Sunday 2 November 2008

NGO Melayu tuntut Zaid minta maaf

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim meminta maaf berhubung kenyataannya bahawa ketuanan Melayu sebagai satu konsep yang gagal.
Presiden Penaja Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Zaid seharusnya merasa malu dengan kenyataannya itu apatah lagi menyifatkan ketuanan Melayu hanya membawa keburukan kepada kemajuan bangsa Melayu di negara ini.
''Selama ini dia menggunakan nama Melayu untuk berada pada kedudukannya sebagai seorang peguam terkenal tetapi sekarang dia mahu bangsanya hancur pula.
''Dia seolah-olah tidak malu dengan kenyataan yang sepatutnya tidak dikeluarkan malah seharusnya berada di barisan hadapan untuk mempertahankan bangsa Melayu. Dia mesti minta maaf kepada bangsanya,'' kata beliau kepada Mingguan Malaysia hari ini.
Zaid ketika berucap pada Persidangan LawAsia 2008 semalam turut menyifatkan konsep ketuanan Melayu menyebabkan berlaku pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar di negara ini.
Beliau merujuk kepada pelantikan Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar perbadanan itu baru-baru ini.
Mohd. Khairul Azam yang juga seorang peguam berkata, Zaid perlu menarik balik kenyataannya itu dan kembali berpijak di bumi nyata.
''Beliau perlu sedar bahawa kesenangan yang dinikmatinya hari ini adalah hasil kelebihan sistem ketuanan Melayu yang selama ini banyak membantu orang kita,'' ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, isu itu sepatutnya tidak timbul dan sudah tersasar jauh daripada maksud ketuanan Melayu yang sebenar.
''Orang Melayu berhak untuk menyuruh Zaid diam kerana hak yang ada seharusnya tidak dipertikaikan mana-mana pihak sekalipun.
''Orang Melayu sebagai komuniti terawal dan teramai di negara seharusnya diberi perhatian serta tidak boleh dinafikan hak mereka,'' katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm

No comments: