Saturday 10 January 2009

Wakil Gaza bangga masih ada saudara seagama yang pertahan warga Palestin

SHAH ALAM, 10 Jan. — Sejumlah besar di kalangan 1.5 juta warga Palestin di Gaza yang sedang dikepung oleh kereta-kereta kebal dan dibedil jet-jet pejuang serta helikopter tempur rejim Zionis, masih kental dengan semangat juang dan sanggup mati syahid menentang kekejaman Yahudi.

Ini ditegaskan oleh Wakil Gaza, Naji Z.A.Alsarhi yang hadir pada Rapat Umum Selamatkan Gaza anjuran Aman Palestin di Stadium Malawati di sini hari ini.

Dalam ucapannya dalam bahasa Arab dengan dibantu penterjemah ke bahasa Melayu, beliau melahirkan rasa bangga bahawa masih ada saudara seagama yang sanggup bangun mempertahankan nasib warga Palestin di Gaza itu.

Beliau turut mengingatkan golongan warga Palestin yang bersekongkol dengan Israel bahawa kegiatan mereka yang belot kepada bangsa sendiri untuk menghancurkan umat Islam di Palestin telah diketahui dan ada antara mereka telah dikenalpasti.

Naji juga berkata, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tidak amanah dalam memelihara hak rakyat Palestin dan membiarkan Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya bagi menidakkan sebarang resolusi yang dicapai di badan dunia itu bagi mengecam kekejaman Israel ke atas warga Palestin.

Beliau berkata, negara-negara Arab perlu bersatu dan jangan biarkan Gaza mati. - Bernama

No comments: