KUALA SUNGAI BARU, 17 Nov - Satu laporan polis telah dibuat oleh 20 orang penduduk Kampung Ujong Padang di Balai Polis Kuala Sungai Baru, di sini berhubung penemuan kepala babi di pagar rumah seorang pesara guru, Jumaat lalu. Mereka telah berarak secara aman membawa sepanduk 'Jangan Mencabar Orang Melayu' menuju ke Balai Polis berkenaan kira-kira pukul 10 pagi semalam.Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Ismail Jantan mahu parti komponen Barisan Nasional (BN), seperti MCA dan GERAKAN bertanggungjawab terhadap insiden tersebut. "MCA dan GERAKAN tidak seharusnya berdiam diri. Mereka sepatutnya bertanggungjawab terhadap perkara ini bagi menunjukkan semangat setiakawan dalam BN. "Perkara ini mencermar maruah Orang Melayu, apatah lagi ia berlaku (merujuk kes) di dalam kampung yang rata-rata dihuni oleh orang Melayu. "Ini bukan pertama kali, penternakan babi mencetuskan kontroversi. Kalau beginilah keadaannya, lebih baik tutup terus," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan balai polis berkenaan. Seorang penduduk kampung, Rozamri Kambol berkata, beliau terpanggil untuk membuat laporan polis setelah merasakan ia satu tanggungjawab bagi membantu sahabatnya yang teraniaya. "Saya orang Melayu yang mewakili sahabat-sahabat saya membuat laporan ini demi maruah bangsa Melayu dan agama Islam. "Kami berasa malu apabila ramai saudara mara, dan rakan serta orang Melayu lain bertanyakan isu ini. Bayangkan anak cucu kami pun tak mahu jejakkan kaki ke kampung disebabkan bau busuk dari kandang babi," katanya. Ketika ditanya pihak mana yang seharusnya berbincang dengan penternak-penternak babi, Rozamri menyerahkan perkara tersebut kepada Kerajaan Negeri dan berharap tiada pihak lain masuk campur. "Kalau hendak berbincang, biarlah satu pihak sahaja mewakili kita. Kalau semua hendak berbincang, nanti akan jadi panjang pula," katanya lagi. Jumaat lalu, Setiausaha Jawatankuasa Pemantau Babi, Md Rawi Mahmud, 55, menemui kepala babi yang tergantung di pagar rumahnya ketika hendak keluar ke masjid menunaikan sembahyang Subuh kira-kira jam 5.30 pagi.
http://www.melakahariini.com.my/isA18nov08.html
Anak Jati Bukit Duyong-Kesabaran dan sikap toleransi ada tahapnya jangan sampai isu-isu halal haram dipermainkan.
No comments:
Post a Comment