Wednesday, 14 January 2009

Kerajaan BN Adil Buat Semua, Kata Najib

KUALA TERENGGANU, 13 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sentiasa bersikap adil kepada semua kaum dalam negara, termasuk di bidang pendidikan.

Katanya kerajaan memberi biasiswa kepada semua pelajar yang memperolehi 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan.

"Anak Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, kalau dapat 9A pada peringkat SPM, diberi biasiswa untuk masuk universiti tempatan. Automatik, tak kira warna kulit, semua dapat biasiswa, inilah kerajaan BN," katanya ketika berucap di majlis Malam Citra Seni 2009 di Kampung Tiong di sini, Selasa.

Beliau berkata semasa menjadi Menteri Pelajaran pada 1993, beliau mengambil keputusan untuk meminda Akta Pendidikan pada tahun 1996 dengan memansuhkan kuasa menteri untuk menutup sekolah Cina.

Katanya selaras dengan keputusan itu, kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dalam negara memang tidak boleh dipersoalkan lagi.

Dalam pada itu, Najib meminta masyarakat berbilang kaum dalam negara supaya tidak melihat kepada perbezaan yang ada di kalangan mereka, sebaliknya menilai persamaan yang wujud.

Menurutnya pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan dan sebagainya bekerjasama untuk mencapai kemerdekaan tanpa berlaku pertumpahan darah.

Katanya rakyat Malaysia tidak harus melupakan dari mana asal mereka dengan melupakan jasa pemimpin terdahulu membina Malaysia.

-- BERNAMA

No comments: