Sunday 30 November 2008

PPP keluar BN jika tiada pindaan ISA - Kayveas

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Parti Progresif Rakyat (PPP) mengancam akan keluar dari Barisan Nasional sekiranya kerajaan tidak membuat sebarang pindaan ke atas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13), kata Presidennya, Datuk M. Kayveas. - Utusan

Anak Jati Bukit Duyong - Ugut-mengugut semacam menjadi trend dalam kompenen BN sekarang.

Saturday 29 November 2008

???!!!###

Chua: Kita tidak terima Ketuanan Melayu
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini berkata konsep perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) mesti diubah. Katanya slogan 'Ketuanan Melayu', hubungan Tuan dan Hamba, tidak boleh diterima lagi.

Ketuanan Melayu tidak lagi relevan - Mei Fun
KUALA LUMPUR 28 Nov. - Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun turut menyifatkan konsep ketuanan Melayu tidak lagi relevan hari ini atas alasan semua rakyat menyumbang kepada pembangunanegara.
Sambil menyokong kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengenai perkara itu semalam, beliau berkata, di tanah air ini semua rakyat adalah tuan tanah Malaysia

Kenyataan Soi Lek biadap
KUALA LUMPUR 28 Nov. - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pewaris menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menolak konsep ketuanan Melayu sebagai kurang ajar dan biadab.Timbalan Presidennya, Rahimuddin Md. Harun berkata, kenyataan itu boleh menimbulkan provokasi di kalangan bangsa Melayu dan bangsa lain di negara ini.

Anak Jati Bukit Duyong - ???!!!### renung dan fikirkanlah sendiri.

Tukar Sistem Untuk Atasi Politik Wang - Muhyiddin

PETALING JAYA, 29 Nov (Bernama) -- Dalam usaha membanteras politik wang dalam Umno, naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencadangkan pemilihan pemimpin parti dibuka kepada kira-kira 100,000 pemimpin cawangan yang menghadiri persidangan bahagian masing-masing, dan bukannya terhad kepada 2,500 perwakilan pada perhimpunan agung parti itu."Saya mempunyai beberapa cadangan untuk mengatasi salah laku yang memberi pandangan negatif terhadap Umno. Satu daripadanya ialah membenarkan perwakilan mesyuarat bahagian untuk memilih pemimpin. Pada masa ini nasib pemimpin parti terletak dalam tangan 2,500 perwakilan yang dipilih ke perhimpunan agung."Walaupun ini memerlukan pindaaan perlembagaan Umno, saya rasa ia satu cara kita boleh menangani politik wang dalam parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel pengurusan dan pentadbiran Pemuda Umno Pagoh di sini.Beliau berkata sebagai contoh, bahagian Pagoh, yang diketuainya, mempunyai 444 pemimpin peringkat akar umbi yang mengundi untuk memilih pemimpin peringkat nasional, berbanding lima menggunakan sistem yang ada sekarang."Dengan cara ini lebih ramai pemimpin Umno di peringkat akar umbi akan terlibat dalam pemilihan pemimpin peringkat nasional. Semua bahagian boleh mengadakan mesyuarat pada hari yang sama untuk memilih pemimpin parti dan pengiraan undi boleh dibuat di peringkat bahagian dan dikumpul di ibu pejabat. Pengumuman pemenang boleh dibuat hari berikutnya."Idea ini boleh diperkemas. Ini hanya satu idea yang saya lontarkan. Ia adalah untuk kebaikan parti keseluruhannya. Kita perlu memperbaiki pandangan masyarakat terhadap Umno dan dengan ini, kita boleh bergerak ke hadapan," kata Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.Beliau berkata walaupun idea itu tidak boleh dilaksana pada perhimpunan Agung Umno Mac depan, ia boleh diguna untuk jangka panjang sebagai usaha bagi mengatasi politik wang dalam parti.Calon jawatan timbalan presiden Umno itu berkata kertas kerja cadangan bagi menambahbaik sistem pemilihan parti itu akan dibuat untuk diserah kepada kepimpinan tertinggi Umno tidak lama lagi."Saya juga akan mencadangkan kita hapuskan sistem kuota. Sistem itu memerlukan melobi dan secara langsung menyumbang kepada politik wang," katanya dan menjelaskan bahawa parti politik terbesar itu mungkin perlu menubuhkan jawatankuasa pemilihan pada masa depan jika cadangan itu dilaksana.Sementara itu, Muhyiddin berkata Lembaga Disiplin Umno yang menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam politik wang perlu menambah jumlah pegawai penyiasat bagi memastikan tidakan yang lebih cepat dan berkesan."Saya setuju tindakan perlu dibuat dengan cepat tetapi jumlah pegawai dalam panel penyiasat perlu ditambah. Tanpa tenaga kerja, bagaimana mereka nak siasat lebih 1,000 aduan dalam masa yang singkat."Tambahan pula, sisatan memerlukan masa dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Mereka perlu melengkapkan siasatan dengan teliti. Bagi memastikan siasatan yang adil dan lengkap, mereka memerlukan masa, tetapi jika kita tambah jumlah pegawai penyiasat, mereka boleh mengambil masa dan memberi tumpuan yang lebih," katanya.Ditanya mengenai kenyataan setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa daripada lebih 1,000 aduan mengenai politik wang di dalam parti, 75 peratus adalah dakwaan palsu, beliau berkata perkara itu perlu dijelaskan oleh Lembaga Disiplin Umno."Saya tidak tahu mengenai perkara itu tetapi ia terpulang kepada lembaga untuk memutuskan. Mereka perlu menyiasat dan kemudian membuat keputusan," katanya.-- BERNAMA

Thursday 27 November 2008

Perubahan bagi kekal relevan

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Perubahan yang dicadangkan untuk UMNO selepas pemilihan parti Mac depan mampu meningkatkan kuasa parti itu dan memastikannya terus relevan di kalangan orang Melayu.
Dekan Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Durrishah Idrus berkata, tanpa perubahan yang tertentu orang Melayu tidak akan memandang UMNO masih relevan untuk mereka.
"Selain itu, UMNO perlu memastikan yang parti berkenaan memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat Melayu di negara ini dan bukan sahaja di kalangan ahli-ahli parti sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dr. Durrishah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam bahawa UMNO perlu membuat perubahan utama dan melihat semula strukturnya selepas pemilihan Mac depan demi pengukuhan parti.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sosiobudaya Melayu Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, UMNO perlu memikirkan bentuk perubahan struktur yang dimaksudkan oleh Hishammuddin semalam.
Beliau berkata, struktur sekarang menyaksikan suara ahli UMNO di peringkat cawangan dibawa ke mesyuarat bahagian dan kemudian ke perhimpunan agung.
"Struktur sekarang hanya mendengar suara 2,300 hingga 2,500 ahli UMNO daripada 3 juta ahli secara keseluruhan pada setiap perhimpunan agung.
"Secara dasarnya, ia tidak mendengar suara akar umbi secara keseluruhan. Jika perubahan struktur hendak dilakukan, ia harus mengutamakan suara di peringkat akar umbi," katanya.
Zainal Abidin menambah, pemimpin UMNO perlu memperjuangkan nasib berbelas-belas juta penduduk Melayu di negara ini dan bukan hanya memperjuangkan kepentingan ahli-ahlinya sahaja.
"Para pemimpin UMNO juga perlu memikirkan semula apakah mereka sekarang ini memperjuangkan kepentingan kaum Melayu yang sebenar atau kepentingan perut masing-masing iaitu kepentingan individu," katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm

Saturday 22 November 2008

Gejala Rasuah Sukar Dibendung Walaupun Najib Jadi PM, Kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Gejala rasuah dan politik wang dalam Umno tetap sukar dibendung meskipun Datuk Seri Najib Tun Razak bakal menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno Mac depan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.Bekas Perdana Menteri itu turut mempersoalkan sama ada peralihan kuasa yang dicadangkan antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Najib mampu untuk memulihkan semula parti."Apakah dengan peralihan kuasa itu dapat memulihkan parti? Saya tidak boleh yakin lagi kerana saya belum lagi nampak Najib mampu menyelesaikan masalah rasuah dan politik wang."Kita tidak akan dapat semula Umno yang bersih untuk mewakili kita selagi ia tidak dibendung," katanya pada wacana "Dilema Melayu" anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) di sini hari ini.Beliau berkata gejala itu agak sukar dikawal berikutan telah menjadi satu budaya dalam kalangan anggota Umno yang mahukan sesuatu jawatan terutamanya menjelang perhimpunan Agung Umno pada Mac depan.Dr Mahathir juga berkata sekiranya Umno tidak kembali kepada perjuangan asal, parti itu akan dilihat tidak lagi relevan untuk bangsa Melayu.Katanya kepimpinan melalui teladan adalah contoh yang terbaik di samping usaha berterusan membanteras rasuah."Kita mahukan pimpinan yang tegas dan mengambil sebarang tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat. Untuk ahli, kalau pemimpin itu terlibat dengan rasuah, jangan pilih dia."Kita tak boleh harap pembaharuan boleh dilakukan dalam Umno dan mereka harus ingat, kalau orang tidak memberi undi mereka tidak boleh menang atau sekiranya mereka menang dalam pemilihan parti, tak semestinya mereka akan menang pilihan raya," katanya.Sementara itu, dalam sidang akhbar, Dr Mahathir ketika ditanya sama ada telah mengemukakan sebarang nama untuk dikenakan tindakan disiplin kerana terlibat dengan politik wang dan rasuah, hanya berkata beliau tidak ada berbuat demikian."Saya tidak ada cadangan untuk berbuat demikian (mengemukakan nama) kerana ramai yang telah hantar laporan salah laku kepada Jawatankuasa Disiplin parti," katanya.Beliau berkata meskipun laporan telah dibuat, apa yang menjadi keutamaan adalah melihat laporan itu disusuli tindakan.Mengulas mengenai keputusan Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz yang mahu mempertahankan jawatannya, Dr Mahathir berkata: "Itu terpulang kepada dia. Apa yang penting pilih pemimpin yang tak terlibat dengan rasuah."Dr Mahathir turut mengingatkan anggota parti supaya mengundi seseorang pemimpin dengan berdasarkan kebolehan dan bukannya kewangan.-- BERNAMA

Projek Cuti Sekolah

Gambar-KOSMO

Gerun tengok pisau tok mudin
Anak Jati Bukit Duyong - tertarik dengan rencana yang disiarkan dan mengingatkan semula apa yang dilalui oleh insan yang bernama lelaki. Untuk mengetahui cerita selanjutnya anda boleh klik di sini http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Thursday 20 November 2008

Orang Melayu perlu pertahankan hak mereka - Tun Mahathir

PUTRAJAYA 19 Nov. - Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu orang Melayu tidak terus mengambil sikap mempertahankan diri apabila hak-hak dan keistimewaan mereka dicabar oleh pihak tertentu terutama selepas UMNO catat prestasi buruk dalam pilihan raya umum lalu.
Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu berkata, sudah tiba masanya untuk orang Melayu mengambil sikap 'menyerang' bagi memastikan hak-hak yang dinikmati selama ini dapat dipertahankan.
''Kita lihat sekarang ini ramai orang Melayu cuma mempertahankan diri tetapi tidak menyerang, kita cuma marah dengan kata jangan sentuh hak keistimewaan Melayu dan agama Islam.
''Kita harus mempertahankan kedudukan kita tetapi ungkapan orang Inggeris kata bahawa serangan adalah satu bentuk pertahanan yang paling baik, jadi kita kena serang, itu cara terbaik untuk mempertahankan diri," katanya ketika berucap pada Program Penerangan Isu-Isu Semasa di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, orang Melayu sejak dahulu mempunyai sikap yang lemah lembut dan ada kalanya tidak mahu mempertahankan diri walaupun tahu diri mereka tidak bersalah selain enggan menuduh orang lain bersalah.
Sebab itu katanya, apabila terdapat pihak mempertikaikan sosial kontrak, orang Melayu hanya mempertahankan diri bahawa mereka mempunyai keistimewaan yang telah ditetapkan dalam kontrak tersebut.
Bagaimanapun jelas beliau, orang Melayu tidak mendedahkan perkara-perkara yang dipersetujui mereka dalam kontrak sosial yang telah dinikmati oleh kaum lain di negara ini.
''Kita cuma pertahankan bahawa kontrak sosial beri keistimewaan tetapi kita tidak kata tentang apa yang kita beri dalam kontrak sosial, kita bagi banyak.
''Tunku (Abdul Rahman Putra) memberikan satu juta kerakyatan kepada orang bukan Melayu tanpa apa-apa soalan, ini ada dalam ucapan Tun Tan Siew Sin.
''Kalau hendak ambil balik hak Melayu, kita juga nak ambil balik hak yang diberikan kepada mereka," katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir menyatakan, selepas pilihan raya umum lalu, banyak pihak menyatakan mereka menolak perkauman tetapi mereka secara terang-terangan mempersoalkan mengapa orang Melayu mendapat begitu banyak hak di negara ini.
''Mereka mahu bahasa mereka digunakan dalam papan tanda dan mempersoalkan Melayu sebagai pendatang yang dikatakan tidak berbeza dengan orang Cina dan India," katanya.
Beliau turut mempertikaikan tindakan sesetengah pihak menyamakan kemenangan Barack Obama sebagai Presiden ke-44 Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini sebagai satu petanda bahawa negara ini juga perlu dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang bukannya dari kalangan orang Melayu.
''Sejak Obama menang, ia jadi masalah pula kepada kita, sedangkan beliau tidak boleh disamakan dengan kita.
''Memang dia berkulit hitam dan ada campuran sedikit tetapi hakikatnya dia menerima budaya dan bahasa di AS yang asalnya dijajah oleh Anglo-Saxon. Dia cukup dengan identiti Amerika," katanya.
Sementara itu, Tun Dr. Mahathir mengingatkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) mungkin menghadapi risiko tewas dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya gejala politik wang dalam parti itu gagal dibersihkan.
Beliau menegaskan, jika sebelum ini rakyat beralih kepada parti pembangkang disebabkan pemimpin tertentu dalam kerajaan, mereka tidak mustahil akan menolak seluruh calon BN yang didapati memenangi pemilihan parti dengan cara rasuah.
Sehubungan itu, kata beliau, adalah tidak berguna sekiranya para pemimpin UMNO berebut-rebut untuk memenangi pemilihan parti pada Mac depan termasuk melalui cara rasuah tetapi parti kecundang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
''Jadi penolakan terhadap UMNO bukan suatu yang mustahil, kemungkinan besar kerana rakyat sekarang pandang jijik kepada UMNO.
''Kalau dulu UMNO didokong oleh rakyat, mereka bersedia memberikan sokongan kepada UMNO dan BN tetapi hari ini pandangan rakyat sudah berbeza, sekarang saya fikir rakyat sudah benci dengan semua pemimpin kerana mereka terlibat rasuah.
''Rakyat pandang UMNO yang meletakkan calon-calon yang menang dalam pemilihan parti merupakan calon yang rasuah, adakah parti akan mendapat undi?," katanya pada program Penerangan Isu-Isu Semasa di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu juga membidas pandangan segelintir pihak yang menyatakan orang luar daripada UMNO tidak wajar mencampuri dan mengambil perhatian tentang apa yang berlaku dalam parti tersebut.
Ini kerana katanya, selama ini UMNO dan BN berjaya memenangi semua pilihan raya umum lalu bukan sekadar dengan sokongan ahli-ahli parti sebaliknya atas dokongan rakyat yang menyokong dasar serta perjuangan parti tersebut.
Sehubungan itu, Dr. Mahathir berkata, pemimpin yang mengamalkan politik wang perlu disingkirkan daripada menduduki jawatan-jawatan penting parti bagi mengelakkan pandangan buruk rakyat yang berada di luar parti.
''Sudah tentu tidak semua pengundi gila tetapi ada yang masih waras, mereka akan tolak calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan inilah nasib yang sedang menunggu untuk mereka yang keluarkan wang yang banyak," katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan, pelan peralihan kuasa yang ditetapkan oleh UMNO tidak akan memberikan kesan sekiranya ia hanya membabitkan pertukaran pemimpin secara fizikal.
Sebaliknya, jelas beliau, peralihan kuasa itu mesti melibatkan pertukaran dasar-dasar yang sebelum ini didapati menjadi punca kebencian rakyat dan kerugian kepada negara serta menyebabkan UMNO menjadi lemah.
''Untuk bersihkan UMNO kita perlu kepada pemimpin yang berani dan bukan lebih mirip kepada hendak menjaga air muka orang lain.
''Oleh itu peralihan kuasa tidak hanya dalam bentuk tubuh badan sahaja tetapi mesti melibatkan segala dasar yang dibenci oleh rakyat, jika tidak peralihan itu akan menjadi sia-sia sahaja, kalau teruskan rakyat akan tolak kepimpinan UMNO," tegasnya.
Sementara itu pada sesi soal jawab, Dr. Mahathir menegaskan beliau akan cuba membantu ahli-ahli UMNO memerangi rasuah politik dalam parti termasuk menghubungi Lembaga Disiplin parti dan menghantar laporan mengenai gejala itu kepada badan tersebut.
''Saya juga boleh masukkan nama-nama mereka yang dilaporkan terlibat dengan politik wang dalam laman blog saya," katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_11.htm
Anak Jati Bukit Duyong - Setuju dengan saranan dan pandangan TUN

Tuesday 18 November 2008

'Jangan Mencabar Orang Melayu'

KUALA SUNGAI BARU, 17 Nov - Satu laporan polis telah dibuat oleh 20 orang penduduk Kampung Ujong Padang di Balai Polis Kuala Sungai Baru, di sini berhubung penemuan kepala babi di pagar rumah seorang pesara guru, Jumaat lalu. Mereka telah berarak secara aman membawa sepanduk 'Jangan Mencabar Orang Melayu' menuju ke Balai Polis berkenaan kira-kira pukul 10 pagi semalam.Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Ismail Jantan mahu parti komponen Barisan Nasional (BN), seperti MCA dan GERAKAN bertanggungjawab terhadap insiden tersebut. "MCA dan GERAKAN tidak seharusnya berdiam diri. Mereka sepatutnya bertanggungjawab terhadap perkara ini bagi menunjukkan semangat setiakawan dalam BN. "Perkara ini mencermar maruah Orang Melayu, apatah lagi ia berlaku (merujuk kes) di dalam kampung yang rata-rata dihuni oleh orang Melayu. "Ini bukan pertama kali, penternakan babi mencetuskan kontroversi. Kalau beginilah keadaannya, lebih baik tutup terus," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan balai polis berkenaan. Seorang penduduk kampung, Rozamri Kambol berkata, beliau terpanggil untuk membuat laporan polis setelah merasakan ia satu tanggungjawab bagi membantu sahabatnya yang teraniaya. "Saya orang Melayu yang mewakili sahabat-sahabat saya membuat laporan ini demi maruah bangsa Melayu dan agama Islam. "Kami berasa malu apabila ramai saudara mara, dan rakan serta orang Melayu lain bertanyakan isu ini. Bayangkan anak cucu kami pun tak mahu jejakkan kaki ke kampung disebabkan bau busuk dari kandang babi," katanya. Ketika ditanya pihak mana yang seharusnya berbincang dengan penternak-penternak babi, Rozamri menyerahkan perkara tersebut kepada Kerajaan Negeri dan berharap tiada pihak lain masuk campur. "Kalau hendak berbincang, biarlah satu pihak sahaja mewakili kita. Kalau semua hendak berbincang, nanti akan jadi panjang pula," katanya lagi. Jumaat lalu, Setiausaha Jawatankuasa Pemantau Babi, Md Rawi Mahmud, 55, menemui kepala babi yang tergantung di pagar rumahnya ketika hendak keluar ke masjid menunaikan sembahyang Subuh kira-kira jam 5.30 pagi.
http://www.melakahariini.com.my/isA18nov08.html

Anak Jati Bukit Duyong-Kesabaran dan sikap toleransi ada tahapnya jangan sampai isu-isu halal haram dipermainkan.

Monday 17 November 2008

Kukuhkan politik Melayu

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Politik Melayu perlu diperkukuh dan diperkasakan melalui penyatuan kaumnya yang ramai bagi mengelak daripada terus dicemuh dan dipersenda oleh pihak lain yang hendak mengambil kesempatan.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kebelakangan ini, terlalu banyak penghinaan yang dilemparkan terhadap orang Melayu seolah-olah mereka telah hilang punca dan maruah.
“Fakta dan sejarah seolah-olah menjadi alat mainan politik lalu Melayu dan pribumi ditempelak, dipertikai, dicemuh dan dihina.
“Ramai orang Melayu terasa tersinggung dengan luahan-luahan yang mempersenda bangsa mereka. Tetapi ramai pula yang terus dalam keadaan tidak kisah lantas membiarkan sahaja polemik pribumi ini dipermainkan di arena politik kelompok masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Program Wacana Isu Perundangan dan Hak-hak Pribumi Dalam Perlembagaan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Memorial Tun Hussein Onn, di sini hari ini.
Dalam hal ini, Rais yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan kerana ia lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.
Katanya, laungan ketuanan Melayu seharusnya dilihat daripada sudut kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas serta tanggungjawab mahupun disiplin politik.
‘‘Setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti terkandung dalam peruntukan 153 Perlembagaan atau setakat kedaulatan terhad Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi – ini semua belum menjamin kekuatan semula jadi, jauh sekali mendaftarkan kekuatan Melayu itu sendiri,’’ tegasnya.
Justeru Rais berkata, orang Melayu perlu menghindari imej yang melemahkan perjuangan dan pada masa yang sama, bertindak apabila Melayu dan UMNO dicerca oleh politik luaran.
Rais berkata, fakta sejarah boleh dianggap sebagai faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu adalah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu.
Katanya, ia sama seperti India adalah negeri orang berketurunan India, Arab di Timur Tengah dan seperti negeri China dinamakan sedemikian lantaran bangsa Cina yang mendiami negara itu.
“Struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini,” katanya.
Daripada aspek ekonomi, menurut beliau, keistimewaan orang Melayu dan bumiputera harus dilengkapi dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan.
“Ekonomi bumiputera kini melebihi paras 30 peratus daripada segi perolehan aset. Malangnya, bumiputera masih dikatakan berada di tahap kurang 20 peratus. Mungkinkah kaedah atau cara kita membuat perkiraan silap?
“Mungkin juga kaedah pengumpulan data tidak memasukkan fakta-fakta wajib lain. Sebagai warga Malaysia, tidak salah jika cita-cita politik UMNO misalnya ingin mencapai 50 atau 60 peratus sejajar dengan populasi Malaysia diwakili Melayu dan pribumi,” katanya.
Beliau berkata, dari sudut berkenaan, jelas bahawa penggunaan kuasa politik selama ini kurang berjaya memperjuangkan kaedah dan mekanisme penyampaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun daripada segi pembangunan, banyak kemajuan telah tercapai.
Justeru katanya, orang Melayu perlu menolak nisbah “sekurang-kurangnya 30 peratus” dan menggantikannya dengan setinggi-tinggi mungkin nisbah kekayaan negara untuk dimiliki oleh bumiputera.
Mengenai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, Rais berkata, ia harus dijadikan bahasa ilmu, bukan setakat bahasa komunikasi dalam konteks kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara.
Katanya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh menjalankan usaha pemantauan dengan menguatkuasakan undang-undang berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan dengan segera.
Sementara itu, hadir sama pada program wacana tersebut ialah Presiden Perkasa yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Pembentang kertas kerja dan pembahas ialah Penasihat Perundingan Kebangsaan Melayu, Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman; Pensyarah Undang-undang Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Shaik Mohamad Nor Alam; peguam Zainur Zakaria dan Abdul Halim Abdullah.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka%5FHadapan&pg=mh_01.htm

Friday 14 November 2008

Umno Boleh Runtuh Jika Ada Pemimpin Tidak Amanah

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Kekuatan dan keteguhan Umno yang dibina lebih 60 tahun oleh pemimpin terdahulu mungkin hancur jika dibarisi pemimpin tidak amanah, tidak bertanggungjawab dan mereka yang berkepentingan mengikut telunjuk nafsu politik.
Ketua Umno Bahagian Cheras Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata beliau amat khuatir dengan menjelangnya perhimpunan Agung Umno Mac depan, budaya berkempen yang disulami dengan sogokan rasuah politik akan terus menjalar dan semakin sukar dibendung.
"Saya melihat pemilihan parti seperti tidak lengkap jika tidak dihiasi dengan pemberian habuan wang ringgit dengan pelbagai bentuk dan cara yang kesemuanya mempunyai satu tujuan iaitu membeli undi untuk mencipta kemenangan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya usaha untuk memerangi politik wang tidak memadai setakat membina sebuah kod etika."Undang-undang tanpa penguatkuasaan tidak akan berkesan. Umno mencipta kod etika tetapi longgar yang akhirnya menjadi bahan ketawa dan bertambah sedihnya seolah-olah turut dipersenda oleh calon yang menawarkan diri bertanding," katanya.Beliau berkata politik wang merupakan virus yang menjadi ancaman kepada kekebalan Umno yang selama ini masih gagah bertahan tetapi lambat laun parti akan hancur jika tidak ada usaha memeranginya secara nekad dan ikhlas.Syed Ali mendakwa sesetengah pemimpin mengambil jalan pintas dengan memulakan suapan upah atau sogokan rasuah politik untuk mengekalkan jawatan yang dipegang mereka."Pemimpin jenis inilah yang tidak memberikan manfaat kepada kepentingan Umno, rakyat dan negara malah mencemarkan maruah orang Melayu keseluruhannya," katanya.Justeru itu, katanya para perwakilan seharusnya mempunyai jiwa yang lapang dan hati yang bersih, yang tidak dikotori oleh kuman politik wang dalam pencarian mereka memilih pemimpin bertanggungjawab."Anggota Umno akan menjadi bertambah kecewa seandainya pemimpin mereka masih sukar untuk bersikap ikhlas dan bertanggungjawab biarpun Umno sepatutnya sudah pun berubah," katanya.Beliau turut merayu kepada perwakilan supaya menolak mana-mana calon yang bertanding atas kekuatan amalan politik wang.-- BERNAMA

Najib Mahu Anggota Umno Contohi Semangat Perjuangan Veteran

IPOH, 14 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mahu para anggota Umno kembali kepada nilai-nilai asas iaitu mengutamakan perjuangan parti jika mahukan Umno kembali kuat dan menebus kekalahan pada pilihan raya umum lepas."Kita perlu kembali kepada asas dan nilai perjuangan... parti lebih penting daripada kepentingan diri," katanya semasa mrasmikan Perhimpunan Agung kedua Veteran Umno Malaysia di sini Khamis malam.Timbalan Presiden Umno itu berkata bagi Umno mengembalikan kekuatan dan untuk membela kekalahannya, Umno perlu kembali kepada imejnya yang dihormati oleh semua pihak."Tidak guna jika menang ketua bahagian atau apa-apa jawatan jika DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen kita kalah... berjuanglah dengan jujur dan ikhlas," kata Timbalan Perdana Menteri.Beliau berkata nilai dan semangat perjuangan yang dimiliki oleh anggota veteran Umno menjadi contoh terbaik kepada generasi sekarang."Umno dulu mempunyai nilai perjuangan berkorban apa sahaja kepada parti, kepentingan diri diketepikan. Dulu tidak ada istilah salam kosong atau salam berisi, yang ada hanya salam perjuangan," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh lebih 200 perwakilan yang hadir.Najib berkata ahli Umno dulu berkorban tenaga dan harta untuk perjuangan dan nilai seperti itu perlu diikuti dan diamalkan oleh generasi sekarang yang merupakan generasi pewaris atau penyambung perjuangan.Najib berkata semangat yang ditunjukkan oleh veteran Umno perlu dicontohi dan peranan mereka tidak seharusnya diketepikan dan jangan sekali-kali dianggap sebagai tidak berguna ibarat "manisan yang sudah habis".Katanya anggota veteran merupakan satu kumpulan yang membawa kekuatan kepada Umno kerana mempunyai semangat perjuangan membara."Tidak bermakna umur 30-an dan tenaga kuat tetapi perjuangan yang mengalir di dalam darah tidak tulen dan sejati, " ujarnya.Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi Veteran Umno Malaysia Tan Sri Tajudin Ali dan dua naib presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.-- BERNAMA

Kenyataan Mahathir amaran kepada Melayu

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri merupakan amaran tegas kepada orang Melayu supaya tidak mengambil mudah sesuatu perkara.
‘‘Kalau berlaku pergeseran yang mana Melayu tidak bersatu atau tidak bercakap dalam satu nada, kita akan lihat orang lain menerajui kerajaan.
‘‘Ia adalah amaran tegas, khususnya kepada orang Melayu supaya mereka sentiasa bersatu padu untuk menerajui kepimpinan negara kerana sudah 52 tahun ahli daripada UMNO menjadi Perdana Menteri dan ini tidak salah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan Pameran Perdagangan Antarabangsa (Intrade) Malaysia dan Forum Perdagangan Perdagangan Antarabangsa (KLITF) 2008, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mahathir yang membidas pihak tertentu yang cuba membangkitkan persoalan tentang keperluan mempunyai seorang Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu atas alasan agar negara tidak dilihat mengamalkan perkauman.
Menurutnya, parti yang mewakili kaum Melayu, sebagai contoh UMNO yang mengetuai parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili Cina, India, penduduk Sabah atau Sarawak perlu terus kukuh dan bersatu bagi memastikan orang Melayu terus menjadi Perdana Menteri sama ada secara tradisi atau konvensyen.
‘‘Apa yang dikatakan oleh Tun tidak harus mewujudkan polemik kerana ia (kenyataan) yang berasaskan kepada apa yang terkandung dalam perlembagaan yang tidak menyatakan Perdana Menteri mesti berasaskan kaum.
‘‘Bagaimanapun, saya tidak mengatakan sama ada saya bersetuju atau tidak mengenainya,” katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm

Wednesday 12 November 2008

Umno mesti singkirkan calon rasuah: Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Umno mesti mengambil tindakan drastik untuk menyingkirkan mana-mana calon yang terbabit dalam politik wang dalam pemilihan parti. Beliau berkata terdapat kemungkinan besar pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden Umno turut membabitkan politik wang. Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Siri Wacana Perdana bertajuk ’Bangsa Malaysia’ di sini hari ini. - Bernama

Tuesday 11 November 2008

Muhyiddin mahu unsur memfitnah calon dielakkan

11/11/2008 3:31pm
KUALA LUMPUR 11 Nov. — Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden tidak dicemari dengan sebarang unsur fitnah dan memburuk-burukkan calon berikutan tempoh kempen yang panjang.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, sebarang amalan yang tidak sihat dikhuatiri akan menyebabkan perpecahan dalam parti.
“Ini bukan satu pertandingan tetapi merupakan satu proses penawaran diri.
Saya berharap ia berlangsung dalam suasana kekeluargaan. Apa yang penting ialah nak pastikan tidak berlaku perpecahan dalam parti.
“Diharap tidak ada amalan tidak sihat seperti fitnah dan memburuk-burukkan rakan yang bertanding kerana tempohnya (kempen) yang agak lama. Saya mahu ia berjalan dalam suasana yang sihat,” katanya kepada pemberita selepas pra pelancaran Ekspo Kesenian Antarabangsa Malaysia ke-2 (AEM) 2008 di sini hari ini.
Ditanya mengenai jawatan Timbalan Presiden yang selama 21 tahun tidak menyaksikan pertandingan, Muhyiddin berkata ia adalah kehendak daripada perwakilan.
“Mungkin mereka mahu melihat bagaimana pimpinan yang sedia ada menawarkan diri. Terserah kepada ahli-ahli parti untuk memikirkan siapa calon yang betul-betul layak untuk semua jawatan terbaik,” katanya.
Beliau juga menganggap kelayakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib untuk bertanding jawatan yang sama sebagai satu perkara yang positif. - Bernama

Bertanding Atas Semangat Kekeluargaan

AYER KEROH, 10 Nov- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam meminta seluruh ahli UMNO di semua peringkat supaya mengutamakan kepentingan parti serta memantapkan lagi semangat kekeluargaan menjelang Perhimpunan Agung UMNO, Mac tahun depan.Mohd Ali yang juga Ketua Menteri yakin pertandingan jawatan-jawatan tertinggi parti Mac depan akan berlangsung atas semangat kekeluargaan dan tidak akan mewujudkan kem-kem tertentu dalam parti."Saya yakin pertandingan pada Mac depan diadakan atas semangat kekeluargaan dan tidak akan wujud kem-kem tertentu. Ini kerana keutamaan ahli adalah kepada parti dan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti adalah proses demokrasi dalam mana-mana parti," kata Mohd Ali dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini."Ahli-ahli UMNO sudah matang dan mereka boleh membuat penilaian terhadap mana-mana calon yang menawarkan diri untuk bertanding," tambah beliau.Mohd Ali seterusnya berharap pertandingan perlu dilakukan secara sihat dan jangan ada unsur-unsur fitnah-memfitnah, memburuk-burukkan lawan atau sabotaj di kalangan calon-calon tertentu kerana ia akan memberi kesan negatif atau implikasi buruk kepada UMNO sendiri."Kepada semua calon yang melepasi kuota pertandingan, saya ucapkan tahniah dan mesti menjaga imej dan mengutamakan parti dalam usaha meraih sokongan untuk memenangi jawatan yang ditandingi kelak."Kita mesti ada integriti, ikhlas, bekerja bersungguh-sungguh dan sanggup berjuang untuk memartabatkan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan untuk memastikan rakyat sentiasa dibela dan memihak kepada kita dalam setiap kali pilihan raya sama ada pilihan raya kecil atau umum," ujar Mohd Ali lagi.Katanya, jika kita ikhlas dan melaksanakan segala kehendak rakyat, sudah pasti mereka (rakyat) akan terus bersama UMNO dan Kerajaan BN.Mengenai insiden pergaduhan yang tercetus pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban semalam, beliau berkata, ia terserah kepada Lembaga Disiplin untuk mengambil tindakan sewajarnya."Perkara itu tidak sepatutnya berlaku jika semua pihak dapat mengawal emosi atau berbincang melalui meja rundingan sebelum sesuatu tindakan dilakukan. Kita mesti utamakan parti dalam setiap tindak-tanduk yang dilakukan," ujarnya.
http://www.melakahariini.com.my/mdA11nov08.html

Monday 10 November 2008

Jangan cabar kewibawaan Majlis Fatwa: Zahid

PUTRAJAYA: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bukan Islam diminta jangan mencabar kewibawaan Majlis Fatwa Kebangsaan jika tidak mempunyai asas hukum-hakam Islam. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mempertikaikan fatwa majlis hanya mengikut logik akal saja boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat. Katanya jika NGO mempunyai sebarang kekeliruan atau inginkan penjelasan mengenai latar belakang sesuatu fatwa itu, beliau sedia menganjurkan majlis perbincangan.
Beliau mengulas mengenai tindakan NGO bukan Islam, Katagender dan Foot-not-Bombs, Jumaat lalu yang mengadakan demonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan perlakuan ’pengkid’ atau wanita yang menyamai lelaki. Ahmad Zahid berkata isu ’pengkid’ misalnya, kini sudah menjadi permasalahan masyarakat apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima aduan dan atas dasar itu Majlis Fatwa merasakan wajar fatwa mengharamkannya dikeluarkan. “Kalau masalah seorang perempuan lari kepada lelaki lain ada undang-undang yang boleh menyelesaikannya tetapi jika ada perempuan lari kepada perempuan lain mesti ada peranan lelaki di kalangan perempuan itu,” katanya kepada pemberita selepas diwawancara dalam program INFAQ di sini hari ini.
Portal berita kedua-dua NGO itu menyiarkan kenyataan Pengarah Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Ivy Josiah bahawa fatwa yang dikeluarkan itu menyekat kebebasan wanita selain menjadikan negara ini dipandang serong dan ditertawakan negara luar. Mengenai pembinaan hotel di tanah wakaf di lima negeri, Ahmad Zahid berkata tender akan dikeluarkan dalam waktu terdekat. Beliau berkata lima lokasi tanah wakaf sudah dikenal pasti sesuai untuk pembinaan hotel iaitu di Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan dan Perak. - Bernama

Saturday 8 November 2008

Anggota Umno Yang Terbabit Politik Wang Sepatutnya Tidak Diberi Tempat - Najib

PEKAN, 8 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata anggota Umno yang terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti Mac tahun depan sepatutnya tidak diberi tempat dalam kepimpinan parti.Sambil berharap anggota UMNO memilih pemimpin yang bersih untuk mengangkat perjuangan parti bangsa Melayu itu ke peringkat yang lebih tinggi lagi, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu berkata jika mereka yang terbabit dalam mainan politik wang tetap diberikan tempat, akhirnya ia akan merosakkan kredibiliti Umno itu sendiri."Ia akan menjejaskan parti Umno dari dua segi, satu dari segi imej parti kepada orang luar, bermakna mereka akan lihat proses pemilihan dalam parti kita ini tidak bersih, kedua, akan menyebabkan pemimpin yang tidak sepatutnya diangkat untuk sesuatu jawatan itu terpilih kerana sokongannya berdasarkan mainan politik wang, mungkin kita akan mempunyai barisan pemimpin yang tidak dapat mengangkat perjuangan Umno yang lebih tinggi lagi dan merosakkan kredibiliti Umno kerana (mempunyai) pemimpin itu kurang kredibel," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan mesyurat Umno bahagian Pekan di sini.Ketika diminta mengulas laporan mengenai politik wang pada pemilihan Umno kali ini yang disifatkan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail sebagai paling serius, Najib berkata;"Saya sedar bukan mudah, untuk melakukan itu (tanganinya) itu sukar, namun bukan bererti usaha kita tidak boleh dan patut kita hentikan, kita perlu perhebatkan."Kita hendak pemimpin yang kredibel dan berwibawa dalam parti sebab kita dinilai oleh rakyat teramai, rakyat jelata akan membuat penilaian dan perhitungan terhadap Umno melalui pemimpin yang diketengahkan Umno."Sepatutnya tidak ada tempat (bagi mereka yang terbabit politik wang) tapi akhirnya terpulang kepada ahli Umno sendiri untuk menyokong pemimpin yang bersih, dan juga bergantung kepada keberkesanan penguatkuasaan kita, seperti perangkap laju, ada yang terlepas, ada yang kena," katanya.Mengulas lanjut isu itu, Najib berkata mereka yang membuat laporan mengenai politik wang juga mestilah mempunyai bukti yang kukuh bagi membolehkan tindakan dikenakan kepada mereka yang terbabit.'Aduan itu banyak tapi kita jangan menganiaya sesiapa, kadang-kadang ada laporan palsu ataupun tidak tepat, untuk mengena mana-mana pemimpin dengan mengemukakan laporan politik wang, setiap laporan perlu ada kesahihan laporan tersebut," katanya.Ditanya isu politik wang itu lebih bersifat "open secret", Najib berkata: "Sebab mereka yang sanggup buat laporan itu sikit berbanding mereka yang menerima wang, (jadi) kita mesti ada bukti, dimana? Bila? Jumlahnya? Bukti wang? Walaupun ini bukan mahkamah tapi asas bukti itu mesti ada," katanya.Ketika ditanya berhubung beberapa bahagian Umno yang dilaporkan menghadapi masalah tertentu ketika mengadakan mesyuarat bahagian, Najib berkata perkara itu akan diselesaikan dengan sebaik-baiknya."Kita minta perhubungan (negeri) selesaikan, kita ada ibu pejabat, kita ada Jawatankuasa Pengurusan untuk tentukan dasar, tafsiran kepada perlembagaan dan peraturan, ibu pejabat teliti dari segi fakta, dan perhubungan memantau, dan memberi maklumat tepat apa yang berlaku, ada peranan masing-masing (untuk tangani masalah yang timbul"," katanya.-- BERNAMA

Thursday 6 November 2008

Guna Pertimbangan Rasional Pilih Pemimpin

KUALA LUMPUR, 6 Nov (bernama) -- Anggota perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno Mac tahun depan diminta supaya menggunakan pertimbangan rasional dalam memilih pemimpin dan tidak terperangkap dengan sogokan pihak tertentu."Saya berharap mereka akan lebih matang membuat penilaian calon," kata Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee bagi mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail bahawa pasukan pemantau yang diwujudkan oleh lembaga itu telah mengenal pasti ada calon yang mengamalkan politik wang dan penyalahgunaan kuasa.Lembaga itu sedang menyiasat secara serius dan terperinci untuk mengumpul segala bahan bukti dan saksi bagi tujuan mengambil tindakan tegas terhadap mereka tanpa mengira sesiapapun.Syed Ali berkata perjuangan Umno akan jauh terpesong jika ianya dibarisi oleh pemimpin yang dipilih berasaskan kepada amalan politik wang.Beliau berkata sekiranya amalan itu dibiarkan berterusan, ini akan menghalang peluang mereka yang memiliki kriteria dan ciri-ciri kepimpinan untuk menjadi pemimpin kerana mereka ini tidak mempunyai wang.-- BERNAMA

Wednesday 5 November 2008

Pengamal Politik Wang dikenalpasti

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Pasukan pemantau yang diwujudkan oleh Lembaga Displin Umno telah mengenal pasti calon yang menawarkan diri bagi merebut jawatan dalam pemilihan parti Mac depan yang mengamalkan politik wang dan penyalahgunaan kuasa.Pengerusi lembaga itu Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata pihaknya sedang dalam proses menganalisis dan penyiasat secara serius dan terperinci, untuk mengumpulkan segala bahan bukti dan saksi bagi tujuan mengambil tindakan tegas terhadap mereka tanpa mengira sesiapapun."Jika sekiranya mereka yang terlibat ini akhirnya didapati bersalah, mereka akan hilang hak untuk bertanding atau sekiranya menang, kemenangan mereka boleh dibatalkan," katanya dalam kenyataan.Beliau berkata kebelakangan ini, khususnya di peringkat pencalonan Timbalan Presiden dan Naib Presiden, pihaknya mendapati calon-calon yang menawarkan diri telah menggunakan ramai pengurus, perayu dan pelobi untuk mendapatkan pencalonan."Dengan adanya ramai pemantau yang kami wujudkan sekarang di seluruh negara, pihak kami telahpun mengenal pasti calon-calon yang menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah politik wang yang begitu hebat dan keterlaluan," katanya.Beliau yang sedih dan kecewa tentang gejala amalan politik wang yang berlaku dalam tempoh pemilihan bahagian Umno yang sedang berlangsung mengingatkan semua calon serta pihak terlibat supaya segera memberhentikan perbuatan itu."Memandangkan masih ada berbaki 49 bahagian yang akan bersidang pada akhir minggu ini, saya ingin memberi peringatan tegas kepada semua calon dan pihak terlibat supaya menghentikan gejala yang tidak baik dan terkutuk ini agar dapat kita bersama-sama memperkuatkan Umno, demi kesejahteraan dan kebahagiaan kita dan generasi akan datang," katanya.Proses pemilihan bagi 191 bahagian Umno yang bermula sejak 9 Okt lepas dijadual berakhir Ahad ini.-- BERNAMA

Tuesday 4 November 2008

Tak salah ramai tanding Naib Presiden Umno

PUTRAJAYA: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tidak salah sekiranya ramai calon bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan asalkan apa jua keputusan nanti tidak menjejaskan hubungan sesama ahli. “Biarlah 100 orang pun bertanding, tidak salah asalkan mereka layak dan itu yang ditentukan perwakilan dan kita tidak boleh sekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kualiti Kementerian Pelajaran di sini, hari ini. Hishammuddin, yang juga Menteri Pelajaran, diminta mengulas mengenai kemungkinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendapat pencalonan yang cukup untuk layak bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudahpun layak.
Untuk layak bertanding jawatan itu, seseorang itu perlu mendapat sekurang-kurangnya 39 pencalonan daripada bahagian Umno. Sehingga semalam, Mohd Ali memperoleh 32 pencalonan dan Muhammad 30 manakala Muhyiddin mendapat 79 pencalonan. Sebanyak 49 lagi bahagian belum bermesyuarat.
Mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim bahawa konsep ketuanan Melayu membawa keburukan kepada orang Melayu, Hishammudin berkata pendapat itu adalah tidak bertanggungjawab. “Saya langsung tidak bersetuju. Sepatutnya dalam apa jua perjuangan kita mesti ada prinsip dan konsisten,” katanya. - Bernama
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Mutakhir/20081104162739/Article/index_html

BPR siasat 9 kes berprofil tinggi berkaitan pemilihan Umno Kedah

ALOR STAR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) membuka sembilan kertas siasatan membabitkan kes berprofil tinggi berkaitan mesyuarat perwakilan Umno Kedah sejak sebulan lalu. Pengarah BPR negeri, Nooraziah Abdul Manaf, berkata sembilan kertas siasatan itu daripada 51 yang dibuka sepanjang tempoh Januari hingga semalam. Beliau berkata, siasatan sukar dilakukan berikutan keengganan saksi tampil memberikan maklumat kerana takut dengan pemimpin Umno terbabit.
Beliau berkata demikian selepas majlis serah tugas jawatan itu daripada Idrus Jaafar yang bertukar sebagai Pengarah BPR Pulau Pinang, di sini, hari ini.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Mutakhir/20081104121849/Article

Sunday 2 November 2008

Zaid perlu keluar dari rumpun Melayu - Shahidan

02/11/2008 7:14pm
KANGAR 2 Nov. — Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyifatkan kenyataan Senator Datuk Zaid Ibrahim mengenai ketuanan Melayu sebagai keterlaluan.
“Zaid perlu bertaubat, jika tidak, Zaid perlu keluar dari rumpun bangsa Melayu,” kata Shahidan yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO.
Shahidan berkata, jika bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terus mempertikai konsep ketuanan Melayu, beliau tidak seharusnya menjadi Melayu lagi kerana sebagai bangsa Melayu Zaid seharusnya membela Melayu bukan memburukkannya.
“Beliau sepatutnya memiliki semangat Melayu dan tidak seharusnya mempertikai ketuanan Melayu secara terbuka,” kata Shahidan yang ditemui pada majlis penutup Kejohanan Lumba Basikal Terbuka Perlis 2008 dan Kejohanan Lumba Basikal Wanita Piala Presiden di sini hari ini.
Shahidan yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO mahu Zaid memohon maaf kerana selama ini beliau dikenali dengan nama Melayu.
Baru-baru ini Zaid mendakwa konsep ketuanan Melayu adalah satu kegagalan yang membawa keburukan kepada kaum itu malah beliau menyifatkan konsep itu juga menyebabkan berlaku pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar negara. - Bernama
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_28.htm

NGO Melayu tuntut Zaid minta maaf

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim meminta maaf berhubung kenyataannya bahawa ketuanan Melayu sebagai satu konsep yang gagal.
Presiden Penaja Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Zaid seharusnya merasa malu dengan kenyataannya itu apatah lagi menyifatkan ketuanan Melayu hanya membawa keburukan kepada kemajuan bangsa Melayu di negara ini.
''Selama ini dia menggunakan nama Melayu untuk berada pada kedudukannya sebagai seorang peguam terkenal tetapi sekarang dia mahu bangsanya hancur pula.
''Dia seolah-olah tidak malu dengan kenyataan yang sepatutnya tidak dikeluarkan malah seharusnya berada di barisan hadapan untuk mempertahankan bangsa Melayu. Dia mesti minta maaf kepada bangsanya,'' kata beliau kepada Mingguan Malaysia hari ini.
Zaid ketika berucap pada Persidangan LawAsia 2008 semalam turut menyifatkan konsep ketuanan Melayu menyebabkan berlaku pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar di negara ini.
Beliau merujuk kepada pelantikan Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar perbadanan itu baru-baru ini.
Mohd. Khairul Azam yang juga seorang peguam berkata, Zaid perlu menarik balik kenyataannya itu dan kembali berpijak di bumi nyata.
''Beliau perlu sedar bahawa kesenangan yang dinikmatinya hari ini adalah hasil kelebihan sistem ketuanan Melayu yang selama ini banyak membantu orang kita,'' ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, isu itu sepatutnya tidak timbul dan sudah tersasar jauh daripada maksud ketuanan Melayu yang sebenar.
''Orang Melayu berhak untuk menyuruh Zaid diam kerana hak yang ada seharusnya tidak dipertikaikan mana-mana pihak sekalipun.
''Orang Melayu sebagai komuniti terawal dan teramai di negara seharusnya diberi perhatian serta tidak boleh dinafikan hak mereka,'' katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm

Saturday 1 November 2008

Pemuda Umno Perlu Bergerak Ala NGO

KLANG, 31 Okt (Bernama) -- Calon Ketua Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata pergerakan itu perlu balik kepada perjuangan asalnya iaitu membela nasib rakyat dan bergerak ala NGO untuk meraih kembali sokongan di peringkat akar umbi."Pemuda perlu peka kepada masalah rakyat dan membantu mereka mendapatkan pembelaan dan bukannya kelihatan seperti pak turut kepada kerajaan," katanya pada satu jamuan Hari Raya di Kampung Johan Setia anjuran Pemuda Umno Bahagian Kota Raja di sini malam tadi.Mukhriz, yang juga Anggota Parlimen Jerlun dan Anggota Exco Pemuda Umno, berkata satu daripada perkara yang mesti dilakukan oleh pergerakan itu ialah mengukuhkan ekonomi orang Melayu di peringkat akar umbi seperti membantu mereka mendapatkan tapak perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan supaya mereka boleh berniaga secara kecil-kecilan."Ramai juga golongan pemuda yang ingin berniaga tetapi mereka berdepan masalah kekurangan modal dan sukar mendapatkan pinjaman bank. Oleh itu, Pemuda Umno boleh membantu mereka mendapatkan pinjaman yang disediakan untuk Bumiputera seperti pinjaman Tekun di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi," katanya.Mukhriz berkata Pemuda Umno juga boleh membantu golongan muda mendapatkan kemudahan perumahan daripada kerajaan negeri terutama bagi mereka yang tinggal di bandar.-- BERNAMA