Tuesday 11 November 2008

Muhyiddin mahu unsur memfitnah calon dielakkan

11/11/2008 3:31pm
KUALA LUMPUR 11 Nov. — Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden tidak dicemari dengan sebarang unsur fitnah dan memburuk-burukkan calon berikutan tempoh kempen yang panjang.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, sebarang amalan yang tidak sihat dikhuatiri akan menyebabkan perpecahan dalam parti.
“Ini bukan satu pertandingan tetapi merupakan satu proses penawaran diri.
Saya berharap ia berlangsung dalam suasana kekeluargaan. Apa yang penting ialah nak pastikan tidak berlaku perpecahan dalam parti.
“Diharap tidak ada amalan tidak sihat seperti fitnah dan memburuk-burukkan rakan yang bertanding kerana tempohnya (kempen) yang agak lama. Saya mahu ia berjalan dalam suasana yang sihat,” katanya kepada pemberita selepas pra pelancaran Ekspo Kesenian Antarabangsa Malaysia ke-2 (AEM) 2008 di sini hari ini.
Ditanya mengenai jawatan Timbalan Presiden yang selama 21 tahun tidak menyaksikan pertandingan, Muhyiddin berkata ia adalah kehendak daripada perwakilan.
“Mungkin mereka mahu melihat bagaimana pimpinan yang sedia ada menawarkan diri. Terserah kepada ahli-ahli parti untuk memikirkan siapa calon yang betul-betul layak untuk semua jawatan terbaik,” katanya.
Beliau juga menganggap kelayakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib untuk bertanding jawatan yang sama sebagai satu perkara yang positif. - Bernama

No comments: