Tuesday 16 June 2009

PAS Sedia Berbincang Tentang Perpaduan

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa berkata parti itu berpendirian terbuka untuk perbincangan tentang perpaduan dan bukannya kerajaan perpaduan.

Beliau menerangkan kepada pemberita di Parlimen hari ini bahawa PAS melihat ada peluang untuk memberikan cadangan-cadangan baik kepada kerajaan bagi membantu menyelesaikan kemelut politik, ekonomi dan sebagainya.

"Pendirian kita sepertimana tuan-tuan sedia maklum, PAS sentiasa membuka ruang untuk berbincang dengan sesiapa sahaja. Ini adalah keputusan yang dibuat di Muktamar Ipoh pada tahun lepas dan perkara itu disebut sekali oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar beliau dan saya rasa isu PAS masuk Umno, masuk Barisan Nasional (BN) tidak berbangkit sama sekali.

"Ini pendirian yang kita ambil, sedia berbincang dengan sesiapa pun dan itu pun keputusan muktamar, sudah tentulah kalau kita tutup ruang untuk adakan perbincangan ini, sedangkan kita rasa kita ada peranan yang boleh mainkan untuk bantu bangunkan negara ini," kata Nasharuddin, yang juga Anggota Parlimen Bachok.

Beliau berkata PAS menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga presiden BN, begitu terbuka untuk menerima perbincangan kerajaan perpaduan.

"Respon (kali ini) yang saya rasa pertama kali agak serius daripada Perdana Menteri, dan saya sendiri bawa balik ke Presiden parti sendiri. Saya tidak boleh cakap bagi konteks parti.

"Kita tidak boleh buat keputusan secara individu. Muktamar merupakan pihak berkuasa tertinggi," katanya.

Mengenai pendirian Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan bahawa sesiapa yang menyokong kerajaan perpaduan adalah boneka Umno, Nasharuddin menyatakan:

"Saya tidak dapat nak ulas apa yang dimaksudkan oleh Tok Guru Nik Aziz, saya sebutkan tadi, kepada umum kalaulah 'unity talk' ini atau 'unity government ini konon-konon usul untuk bawa PAS masuk BN atau Umno, itu bukanlah niatnya."

Berhubung pendirian berbeza anggota PAS mengenai kerajaan perpaduan, beliau berkata: "Ini merupakan sesuatu yang baru, satu perkara besar dan sesuatu yang perlukan penjelasan dan proses ini sedang berjalan."

Bagi parti-parti lain dalam pakatan parti pembangkang, Nasharuddin berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan pakatan itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran 1 dan juga Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong menyatakan pendirian Pemuda MCA yang mengalu-alukan sebarang usaha BN dan pembangkang untuk bekerjasama menstabilkan ekonomi dan situasi politik.

"Kalau ada perpaduan berlandaskan kebaikan untuk negara ini merupakan satu perkara yang baik. Seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, perkara ini juga akan dibincangkan dengan parti-parti komponen BN.

"Tetapi, sekiranya kerajaan campuran terbentuk, ia juga akan merangkumi campuran ahli-ahli bersekutu pakatan (parti pembangkang) jadi saya rasa kemungkinannya adalah rendah. Kalau pembangkang bergabung dengan pemerintah, siapa jadi pembangkang?" soal Ka Siong.

-- BERNAMA

No comments: