Friday 14 November 2008

Najib Mahu Anggota Umno Contohi Semangat Perjuangan Veteran

IPOH, 14 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mahu para anggota Umno kembali kepada nilai-nilai asas iaitu mengutamakan perjuangan parti jika mahukan Umno kembali kuat dan menebus kekalahan pada pilihan raya umum lepas."Kita perlu kembali kepada asas dan nilai perjuangan... parti lebih penting daripada kepentingan diri," katanya semasa mrasmikan Perhimpunan Agung kedua Veteran Umno Malaysia di sini Khamis malam.Timbalan Presiden Umno itu berkata bagi Umno mengembalikan kekuatan dan untuk membela kekalahannya, Umno perlu kembali kepada imejnya yang dihormati oleh semua pihak."Tidak guna jika menang ketua bahagian atau apa-apa jawatan jika DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen kita kalah... berjuanglah dengan jujur dan ikhlas," kata Timbalan Perdana Menteri.Beliau berkata nilai dan semangat perjuangan yang dimiliki oleh anggota veteran Umno menjadi contoh terbaik kepada generasi sekarang."Umno dulu mempunyai nilai perjuangan berkorban apa sahaja kepada parti, kepentingan diri diketepikan. Dulu tidak ada istilah salam kosong atau salam berisi, yang ada hanya salam perjuangan," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh lebih 200 perwakilan yang hadir.Najib berkata ahli Umno dulu berkorban tenaga dan harta untuk perjuangan dan nilai seperti itu perlu diikuti dan diamalkan oleh generasi sekarang yang merupakan generasi pewaris atau penyambung perjuangan.Najib berkata semangat yang ditunjukkan oleh veteran Umno perlu dicontohi dan peranan mereka tidak seharusnya diketepikan dan jangan sekali-kali dianggap sebagai tidak berguna ibarat "manisan yang sudah habis".Katanya anggota veteran merupakan satu kumpulan yang membawa kekuatan kepada Umno kerana mempunyai semangat perjuangan membara."Tidak bermakna umur 30-an dan tenaga kuat tetapi perjuangan yang mengalir di dalam darah tidak tulen dan sejati, " ujarnya.Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi Veteran Umno Malaysia Tan Sri Tajudin Ali dan dua naib presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.-- BERNAMA

No comments: