Tuesday, 11 November 2008

Bertanding Atas Semangat Kekeluargaan

AYER KEROH, 10 Nov- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam meminta seluruh ahli UMNO di semua peringkat supaya mengutamakan kepentingan parti serta memantapkan lagi semangat kekeluargaan menjelang Perhimpunan Agung UMNO, Mac tahun depan.Mohd Ali yang juga Ketua Menteri yakin pertandingan jawatan-jawatan tertinggi parti Mac depan akan berlangsung atas semangat kekeluargaan dan tidak akan mewujudkan kem-kem tertentu dalam parti."Saya yakin pertandingan pada Mac depan diadakan atas semangat kekeluargaan dan tidak akan wujud kem-kem tertentu. Ini kerana keutamaan ahli adalah kepada parti dan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti adalah proses demokrasi dalam mana-mana parti," kata Mohd Ali dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini."Ahli-ahli UMNO sudah matang dan mereka boleh membuat penilaian terhadap mana-mana calon yang menawarkan diri untuk bertanding," tambah beliau.Mohd Ali seterusnya berharap pertandingan perlu dilakukan secara sihat dan jangan ada unsur-unsur fitnah-memfitnah, memburuk-burukkan lawan atau sabotaj di kalangan calon-calon tertentu kerana ia akan memberi kesan negatif atau implikasi buruk kepada UMNO sendiri."Kepada semua calon yang melepasi kuota pertandingan, saya ucapkan tahniah dan mesti menjaga imej dan mengutamakan parti dalam usaha meraih sokongan untuk memenangi jawatan yang ditandingi kelak."Kita mesti ada integriti, ikhlas, bekerja bersungguh-sungguh dan sanggup berjuang untuk memartabatkan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan untuk memastikan rakyat sentiasa dibela dan memihak kepada kita dalam setiap kali pilihan raya sama ada pilihan raya kecil atau umum," ujar Mohd Ali lagi.Katanya, jika kita ikhlas dan melaksanakan segala kehendak rakyat, sudah pasti mereka (rakyat) akan terus bersama UMNO dan Kerajaan BN.Mengenai insiden pergaduhan yang tercetus pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban semalam, beliau berkata, ia terserah kepada Lembaga Disiplin untuk mengambil tindakan sewajarnya."Perkara itu tidak sepatutnya berlaku jika semua pihak dapat mengawal emosi atau berbincang melalui meja rundingan sebelum sesuatu tindakan dilakukan. Kita mesti utamakan parti dalam setiap tindak-tanduk yang dilakukan," ujarnya.
http://www.melakahariini.com.my/mdA11nov08.html

No comments: