telah 90 peratus siap.
''Sepatutnya, ia dijangka beroperasi 18 Oktober ini tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan larangan kenderaan berat memasuki lebuh raya pada musim perayaan lalu.
''Ekoran itu, pemasangan beberapa komponen terpaksa dilewatkan dan Eye On Malaysia dijangka siap sepenuhnya 28 Oktober ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di tapak projek tersebut di sini petang semalam.
Namun, menurut beliau, Eye On Malaysia hanya akan dibuka kepada orang ramai selepas perasmian oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada 7 November ini.
Menurut Adam, Eye On Malaysia akan kekal di Melaka dan turut dikelilingi dengan dua tarikan lain iaitu paparan air cahaya dan bunyi terbesar di dunia berukuran 30 meter tinggi dan 60 meter lebar yang dijangka mula beroperasi hujung Disember ini.
''Selain itu, kita juga akan membina dewan seluas kira-kira 2,044 meter persegi yang akan mempamerkan ruang angkasa yang dijangka akan memulakan operasi kepada orang ramai akhir Februari tahun depan," katanya.
Tambahnya, pertunjukan skrin air cahaya dan bunyi akan dipamerkan secara percuma kepada pengunjung khususnya untuk mempromosikan produk pelancongan di Melaka.
''Setakat ini, kita cuma menetapkan harga tiket untuk Eye On Malaysia iaitu RM10 bagi pemegang MyKad dewasa manakala RM5 bagi kanak-kanak. Harga tiket bagi dewan pameran angkasa masih belum ditentukan," katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga projek kini telah 75 peratus siap dan bakal mewujudkan 150 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat apabila keseluruhan projek siap Februari tahun depan.
Tambahnya, kos projek Eye On Malaysia dikongsi pembiayaannya iaitu 40 peratus oleh kerajaan negeri melalui Kumpulan Melaka Berhad (KMB) dan 60 peratus oleh MST Ad Suria Sdn. Bhd.
''Kita menjangkakan mendapat pulangan modal dalam masa lima tahun dengan sasaran pengunjung antara 700,000 dan 750,000 orang setiap tahun,'' ujarnya.
Katanya, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan ia kemampuannya mendapat kunjungan seramai 1.3 juta orang ketika berada di Tasik Titiwangsa tahun lalu.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm

No comments: