Sunday 2 November 2008

Zaid perlu keluar dari rumpun Melayu - Shahidan

02/11/2008 7:14pm
KANGAR 2 Nov. — Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyifatkan kenyataan Senator Datuk Zaid Ibrahim mengenai ketuanan Melayu sebagai keterlaluan.
“Zaid perlu bertaubat, jika tidak, Zaid perlu keluar dari rumpun bangsa Melayu,” kata Shahidan yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO.
Shahidan berkata, jika bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terus mempertikai konsep ketuanan Melayu, beliau tidak seharusnya menjadi Melayu lagi kerana sebagai bangsa Melayu Zaid seharusnya membela Melayu bukan memburukkannya.
“Beliau sepatutnya memiliki semangat Melayu dan tidak seharusnya mempertikai ketuanan Melayu secara terbuka,” kata Shahidan yang ditemui pada majlis penutup Kejohanan Lumba Basikal Terbuka Perlis 2008 dan Kejohanan Lumba Basikal Wanita Piala Presiden di sini hari ini.
Shahidan yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO mahu Zaid memohon maaf kerana selama ini beliau dikenali dengan nama Melayu.
Baru-baru ini Zaid mendakwa konsep ketuanan Melayu adalah satu kegagalan yang membawa keburukan kepada kaum itu malah beliau menyifatkan konsep itu juga menyebabkan berlaku pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar negara. - Bernama
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_28.htm

No comments: