Tuesday 17 March 2009

Datuk Seri Mohd Ali Rustam Dilarang Bertanding

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu hadapan setelah didapati bersalah melibatkan politik wang.

Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno, demikian diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lembaga Disiplin itu juga mendapati Khairy Jamaluddin, calon Ketua Pemuda, bersalah kerana melanggar perkara yang sama tetapi hanya diberi amaran.

Lembaga itu bagaimanapun mendapati Datuk Seri Mohamad Khir Toyo, juga calon Ketua Pemuda Umno, tidak bersalah melanggar tataetika ahli parti.

Perkara 10.1 itu berbunyi: Bilamana seseorang ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi itu didapati bersalah mana-mana melanggar peruntukan Tataetika Ahli Umno, maka Lembaga Disiplin bolehlah menganggap, setelah berpuashati daripada keterangan-keterangan dan/atau bukti-bukti yang dikemukakan kepadanya, bahawa prinsipal kepada ejen, pengurus kempen atau perayu undi itu turut sekali melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Tataetika Ahli ini dan/atau mempunyai pengetahuan mengenai perihal kesalahan-kesalahan tersebut dan boleh mengambil tindakan menghukum prinsipal tersebut seolah-olah dia yang melakukan kesalahan tersebut bersama-sama dengan ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi tersebut.

No comments: