Tuesday 24 February 2009

Ibrahim Ali Pertimbang Tawaran Masuk Umno

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata beliau akan mempertimbang pelawaan untuk menyertai Umno semula setelah mengambil kira pandangan dari pengundi di kawasannya.

Ibrahim yang merupakan anggota Parlimen Bebas berkata tawaran itu akan dipertimbangkan dan diperincikan dengan mengambil kira pelbagai faktor kerana beliau tidak mahu "pisang berbuah dua kali".

"Saya amat menghargai pelawaan daripada Umno namun pada masa ini, saya sedang memikirkan banyak perkara termasuk mendapatkan maklum balas daripada penyokong-penyokong. Saya mempunyai jentera sendiri. Apa sahaja keputusan yang dibuat oleh mereka saya akan ikut.

"Kalau nak terima saya, terimalah kelantangan saya selagi saya tidak melanggar disiplin tetapi kalau saya ada kes rasuah atau menjejaskan parti, silalah buang saya secepat mungkin tetapi jangan buang saya hanya kerana kelantangan saya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Alwi Che Ahmad berkata Umno Kelantan sedia menerima Ibrahim sekiranya beliau mahu kembali kepada parti itu.

Ibrahim sebelum ini pernah dibuang oleh Umno kerana bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya umum 2004 walaupun ketika itu menyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas.

Beliau juga pernah keluar dari Umno pada 1988 dengan mengisytihar diri sebagai anggota Parlimen Bebas bagaimanapun memohon semula menyertai parti itu pada 1991.

Ibrahim berkata beliau boleh kembali kepada parti itu dengan syarat Umno bersedia menerima beliau seadanya serta kelantangannya dalam menyuarakan pandangan.

"Kalau ini boleh diterima, saya akan fikir masak-masak. Saya dulu pernah digugur sebagai ketua penaja tanpa sebab yang saya sendiri tidak tahu. Mereka kena ingat yang saya ini memang seorang yang semula jadi lantang sejak menjadi pemimpin pelajar lagi dan hal ini nampaknya menjadi masalah kepada banyak pihak," katanya.

Beliau berkata kelantangannya menyuarakan pandangan telah menjadi masalah kepada pelbagai pihak dan yang terbaru ialah PAS Kelantan yang memintanya meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen.

"Mereka (PAS) mahu bekerjasama dengan saya dan menggunakan saya kerana mereka takut kalah dalam pilihan raya 2008 dan mereka juga kalah dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir. Pada masa itu, mereka terima saya walaupun mereka tahu saya lantang.

"Tapi sekarang apabila saya lantang, mereka marah pula. Saya tidak mahu perkara itu berulang lagi jika saya masuk ke dalam Umno. Kasihanlah dekat saya," katanya.

-- BERNAMA

No comments: