Tuesday 22 May 2012

Menunggu Wisel Pilihanraya...

pil-poster513Sana-sini makin rancak orang bercakap pasal pilihanraya, walau tidak pasti lagi tarikh tepatnya bila.Ada yang ramal dalam bulan Jun,ada yang agak-agak awal bulan September dan ada yang duga cuti sekolah bulan November.
Demam pilihanraya makin terasa bila parti-parti politik di Malaysia, makin banyak buat program dan mula bercakap soal 'serah nama calon'.
Ikut tradisi BN, nama-nama calon akan diserahkan kepada Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO biasanya tiga, empat bulan sebelum pilihanraya umum.
Nama-nama calon yang diserahkan oleh parti-parti komponen itu akan diperhalusi supaya jika ada pertindihan, atau masalah berbangkit, ada masa untuk buat keputusan.
Tambah jika kita ambil kita pilihanraya ke 13 ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak "ibu segala pilihanraya" maknanya soal calon tidak boleh buat main-main.
Tambah-tambah bila Najib secara terbuka gariskan antara syarat penting untuk dipilih jadi calon adalah 'winnabe candidate'.
Maknanya senarai calon kena 'tapis' berkali-kali, sebab biasanya semua calon rasa dia boleh menang.
Antara yang awal serah nama calon pada PM adalah Gerakan, parti komponen BN yang kalah paling teruk dalam pilihanraya umum lalu.
Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dilaporkan berkata separuh daripada senarai nama calon Gerakan terdiri daripada muka baru sebagai usaha mencerminkan pembaharuan yang dilakukan oleh parti itu.
"Kami telah serahkan senarai kami, orang yang kami nilai (dan calonkan) ialah yang yang paling boleh menang. Tetapi ini masih belum muktamad kerana kami melaksanakan proses penilaian berterusan," katanya.
Gerakan serah nama calonnya pada awal Mei dan Koh Tsu Koon tidak nyatakan berapa kerusi yang dipohonnya atau berapa nama calon yang telah diserahkan.
Sementara itu, satu lagi parti komponen BN,  MIC juga dilaporkan sudah menyerahkan senarai calonnya kepada PM.
Menariknya adalah MIC meletakkan dua nama bagi setiap kerusi yang mahu ditandingi, mungkin bagi memudahkan PM buat pilihan.
"Kita telah menghantar dua nama calon bagi setiap sembilan kerusi parlimen dan 19 kerusi dewan undangan negeri," katanya  pada Ahad.
Menurut Palanivel perbincangan untuk menyenarai pendek nama-nama tersebut akan dilakukan selepas Perdana Menteri yang kini berada di Amerika Syarikat, kembali ke tanah air.
"Senarai calon yang dihantar adalah kombinasi muka baru dan lama termasuk calon wanita, mempunyai pengalaman dan sekurang-kurangnya memiliki ijazah sarjana muda," katanya.
Palanivel berkata, MIC juga bersedia berbincang mengenai cadangan pertukaran kerusi dengan parti komponen BN yang lain berdasarkan situasi menang-menang.
Manakala bagi parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) telah menyerahkan senarai calon untuk bertanding di enam kawasan Parlimen dan 12 kawasan DUN dalam PRU akan datang.
Presidennya Datuk M. Kayveas berkata antara kawasan yang mereka cadang untuk bertanding termasuk satu kerusi DUN di Kedah.
Ia turut berhasrat untuk kekal bertanding di kerusi kawasan Parlimen Taiping.
"Saya pun tidak akan menolak jika turut dicalonkan semula di mana-mana kerusi Parlimen yang direstui oleh pucuk pimpinan, kerana saya sentiasa akan terus menyumbangkan khidmat saya kepada BN," katanya pada Ahad.
Sementara itu, di pihak pembangkang pula, kalau ikut cerita Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pakatan pembangkang bakal mengumumkan pengagihan kerusi dan calon yang bakal bertanding awal bulan depan.
“(Pengumuman akan dibuat) minggu pertama Jun, saya kira kita boleh membuat satu ketetapan tentang pengagihan kerusi dalam PR, saya cukup optimistik. Pengumuman calon kita tengok suasana sesuai. Parti akan menonjolkan muka baru dalam kalangan anak muda, profesional dan wanita muda untuk mewakili parti.
“Ini dalam proses akhir, yang penting kita mahu anak muda hari ini diberikan tempat dan ruang untuk mewakili rakyat dalam menggubal dasar sama ada di peringkat Parlimen atau negeri. Ini satu penghormatan dan pengiktirafan kita kepada anak muda untuk menentukan negara dan negeri,” katanya di Seremban pada Ahad.
Azmin berkata, Selangor adalah negeri pertama dimuktamadkan pembahagian kerusi bersama anggota PR.
“Satu mesyuarat PR khusus mengenai pembahagian kerusi beberapa hari lalu diadakan, jumlah yang bertindih terlalu kecil. Boleh dikatakan setiap negeri ada satu atau dua kerusi sahaja yang perlu diselesaikan. Ini satu pencapaian cukup positif.
“Saya gembira kerana dukungan pimpinan PR, kita dapat selesaikan dengan cara muafakat,” katanya dipetik dari Sinar Harian.
Selain pembangkang, turut merancangkan pilihanraya umum kali ini adalah Barisan Bertindak Hindu (Hindraf) yang umum akan bertanding di tiga kerusi Parlimen dan empat kerusi negeri di Selangor pada pilihan raya umum akan datang.
Pemimpin Hindraf P.Uthayakumar berkata calon-calonnya akan bertanding atas tiket bebas dan beliau sendiri akan bertanding untuk kerusi Parlimen Kota Raja dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas.
Selain dua kawasan itu, Hindraf merancang untuk meletakkan calon di kerusi Parlimen Kuala Selangor dan Kelana Jaya dan kerusi DUN Ijok, Bukit Melawati dan Seri Setia, katanya di Klang Selangor.
Uthayakumar berkata Hindraf memilih bertanding di Kota Raja dan Seri Andalas kerana kedua-dua kawasan itu dapat tumpuan lebih masyarakat India.
Beliau berkata Hindraf tiada pilihan tetapi terpaksa bertanding sebagai calon bebas kerana sehingga sekarang tiada berita tentang pengagihan kerusi daripada Pakatan Rakyat untuk Hindraf.
Sumber - AGENDADAILY

No comments: