Thursday 16 April 2009

Lagi desak UMNO, Pas bersatu

KUALA LUMPUR 15 April - Sekarang merupakan masa yang paling mendesak untuk dua parti utama Melayu, UMNO dan Pas bermuafakat serta bersatu bagi mempertahankan kepentingan orang Melayu yang dilihat terancam dengan suasana politik semasa.

Majlis Muafakat Melayu (MMM) dan Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia berpendapat, kedua- dua parti itu kini sudah tidak boleh lagi meletakkan kepentingan politik semata-mata sebagai keutamaan sebaliknya perlu berbalik kepada kepentingan umat Melayu dan Islam.

Setiausaha MMM, Prof. Madya, Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, gabungan kedua-dua parti itu adalah jalan keluar terbaik kepada kemelut politik semasa yang merugikan umat Melayu pada masa ini.

Kata beliau, langkah itu juga sebenarnya impian orang Melayu sejak sekian lama dan apabila tekanan demi tekanan yang berlaku kini, tiba masanya UMNO dan Pas bergabung atau bermuafakat sesama mereka.

"Kita khuatir dengan 'jarum' yang dijalankan parti tertentu. Justeru, jangan sampai Melayu jadi pembangkang. Kita perlukan satu kematangan politik yang lebih mengutamakan muafakat untuk orang Melayu.

"Sewaktu Kongres Muafakat Melayu tahun lalu, kita ingatkan UMNO jangan layan permintaan bukan-bukan, sekarang UMNO berdepan tuntutan dari pelbagai sudut. UMNO kena tegas, kalau ada komponen ancam keluar Barisan Nasional (BN) sekalipun, UMNO jangan layan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini berhubung harapan pelbagai pihak yang mahu melihat Melayu bangkit mempertahankan kedudukan berikutan situasi politik semasa yang banyak merugikan Melayu.

Beberapa NGO turut melahirkan harapan masing-masing supaya UMNO dan Pas bersatu untuk memastikan kekuatan politik Melayu dalam mendepani tuntutan kaum- kaum lain.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, umat Melayu negara ini pasti akan kuat sekiranya kedua-dua parti itu dapat bersatu padu.

Katanya, sebab itu sejak dari 1980-an lagi orang Melayu menyuarakan harapan ini untuk melihat kesepaduan UMNO dan Pas bagi membentuk kerjasama yang erat demi kepentingan orang Melayu sendiri.

"Sejak saya berada di Biro Tata Negara (BTN) dulu, kita dah suarakan harapan ini. Saya harap dengan bermacam-macam perkembangan yang ada ini, UMNO dan Pas jangan fikir kedudukan lagi.

"Mengenai tuntutan bukan Melayu, pada saya, mana yang berpatutan itu masih boleh namun dalam kita melayannya, semangat juang jangan luntur, berpeganglah kita kepada semangat penubuhan UMNO dulu.

"Ini perlu kita nak tanam kepada generasi muda. Golongan tua pula jangan sesekali leka. Jadi pemikiran mesti lebih bernas dalam memperjuangkan hak kita," ujarnya

1 comment:

armani said...

Blog baru berkaitan AJK PKR Putrajaya bernama Jamil Kucing di http://jamilismail.blogspot.com

Hantam produk munafik itu cukup cukup