Thursday, 20 November 2008

Orang Melayu perlu pertahankan hak mereka - Tun Mahathir

PUTRAJAYA 19 Nov. - Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu orang Melayu tidak terus mengambil sikap mempertahankan diri apabila hak-hak dan keistimewaan mereka dicabar oleh pihak tertentu terutama selepas UMNO catat prestasi buruk dalam pilihan raya umum lalu.
Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu berkata, sudah tiba masanya untuk orang Melayu mengambil sikap 'menyerang' bagi memastikan hak-hak yang dinikmati selama ini dapat dipertahankan.
''Kita lihat sekarang ini ramai orang Melayu cuma mempertahankan diri tetapi tidak menyerang, kita cuma marah dengan kata jangan sentuh hak keistimewaan Melayu dan agama Islam.
''Kita harus mempertahankan kedudukan kita tetapi ungkapan orang Inggeris kata bahawa serangan adalah satu bentuk pertahanan yang paling baik, jadi kita kena serang, itu cara terbaik untuk mempertahankan diri," katanya ketika berucap pada Program Penerangan Isu-Isu Semasa di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, orang Melayu sejak dahulu mempunyai sikap yang lemah lembut dan ada kalanya tidak mahu mempertahankan diri walaupun tahu diri mereka tidak bersalah selain enggan menuduh orang lain bersalah.
Sebab itu katanya, apabila terdapat pihak mempertikaikan sosial kontrak, orang Melayu hanya mempertahankan diri bahawa mereka mempunyai keistimewaan yang telah ditetapkan dalam kontrak tersebut.
Bagaimanapun jelas beliau, orang Melayu tidak mendedahkan perkara-perkara yang dipersetujui mereka dalam kontrak sosial yang telah dinikmati oleh kaum lain di negara ini.
''Kita cuma pertahankan bahawa kontrak sosial beri keistimewaan tetapi kita tidak kata tentang apa yang kita beri dalam kontrak sosial, kita bagi banyak.
''Tunku (Abdul Rahman Putra) memberikan satu juta kerakyatan kepada orang bukan Melayu tanpa apa-apa soalan, ini ada dalam ucapan Tun Tan Siew Sin.
''Kalau hendak ambil balik hak Melayu, kita juga nak ambil balik hak yang diberikan kepada mereka," katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir menyatakan, selepas pilihan raya umum lalu, banyak pihak menyatakan mereka menolak perkauman tetapi mereka secara terang-terangan mempersoalkan mengapa orang Melayu mendapat begitu banyak hak di negara ini.
''Mereka mahu bahasa mereka digunakan dalam papan tanda dan mempersoalkan Melayu sebagai pendatang yang dikatakan tidak berbeza dengan orang Cina dan India," katanya.
Beliau turut mempertikaikan tindakan sesetengah pihak menyamakan kemenangan Barack Obama sebagai Presiden ke-44 Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini sebagai satu petanda bahawa negara ini juga perlu dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang bukannya dari kalangan orang Melayu.
''Sejak Obama menang, ia jadi masalah pula kepada kita, sedangkan beliau tidak boleh disamakan dengan kita.
''Memang dia berkulit hitam dan ada campuran sedikit tetapi hakikatnya dia menerima budaya dan bahasa di AS yang asalnya dijajah oleh Anglo-Saxon. Dia cukup dengan identiti Amerika," katanya.
Sementara itu, Tun Dr. Mahathir mengingatkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) mungkin menghadapi risiko tewas dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya gejala politik wang dalam parti itu gagal dibersihkan.
Beliau menegaskan, jika sebelum ini rakyat beralih kepada parti pembangkang disebabkan pemimpin tertentu dalam kerajaan, mereka tidak mustahil akan menolak seluruh calon BN yang didapati memenangi pemilihan parti dengan cara rasuah.
Sehubungan itu, kata beliau, adalah tidak berguna sekiranya para pemimpin UMNO berebut-rebut untuk memenangi pemilihan parti pada Mac depan termasuk melalui cara rasuah tetapi parti kecundang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
''Jadi penolakan terhadap UMNO bukan suatu yang mustahil, kemungkinan besar kerana rakyat sekarang pandang jijik kepada UMNO.
''Kalau dulu UMNO didokong oleh rakyat, mereka bersedia memberikan sokongan kepada UMNO dan BN tetapi hari ini pandangan rakyat sudah berbeza, sekarang saya fikir rakyat sudah benci dengan semua pemimpin kerana mereka terlibat rasuah.
''Rakyat pandang UMNO yang meletakkan calon-calon yang menang dalam pemilihan parti merupakan calon yang rasuah, adakah parti akan mendapat undi?," katanya pada program Penerangan Isu-Isu Semasa di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu juga membidas pandangan segelintir pihak yang menyatakan orang luar daripada UMNO tidak wajar mencampuri dan mengambil perhatian tentang apa yang berlaku dalam parti tersebut.
Ini kerana katanya, selama ini UMNO dan BN berjaya memenangi semua pilihan raya umum lalu bukan sekadar dengan sokongan ahli-ahli parti sebaliknya atas dokongan rakyat yang menyokong dasar serta perjuangan parti tersebut.
Sehubungan itu, Dr. Mahathir berkata, pemimpin yang mengamalkan politik wang perlu disingkirkan daripada menduduki jawatan-jawatan penting parti bagi mengelakkan pandangan buruk rakyat yang berada di luar parti.
''Sudah tentu tidak semua pengundi gila tetapi ada yang masih waras, mereka akan tolak calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan inilah nasib yang sedang menunggu untuk mereka yang keluarkan wang yang banyak," katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan, pelan peralihan kuasa yang ditetapkan oleh UMNO tidak akan memberikan kesan sekiranya ia hanya membabitkan pertukaran pemimpin secara fizikal.
Sebaliknya, jelas beliau, peralihan kuasa itu mesti melibatkan pertukaran dasar-dasar yang sebelum ini didapati menjadi punca kebencian rakyat dan kerugian kepada negara serta menyebabkan UMNO menjadi lemah.
''Untuk bersihkan UMNO kita perlu kepada pemimpin yang berani dan bukan lebih mirip kepada hendak menjaga air muka orang lain.
''Oleh itu peralihan kuasa tidak hanya dalam bentuk tubuh badan sahaja tetapi mesti melibatkan segala dasar yang dibenci oleh rakyat, jika tidak peralihan itu akan menjadi sia-sia sahaja, kalau teruskan rakyat akan tolak kepimpinan UMNO," tegasnya.
Sementara itu pada sesi soal jawab, Dr. Mahathir menegaskan beliau akan cuba membantu ahli-ahli UMNO memerangi rasuah politik dalam parti termasuk menghubungi Lembaga Disiplin parti dan menghantar laporan mengenai gejala itu kepada badan tersebut.
''Saya juga boleh masukkan nama-nama mereka yang dilaporkan terlibat dengan politik wang dalam laman blog saya," katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_11.htm
Anak Jati Bukit Duyong - Setuju dengan saranan dan pandangan TUN

1 comment:

bungaraya said...

Saya sangat bersetuju dengan saranan dan gesaan Tun Dr Mahathir dlam penulisan Saudara ini. Tetapi sayang beliau seperti tidak menyedari bahawa suatu ketika dulu beliau adalah seorang Perdana Menteri Malaysia. Saya kata begitu adalah kerana permasalahan seperti rasuah yang sangat kritikal situasinya sekarang ini sebenarnya bermula secara berleluasa diketika zaman beliau menjadi PM. Peluang terbuka luas kepada beliau ketika itu untuk menyelesaikannya.Kenapa membiarkan parah itu menjadi barah pada masa ini.
Mengenai permasalahan isu perkauman pula kenapa mencadangkan tindakan balas dengan fizikal? Kenapa marah jikalau kita menyerang balas dengan kata-kata semata?. Bukan kah selama ini kita telah diasuh untuk berbudi bahasa dan jangan bertindak ekstrim dengan mencederakan orang lain? Pada pandangan saya bukan dengan bertindak serang balas secara fizikal itu yang boleh menyelesaikan perkara perkauman ini. Saya yakin penuh jika rakyat Malaysia terdiri daripada Bangsa Malaysia sahaja maka masalah perkauman ini tidak akan menjadi serius sehingga menyebabkan kata mengata dan hentam menghentam seperti sekarang ini. Jika seseorang warganegara itu namanya Ali tetapi ayahnya melayu dan emaknya cina, atau ahmad tetapi ayahnya India dan emaknya Cina, atau Ah kow tetapi ayahnya cina dan emaknya India, atau mariam tetapi emaknya kadazan dan ayahnya bajau dan sebagainya, tentu semangat kemalayuannya atau kecinaannya atau keindiannya dan sebagainya akan sedikit berkurangan. Suatu ketika nanti Malaysia akan dihuni oleh rata-ratanya keturunan Malaysian yang sangat majmuk.