Wednesday 25 March 2009

UMNO perlu kembali ke akar umbi

KUALA LUMPUR 24 Mac - UMNO mesti mengubah cara memilih pemimpin termasuk sistem kuota jika mahu membendung politik wang dan salah guna kuasa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Presiden UMNO berkata, jika parti mahu terus kekal kuat mandat untuk memilih pemimpin perlu dikembali ke akar umbi.

"Inilah jalan yang akan dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa.

"Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini.

Katanya, untuk atasi gejala tidak bermoral yang merosakkan parti itu dalam UMNO, hak memilih perlu diberikan kepada kumpulan yang lebih besar. "Sekarang ini, sebagai contoh pemilih bagi Perhimpunan Agung UMNO hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri daripada perwakilan dari 191 bahagian.

"Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli UMNO di peringkat akar umbi di seluruh negara.

"Pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan UMNO dari aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan UMNO dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat," jelas.

Lagi pula kata Najib, UMNO perlu berubah jika mahu menarik minat rakyat.

Katanya, apabila rakyat sudah berpaut dengan UMNO, barulah ia akan kembali perkasa.

Menurut beliau, ia boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli UMNO menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat.

"Setiap masalah rakyat yang berjaya kita bantu, setiap kekusutan mereka yang berjaya kita leraikan dan setiap kebuntuan ramai yang dapat kita atasi akan menjadi suntikan semangat untuk terus berkorban demi sebuah perjuangan," katanya.

1 comment:

jebat berkokok said...

Syabas anak Melaka..anak melaka pasti menjadi pejuang sejati..