Sunday 7 December 2008

Pakatan Rapuh, BN Yakin Menang

PEKAN 7 Dis. - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tidak sefahaman yang berlaku antara parti-parti pembangkang dalam pakatan pembangkang akan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusinya dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pakatan pembangkang kini semakin rapuh dan sering gagal mencapai persefahaman dalam beberapa isu.

``Sebenarnya, pakatan pembangkang telah retak dan hubungan mereka semakin renggang. Berlaku tidak sefahaman dalam pakatan ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 179 ekor lembu korban dan cermin mata kepada penduduk di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kini kosong berikutan kematian mengejut penyandangnya iaitu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu.

Berikutan kekosongan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh pilihan raya kecil kawasan itu, manakala 6 Januari sebagai hari penamaan calon.

Najib seterusnya berkata, kerapuhan yang wujud dalam pakatan pembangkang jarang dipaparkan dalam media berbanding apa yang berlaku dalam BN.

``Jangan hanya melihat kepada BN sahaja yang mengalami tidak sefahaman, pakatan pembangkang juga mengalami keadaan yang sama,'' jelasnya.

Meskipun wujud tidak sefahaman dalam BN, katanya, ia adalah perkara kecil dan tidak akan menyebabkan peluang UMNO untuk mengekalkan kerusi pada pilihan raya kecil itu terjejas.

Menurut beliau, penduduk kawasan itu masih memerlukan parti yang mampu melaksanakan tanggungjawabnya demi masa depan mereka.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin empat peringkat UMNO Bahagian Kuala Terengganu, kelmarin.

Dalam pertemuan itu, katanya, beliau telah mengarahkan UMNO negeri itu supaya bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil pada bulan depan.

Mengulas calon yang bakal diletakkan BN pada pilihan raya kecil itu, Najib menjelaskan, perkara itu akan diumumkan apabila tiba masanya.

Ditanya mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyerahkan kepada rakyat untuk mengembalikan kekebalan raja, beliau enggan mengulas perkara tersebut. - Utusan

No comments: