Tuesday, 20 January 2009

BN Tak Boleh Terus Dalam Zon Selesa

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Para pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak boleh berterusan duduk dalam zon selesa, sebaliknya perlu mengubah paradigma dan mengubah cara serta pendekatan berpolitik supaya ia sentiasa berorientasikan rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Timbalan Perdana Menteri mahukan semua pemimpin kerajaan BN bangkit dan bingkas kembali menyusun strategi melakukan perubahan baik kepada diri mahukan kepada parti demi kesejahteraan bangsa dan tanah air.

Kerajaan BN perlu memastikan program-program kerajaan adalah berteraskan keperluan rakyat supaya ia sentiasa dekat di hati dan sanubari rakyat.

"Jika kita gagal menangani cabaran ini dengan cemerlang, kita akan menerima hukumannya di dalam pilihan raya umum ke-13 kelak," katanya ketika melancarkan buku "Politik Baru" karya Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Saifuddin Abdullah, di sini.

Beliau berkata kerajaan BN tidak boleh sekali-kali membiarkan gejala tiada berkesinambungan wujud di antara aspirasi rakyat dan hala tuju kerajaan.

Najib berkata kerajaan BN sentiasa peka kepada gelombang perubahan dan pembaharuan.

"Ini kerana kita insaf di dalam sistem demokrasi, rakyat adalah penentu mutlak kepada parti mana yang akan membentuk kerajaan," katanya.

Beliau berkata demi melaksanakan agenda perubahan dan pembaharuan, mahu tidak mahu, tidak dapat tidak, kerajaan BN memerlukan pemimpin berkebolehan dan berpengetahuan dalam bidang yang dipertanggungjawabkan.

Pemimpin itu, katanya mestilah membawa pemikiran glokal dengan ideanya merentasi sempadan negara tetapi jiwanya dan akarnya adalah berteraskan bumi bertuah ini.

"Rakyat Malaysia sudah cukup matang dalam menilai pemimpin mereka. Mereka tidak mahu lagi didendangkan dengan lagu-lagu sumbang tentang retorik perubahan tetapi hampa isi di dalamnya. Mereka mahukan "result". Mereka mahu melihat perubahan itu berlaku!" katanya.

Najib berkata gelombang perubahan hari ini menuntut negara memiliki bukan sekadar politikus biasa yang manis senyumnya dan muluk tuturnya, sebaliknya pemikir politik yang kaya ideanya dan hikmah tingkahnya.

Perubahan dan pembaharuan sudah menjadi satu tema dominan dalam arus politik dunia, katanya.

Malah, ucapan Barack Obama semasa kempen Presiden Amerika Syarikat sentiasa membujuk kepada harapan dan sifat idealis manusia, bukannya ketakutan dan sifat kebencian mereka, katanya.

"Sesungguhnya formula ini telah berjaya mencetuskan gelombang perubahan dan pembaharuan yang amat signifikan dalam susur galur sejarah politik Amerika Syarikat," katanya.

Akses kepada lebuh raya maklumat dan televisyen satelit berbayar telah mendedahkan rakyat Malaysia kepada fenomena ledakan maklumat dan ia memberi dimensi baru kepada evolusi penghakupayaan rakyat Malaysia sebagai pengundi.

Najib mengucapkan tahniah kepada Saifuddin kerana beliau dapat menghasilkan buku walaupun dalam kesibukannya sebagai anggota pentadbiran.

Buku setebal 178 muka surat dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris itu menyentuh mengenai integriti politik dan kerangka pemerintahan baru.

Ia mengajak masyarakat serta penggiat politik untuk mengambil iktibar daripada segala peristiwa dan pengalaman yang diperoleh daripada pilihan raya umum ke-12.

Saifuddin berkata idea menulis buku itu tercetus daripada kesedaran mendalam untuk meneruskan penghayatan budaya ilmu dan berharap ia dapat memperkayakan pemikiran politik.

-- BERNAMA

No comments: