Wednesday 18 March 2009

Ali Rustam Akan Kemuka Rayuan

MELAKA, 18 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan membuat rayuan terhadap keputusan Lembaga Disiplin parti yang melarang beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan.

"Surat rayuan itu akan diserahkan pada hari ini," katanya kepada pemberita di kediamannya Seri Bendahara di sini hari ini.

Sidang akhbar itu turut dihadiri isteri Datin Seri Asmah Abdul Rahman, pemimpin Umno Melaka serta penyokongnya.

Semalam Pengerusi Lembaga Disiplin Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen mengumumkan tindakan itu selepas lembaga mendapati Mohd Ali, yang juga Naib Presiden Umno, bersalah melanggar Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno, berhubung rasuah politik.

Mohd Ali berkata sekiranya rayuannya diterima, bolehlah beliau bertanding jawatan berkenaan.

Beliau berkata surat rayuan itu turut diserahkan kepada Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ditanya mengenai perasaan beliau berhubung hukuman yang dikenakan terhadapnya, Mohd Ali berkata : "Saya telah tegaskan kepada Jawatankuasa Lembaga Disiplin bahawa saya tidak bersalah tetapi jawatankuasa mendapati saya bersalah, jadi saya terima dengan hati terbuka".

Mengenai keputusan berbeza yang dihadapinya dengan calon Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin walaupun kedua-dua mereka yang didapati bersalah berhubung perkara sama, Mohd Ali berkata beliau tidak perlu membanding kerana cara keputusan berbeza-beza dan sebab juga berbeza.

"Keputusan Lembaga Disiplin itu, saya terima selepas balik dari Ipoh semalam. Saya tidak menjangkakan (hukuman) tetapi saya terima dengan hati terbuka," katanya.

Ditanya sama ada terdapat konspirasi mana-mana pihak atas sabitan beliau, katanya beliau tidak berfikir begitu.

Katanya beliau akan tetap menghadiri perhimpunan agung parti dari 24 hingga 28 Mac ini.

"Saya sebagai orang parti akan terus berkorban untuk parti saya apa saja, jiwa atau raga," katanya sambil menerima tepukan daripada penyokongnya.

Mengenai kenyataan Najib bahawa beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali mengucapkan terima kasih kerana beliau masih lagi dibenarkan berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka.

"Saya juga akan menjalankan tugas parti dan kerajaan seperti biasa. Keputusan ini tidak akan menjejaskan saya untuk membangunkan negeri Melaka," katanya.

Ditanya nasihat beliau kepada penyokongnya, Mohd Ali memohon maaf kepada mereka yang telah memberi sokongan dengan susah payah yang akhirnya mereka tidak dapat menunaikan hasrat untuk mengundi beliau pada pemilihan kali ini.

"Saya berharap mereka bertenang, kita kini kena pertahankan parti kita yang sedang menghadapi banyak cabaran. Kita juga ingin melihat supaya proses peralihan kuasa kepada Datuk Seri Mohd Najib akan berjalan dengan baik pada hujung bulan ini atau awal bulan depan," katanya.

Ditanya sama ada keputusan yang dihadapi beliau itu akan dijadikan isu oleh pembangkang, Mohd Ali berkata beliau akan menjawab apa juga isu yang ditimbulkan oleh pembangkang terhadapnya.

-- BERNAMA

No comments: