PUTRAJAYA: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tidak salah sekiranya ramai calon bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan asalkan apa jua keputusan nanti tidak menjejaskan hubungan sesama ahli. “Biarlah 100 orang pun bertanding, tidak salah asalkan mereka layak dan itu yang ditentukan perwakilan dan kita tidak boleh sekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kualiti Kementerian Pelajaran di sini, hari ini. Hishammuddin, yang juga Menteri Pelajaran, diminta mengulas mengenai kemungkinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendapat pencalonan yang cukup untuk layak bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudahpun layak.
Untuk layak bertanding jawatan itu, seseorang itu perlu mendapat sekurang-kurangnya 39 pencalonan daripada bahagian Umno. Sehingga semalam, Mohd Ali memperoleh 32 pencalonan dan Muhammad 30 manakala Muhyiddin mendapat 79 pencalonan. Sebanyak 49 lagi bahagian belum bermesyuarat.
Mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim bahawa konsep ketuanan Melayu membawa keburukan kepada orang Melayu, Hishammudin berkata pendapat itu adalah tidak bertanggungjawab. “Saya langsung tidak bersetuju. Sepatutnya dalam apa jua perjuangan kita mesti ada prinsip dan konsisten,” katanya. - Bernama
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Mutakhir/20081104162739/Article/index_html
No comments:
Post a Comment