Sunday 8 February 2009

Perhimpunan Aman Di Melaka Bantah Pakatan Rakyat

MELAKA, 8 Feb (Bernama) -- Kira-kira 500 anggota Gerakan Belia 4B Melaka dan Pergerakan Pemuda Umno Melaka mengadakan perhimpunan aman membantah tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat menghina kedaulatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Pada perhimpunan aman itu yang berlangsung selama sejam bermula pukul 12 tengah hari di hadapan Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini, mereka turut mengecam Pengerusi DAP Karpal Singh berikutan kenyataannya mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak.

Mereka turut memegang kain rentang dan sepanduk antaranya bertulis perkataan "Lucutkan Kerakyatan Penderhaka", "ISA Terhadap Penderhaka", "Jangan Derhaka Dengan Sultan" dan "Pertahankan Raja Melayu".

Pengerusi Gerakan Belia 4B Melaka, Mohd Nizam Omar berkata Gerakan Belia 4B Melaka yang mempunyai keanggotaan seramai 14,000 orang, membantah tindakan pemimpin Pakatan Rakyat berkenaan yang dilihat membelakangi lima prinsip Rukun Negara antaranya Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Beliau berkata Gerakan Belia 4B Melaka juga mendesak Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menerima dengan hati terbuka titah Sultan Perak supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

Naib Ketua Pemuda Umno Jasin, Azman Abdullah berkata walaupun Melaka tidak mempunyai Sultan, tindakan menghina kedaulatan Sultan Perak itu mengguris perasaan orang Melayu dan Pemuda Umno terpanggil untuk memberi amaran keras kepada pemimpin Pakatan Rakyat berkenaan.

Kumpulan berkenaan kemudiannya berarak mengiringi Naib Ketua Pemuda Umno Kota Melaka, Shadan Othman ke balai Polis Daerah Melaka Tengah yang terletak berdekatan, untuk membuat laporan polis terhadap Karpal Singh.

-- BERNAMA

No comments: